Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lapangan Terbang Changi, Jetstar bincang pemindahan ke Terminal 4: Iswaran

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 Aug 2022 07:13PM Dikemas Kini : 30 Aug 2022 09:53PM
SINGAPURA: Changi Airport Group (CAG) dan kumpulan syarikat Jetstar sedang dalam perbincangan untuk memastikan operasi syarikat penerbangan itu terus berkesan dan keperluaan penumpang dapat dipenuhi, selepas Jetstar enggan berpindah ke Terminal 4.

Demikian menurut Menteri Pengangkutan S Iswaran pada Selasa (30 Ogos).

"Lebih penting untuk melaksanakannya dengan baik daripada melakukannya dengan pantas," kata Encik Iswaran semasa lawatan media ke Terminal 4.

"Jika ini bermakna ia akan mengambil lebih banyak masa, tetapi boleh memastikan semua hal-hal utama diambil kira, dan semua pihak terbabit puas hati, saya rasa itu adalah keutamaan kami. Dan saya rasa itu adalah dasar kerjasama kedua-dua pihak."

CAG mengumumkan pada Julai bahawa Jetstar akan berpindah ke Terminal 4 pada 25 Oktober selepas terminal berkenaan dibuka semula pada 13 September setelah ditutup dua tahun disebabkan pandemik COVID-19. Namun, Jetstar kemudian menyatakan pihaknya "tidak berhasrat untuk berpindah".
Syarikat tersebut menyatakan keputusan untuk berpindah itu dibuat oleh satu pihak sahaja, iaitu CAG, tanpa mempertimbangkan "kesan langkah itu kepada pelanggan, pegawai dan operasi Jetstar".

Menurut Encik Iswaran pada Selasa, memastikan keperluan penumpang dipenuhi dan Jetstar dapat beroperasi dengan berkesan "bukan hanya matlamat Jetstar, tetapi juga CAG".

OPERASI PENERBANGAN DARI T4 MULAI 13 SEP

Apabila Terminal 4 dibuka semula, 16 syarikat penerbangan akan berpindah ke terminal berkenaan secara bertahap-tahap antara September hingga Oktober.

Cathay Pacific dan Korean Air akan berpindah ke Terminal 4 pada hari pembukaan semula terminal berkenaan.

Penerbangan pertama yang akan tiba di Terminal 4 pada 13 September adalah pesawat Cathay Pacific dari Hong Kong pada pukul 3.05 petang, manakala penerbangan pertama yang akan berlepas adalah penerbangan Cathay Pacific ke Hong Kong pada pukul 6.00 petang pada hari yang sama.

Kumpulan syarikat AirAsia akan mula beroperasi di Terminal 4 pada 15 September, manakala Cebu Pacific, Juneyao Air, Jeju Air, Bamboo Airways dan HK Express akan menyusuli pada 20 September.

Syarikat penerbangan lain seperti Vietnam Airlines, VietJet Air dan Thai VietJet Air akan berpindah dari terminal lain dua hari kemudian pada 22 September.

Pembukaan semula Terminal 4 akan memastikan hab udara Singapura boleh memenuhi permintaan perjalanan udara yang semakin meningkat menjelang musim sibuk akhir tahun, menurut CAG dalam kenyataan medianya.

"Sudah kira-kira lima bulan sejak kami membuka semula sempadan kepada pelawat yang sudah lengkap divaksin. Sepanjang tempoh itu, kami menyaksikan jumlah penumpang meningkat kepada purata mingguan sekitar 58 peratus paras sebelum COVID-19, iaitu pada 2019," kata Encik Iswaran.

"Dari segi penerbangan, ia sebenarnya sekitar 64 peratus. Dan yang paling penting, apabila kami melihat tempoh musim sejuk akan datang, antara November hingga Januari, penerbangan mungkin akan meningkat kepada sekitar 80 peratus paras sebelum pandemik."

Untuk memenuhi permintaan akhir tahun yang meningkat, industri penerbangan merancang untuk mengambil lagi 3,500 hingga 4,000 pekerja, tambah Encik Iswaran.
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan