Lapangan Terbang Seletar dibuka semula kepada penerbangan komersil sejak COVID-19

Gambar: CNA/Grace Yeoh
SINGAPURA: Penerbangan komersil pertama mendarat dan berlepas di Lapangan Terbang Seletar pada Isnin pagi (13 Jun) sejak penerbangan digantung disebabkan pandemik COVID-19.
Penerbangan FY3124 oleh syarikat penerbangan Malaysia, Firefly, berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Malaysia dan tiba dengan 59 penumpang sekitar pukul 8.50 pagi tadi.
Hampir satu jam kemudian, kapal terbang yang sama berlepas ke Subang pada pukul 9.41 pagi sebagai penerbangan FY3125.
PERSEDIAAN, MANFAAT UNTUK PENUMPANG
Untuk membuat persediaan berhubung penyambungan semula penerbangan berjadual, Changi Airport Group (CAG) yang menguruskan Lapangan Terbang Seletar, menjalankan "pelbagai ujian operasi dan ujian sistem" dengan rakan-rakan kongsi Lapangan Terbang Seletar, menurut CAG dan Firefly dalam kenyataan media bersama.
Kakitangan lapangan terbang juga mengambil bahagian dalam "sesi latihan pembelajaran semula
dan taklimat mengenai keperluan operasi dan keselamatan" untuk mempersiap mereka untuk melayan para penumpang.
Syarikat teksi juga turut terlibat dengan CAG untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyambungan semula penerbangan Firefly.
Kopi dan teh percuma akan diberikan kepada pemandu teksi yang mengambil penumpang daripada Lapangan Terbang Seletar pada bulan Jun ini.
Penumpang Firefly yang melakukan perjalanan ulang alik dari Lapangan Terbang Seletar akan mendapat kelonggaran untuk membawa masuk bagasi percuma seberat 20 kilogram (kg), daftar masuk yang lebih pantas serta minuman dan makanan ringan percuma semasa penerbangan, tambah CAG dan Firefly.
"Dengan sambungan semula penerbangan Firefly, penumpang boleh menikmati perjalanan yang lebih lancar antara Lapangan Terbang Seletar dan Kuala Lumpur," kata Encik Tan Lye Teck, naib presiden eksekutif pengurusan lapangan terbang CAG.
2 PENERBANGAN ULANG ALIK DALAM SEHARI
Dengan penyambungan semula penerbangan berjadual, Firefly kini akan mengendalikan dua penerbangan ulang alik dalam sehari antara Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dengan Lapangan Terbang Seletar.
Laluan Subang-Singapura adalah laluan antarabangsa pertama Firefly untuk disambung semula sejak pandemik, kata ketua pegawai eksekutif syarikat penerbangan Firefly, Philip See.
Sebelum pandemik, Firefly menjalankan operasi enam penerbangan dalam satu hari masing-masing ke Kuala Lumpur dan Singapura.
Penerbangan sulung Firefly ke Lapangan Terbang Seletar adalah pada April 2019.
Pada Mac 2020, penerbangan tersebut digantung disebabkan pandemik COVID-19.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.