Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Laporan AGO tarik perhatian kepada proses semasa pandemik perlu diperbaiki oleh MOM, HPB & SLA

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Jul 2022 04:58PM Dikemas Kini : 21 Jul 2022 10:05PM

SINGAPURA: Pejabat Juruaudit Negara (AGO) pada Rabu (20 Jul) menarik perhatian kepada kejadian-kejadian kawalan dan pemeriksaan yang tidak mencukupi di Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan Penguasa Tanah Singapura (SLA) berhubung pemerolehan dan perbelanjaan berkaitan dengan COVID-19.

Bidang-bidang untuk penambahbaikan itu dibangkitkan dalam laporan audit AGO melibatkan agensi-agensi awam di Singapura bagi tahun 2021/2022.

Ia turut menarik perhatian bahawa MOM, HPB dan SLA sudah melaksanakan beberapa amalan baik untuk memudahkan tindak balas tepat pada masanya kepada situasi-situasi kecemasan dan bagi mengurangkan kos pemerintah.

Audit berkenaan meliputi kesemua 16 kementerian, lapan badan negara serta tiga lembaga berkanun, empat syarikat milik pemerintah dan dua akaun lain.

AGO mengeluarkan pendapat audit yang tidak diubah mengenai penyata kewangan tersebut.

PEMEROLEHAN DAN PERBELANJAAN COVID-19

Audit tematik ke atas pemerolehan dan perbelanjaan terpilih berkaitan pandemik dijalankan di MOM, HPB dan SLA.

Ia menunjukkan bahawa agensi-agensi berkenaan membelanjakan sebanyak S$1.51 bilion bagi perbelanjaan yang berkaitan dengan khidmat tenaga manusia, kemudahan penginapan dan katering makanan sepanjang tempoh audit dari Januari 2020 sehingga Mac 2021.

AGO menarik perhatian bahawa ketiga-tiga penguasa itu "secara amnya sudah menetapkan proses dan kawalan merangkumi empat peringkat pemerolehan dan pengurusan kontrak:
Merancang dan menentukan keperluan, pemerolehan dan kontrak, menguruskan kontrak, serta penutupan atau pembaharuan kontrak.

"Sungguhpun demikian, terdapat ruang di mana kawalan boleh dipertingkatkan," tambah AGO dalam pemerhatian auditnya.

Pemerhatian audit itu termasuk kelemahan pada penilaian saranan kontraktor, penilaian kewajaran harga serta percanggahan dan butiran-butiran yang tertinggal semasa penyerahan kepada pihak yang meluluskan sesebuah kontrak.

Selain kelengahan dalam mendapatkan kelulusan kontrak, terdapat juga kelemahan pada proses pembayaran seperti pemeriksaan yang tidak mencukupi ke atas kesahihan pembayaran, percanggahan pada tuntutan pembayaran kekurangan dokumen sokongan untuk membuat pembayaran.

AGO juga menyentuh betapa MOM, HPB dan SLA perlu memperbaiki proses mendokumenkan penilaian masing-masing.

Kementerian Kewangan (MOF) menyatakan ketua-ketua agensi terbabit sudah menyemak setiap kes untuk mengenal pasti punca berlakunya kelemahan-kelemahan tersebut.

Mereka akan mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan keupayaan, proses dan sistem masing-masing.

MOF turut menarik perhatian bahawa pandemik COVID-19 adalah "tempoh yang luar biasa" bagi rakyat Singapura dan para pegawai perkhidmatan awam.

"Agensi-agensi awam bertindak tangkas untuk beralih dari peranan sebelum pandemik kepada peranan kecemasan yang baru. Mereka juga harus mempertingkatkan operasi mereka secara mendadak dan pantas," menurut MOF.

Ini termasuk HPB meningkatkan bilangan kakitangan yang melakukan ujian saringan manakala SLA harus menguruskan premis-premis yang digunakan sebagai kemudahan COVID-19 dan MOM pula harus menyokong pengurusan dormitori serta kesejahteraan pekerja hijrahan.

Dalam kenyataan bersama, MOM, HPB dan SLA menyatakan bahawa mereka sedia maklum mengenai pemerhatian yang dibuat oleh AGO dalam auditnya dan langkah-langkah sudah diambil untuk memperbaiki kelemahan dan mencegahnya daripada berulang.

SLA juga sudah menyemak senarai yang berpotensi berlaku lebihan bayaran yang diperhatikan oleh AGO.

Selepas menjalankan proses pengesahan pembayaran, SLA mengesahkan bahawa tiada lebihan bayaran bagi kebanyakan jumlah kontrak yang dibangkitkan.

SKILLSFUTURE

Dalam pemerhatian auditnya yang lain, AGO juga menarik perhatian kepada kelemahan-kelemahan pada pengurusan geran SkillsFuture Singapore (SSG) yang mengakibatkan lebihan bayaran dianggarkan sebanyak S$4.22 juta.


AGO menambah bahawa SSG juga sedia maklum berdasarkan audit itu bahawa peraturan dan syarat perniagaannya tidak ditakrifkan dengan baik atau dikonfigurasikan dengan betul bagi senario-senario tertentu.

Ini termasuk senario di mana para individu yang menghadiri pelbagai kursus dengan pertindihan masa mereka menghadirinya dan pembayaran kepada individu dan syarikat yang tidak dibenarkan pembiayaan dana.

Menurut jurucakap SSG, kelemahan-kelemahan itu berlaku antara 1 Apr 2018 dengan 30 Jun 2021.

Kesilapan-kesilapan lain juga berlaku semasa memproses geran secara manual termasuk yang dibuat oleh penyedia khidmat SSG.

Ia adalah punca utama kelemahan-kelemahan yang diperhatikan oleh AGO, menurut jurucakap itu.

Sejak itu, SSG sudah mengambil "tindakan pembetulan segera" dan kesemua kes yang dibangkitkan oleh AGO sudahpun ditangani.

Jurucakap itu juga menambah bahawa SSG akan mengambil lebih banyak langkah pencegahan untuk mengelakkannya pada masa akan datang.

Ini termasuk mengurangkan kebergantungan pada perisytiharan dan proses-proses yang dijalankan secara manual, di samping mengukuhkan proses dan tahap kawalannya.

Sumber : CNA/FA/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan