Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lapangan Terbang Changi terajui pemulihan perjalanan udara di Asia Pasifik

Anggaran Waktu Membaca:
Lapangan Terbang Changi terajui pemulihan perjalanan udara di Asia Pasifik

(Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

SINGAPURA: Lapangan Terbang Changi menerajui pemulihan sektor perjalanan udara di rantau Asia Pasifik, kata Menteri Pengangkutan S Iswaran pada Selasa (2 Ogos). 

Bercakap di Parlimen, Encik Iswaran berkata, Lapangan Terbang Changi "mendahului dari segi trafik penumpang antarabangsa dan hubungan bandar berbanding tahap sebelum COVID-19" setakat Jun, berbanding dengan hab udara utama Asia Pasifik, seperti Incheon, Hong Kong dan Bangkok. 

Setakat minggu pertama Julai, trafik penumpang mingguan di Lapangan Terbang Changi pulih kepada sekitar 55 peratus tahap purata mingguan 2019. Ini dipacu khidmat penumpang mingguan oleh syarikat-syarikat penerbangan yang sudah pulih kepada lebih 50 peratus tahap sebelum pandemik, tambah Encik Iswaran. 

"Changi juga dihubungkan kepada 108 bandar melalui penerbangan penumpang setakat Julai 2022, iaitu lebih 65 peratus jumlah bandar sebelum pandemik," kata menteri tersebut. 

Memandangkan permintaan bagi perjalanan udara kekal "kuat", pemulihan Lapangan Terbang Changi dijangka akan berterusan dan semakin rancak apabila pasaran-pasaran utama di timur laut, termasuk tanah besar China, Hong Kong dan Jepun, membuka sempadan sepenuhnya. 

MEMPERHEBATKAN KAPASITI

Untuk memenuhi pengaliran penumpang yang dijangkakan meningkat, Encik Iswaran berkata Lapangan Terbang Changi akan membuka semula Terminal 4 mulai 13 September, dan menyambungn semula operasi pelepasan di sayap selatan Terminal 2 pada Oktober. 

"Ini akan membolehkan lapangan terbang Changi  mengendalikan jumlah trafik penumpang sehingga tahap sebelum COVID-19, atau sekitar 70 juta penumpang setiap tahun, yang membentuk sekitar 80 peratus kapasiti Changi sebelum COVID-19," kata beliau. 

Pihak berkepentingan penerbangan sedang berusaha untuk mempertingkat tenaga manusia mereka dan mewujudkan semula "pengalaman penumpang Changi yang terkenal", tambahnya. 

"Dengan usaha dan sokongan seluruh masyarakat penerbangan dan rakan-rakan kerja, kami akan bersedia untuk menerima lebih ramai penumpang dan syarikat penerbangan ke Singapura, sekali gus mengembalikan kedudukan Changi sebagai hab udara sejagat yang cemerlang." 

Menjawab pertanyaan AP Louis Chua (WP-Sengkang) mengenai sasaran penumpang bagi 2022 dan 2023, Encik Iswaran berkata agak sukar untuk menetapkan matlamat ketika fasa pemulihan sekarang. 

Beliau berkata, pasaran-pasaran utama seperti China, Jepun dan timur laut Asia pada amnya masih berusaha untuk pulih daripada COVID-19. 

Tumpuan ketika ini kekal pada usaha memperhebatkan kapasiti Lapangan Terbang Changi. 

"Itu bukanlah satu usaha yang mudah, kerana  kita harus menambah  tenaga manusia.  Sekitar sepertiga tenaga pekerja dalam ekosistem penerbangan meletak jawatan sepanjang COVID-19," tambah Encik Iswaran. 

"Untuk bangkit semula, bukan sekadar mengambil pekerja, tetapi dari segi memastikan tenaga manusia kami sudah bersiap sedia, adalah satu cabaran hebat. Jika kita melihat pengalaman banyak lapangan terbang lain di dunia, baru kita sedar betapa mencabarnya tugas tersebut." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan