Skip to main content

Singapura

Lapangan Terbang Changi kerah traktor tanpa pemandu bagi pemindahan bagasi

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 20 Jan 2026 05:14PM Dikemas Kini : 26 Jan 2026 04:26PM
SINGAPURA: Lapangan Terbang Changi sudah mula mengerahkan traktor tanpa pemandu bagi operasi di sekitar kawasan pesawat selepas menjalankan uji cuba selama hampir setahun.

Dua traktor tanpa pemandu dilancarkan dalam operasi langsung bagi memindahkan beg-beg penumpang antara kawasan pengendalian bagasi Terminal 1 dengan Terminal 4, menurut Changi Airport Group (CAG) pada Selasa (20 Jan).

Projek tersebut, yang dibiayai bersama oleh Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), sejajar dengan strategi inovasi Lapangan Terbang Changi yang lebih luas, menurut kumpulan itu.

Strategi itu termasuk penyepaduan teknologi tanpa pemandu ke dalam operasi di sekitar kawasan pesawat, penggunaan AI dalam inisiatif, serta automasi dan robotik bagi meningkatkan daya penghasilan tenaga manusia, tambahnya.

"Pencapaian itu menandakan lonjakan besar dalam usaha Lapangan Terbang Changi ke arah inovasi dan kecekapan operasi, meningkatkan daya penghasilan tenaga di samping meningkatkan keselamatan dan keandalan," menurut CAG.

Setiap traktor tanpa pemandu dilengkapi dengan lebih 10 alat pengesan dan kamera bagi membolehkan kenderaan itu mengemudi sekitaran di lapangan terbang dengan selamat dalam setiap keadaan.

Traktor itu juga dipantau di sebuah pusat kawalan di mana seorang pengendali dari jarak jauh boleh mengawal kenderaan itu dengan segera jika sebarang campur tangan manusia diperlukan.
Related article image
Traktor tanpa pemandu di Lapangan Terbang Changi dipantau di sebuah pusat kawalan di mana seorang pengendali boleh mengawal kenderaan itu dengan segera jika perlu. (Gambar: CAG)
Dengan adanya traktor tanpa pemandu, pekerja di lapangan terbang tidak perlu melakukan tugas-tugas memandu dan boleh memberi tumpuan kepada operasi perkhidmatan terakhir, yang lebih sukar untuk diautomasikan, menurut CAG.

"Melalui kerjasama dengan rakan-rakan kongsi lapangan terbang kami untuk mereka bentuk semula proses kerja dan dasar prasarana, kami membentuk sebuah sekitaran kerja yang bersiap sedia untuk menghadapi masa hadapan.

"Ini di mana kenderaan tanpa pemandu boleh berfungsi dengan selamat dan lancar dengan kenderaan lain yang dipandu manusia, dengan pekerja memberi tumpuan kepada operasi perkhidmatan terakhir," kata naib presiden kanan strategi operasi lapangan terbang dan transformasi di CAG, Liu Yanling.

Bagi memastikan traktor-traktor itu beroperasi dengan selamat di samping pekerja, zon kenderaan tanpa pemandu ditandakan dengan jelas di sekitar kawasan pesawat, dengan label jelas juga ditampal pada setiap kenderaan tanpa pemandu.
Related article image
Label jelas pada semua kenderaan tanpa pemandu yang digunakan di Lapangan Terbang Changi. (Gambar: CAG)
JUMLAH KENDERAAN TANPA PEMANDU AKAN DITAMBAH

Pada lewat tahun ini, lagi enam traktor tanpa pemandu akan dikerahkan ke laluan berbeza antara kawasan pengendalian bagasi di Terminal 2 dan tempat meletak pesawat bagi menyokong operasi bagasi di bawah kerjasama antara CAG dengan SATS.

Kerjasama itu akan membawa kepada "pengendalian bagasi lebih andal dengan pusing ganti pesawat lebih lancar, menyokong waktu keberangkatan tepat pada masanya dan pengalaman lapangan terbang yang lancar", kata naib presiden kanan SATS Apron Services, Kuah Boon Kiam.

Menjelang 2027, jumlah kenderaan tanpa pemandu akan ditambah kepada 24 kenderaan, dengan lebih banyak traktor tanpa pemandu akan dikerahkan untuk menunda (tow) kargo dan peralatan, selain daripada bagasi, menurut CAG.

"Sedang Changi meningkatkan operasi bagi memenuhi keperluan operasi di Terminal 5 menjelang pertengahan 2030an, inovasi sedemikian akan membolehkan CAG dan rakan-rakan kongsinya untuk mereka bentuk dan meningkatkan skop pekerjaan pekerja lapangan, untuk meningkatkan daya penghasilan mereka," menurut kumpulan itu.

"Peningkatan daya penghasilan dan peluasan peranan di sekitar kawasan pesawat adalah penting untuk mengembangkan hab udara Singapura bagi memenuhi permintaan perjalanan udara pada masa hadapan."
Related article image
Sebuah traktor tanpa pemandu dikerahkan di Lapangan Terbang Changi. (Gambar: CAG)
Pada Julai tahun lalu, laporan transformasi pekerjaan penerbangan CAAS menyatakan sehingga 30 peratus tenaga kerja sedia ada mungkin menghadapi reka bentuk semula kerja dan transformasi dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan sebahagian besar melibatkan pekerja dalam sektor pengendalian lapangan.

"Pengerahan traktor tanpa pemandu yang ditingkatkan membolehkan CAAS, CAG dan SATS serta kesatuan kita untuk bekerjasama bagi melaksanakan teknologi, membangunkan sistem dan protokol baharu serta membangunkan program reka bentuk semula pekerjaan bagi membantu pekerja kita mendakap teknologi dan peralihan ke pekerjaan bernilai tinggi,' kata pengarah industri penerbangan CAAS, Angela Ng.

"Pengajaran yang diperolehi di sini berguna bagi usaha transformasi pekerjaan dan pendakapan teknologi secara meluas dalam sektor ini."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita