Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lapangan terbang Changi catat rekod baru 62.2 juta penumpang pada 2017

Lapangan Terbang Changi mengendalikan 62.2 juta penumpang pada tahun 2017.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Jan 2018 05:46PM Dikemas Kini : 23 Jan 2018 10:25PM

SINGAPURA: Lapangan Terbang Changi mengendalikan 62.2 juta penumpang pada tahun 2017.

Ini diumumkan lapangan terbang itu hari ini (23 Jan).

Perangkaan penuh bagi tahun 2017 - yang menjangkaui rekod 60 juta penumpang yang diumumkan pada 18 Disember lalu - satu pertambahan enam peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut Changi Airport Group (CAG) dalam kenyataan medianya.

Para pelancong dari China dan India mendahului pertumbuhan itu, dengan masing-masing naik 12 peratus dan 16 peratus.

Ini dirangsang oleh pembukaan laluan baru bandar di kedua-dua negara dan jumlah penerbangan yang lebih kerap ke destinasi-destinasi sedia ada, menurut CAG.

Selain itu, 10 laluan baru diwujudkan antara Singapura dengan bandar-bandar di China, dengan syarikat penerbangan Hebei Airlines melakukan penerbangan pertama ke Singapura dari Harbin, Shijiazhuang dan Yantai.

Empat destinasi baru juga diadakan di India, dengan penerbangan lebih kerap ke Delhi, Bangalore, Chennai dan Comboitore melalui JetAirways dan IndiGo.

Apabila ditanya sama ada Lapangan Terbang Changi masih lagi salah satu hab penerbangan utama di dunia, Pengarah Urusan CAG bagi pembangunan hab udara Lim Ching Kiat berkata ia masih mengekalkan kedudukannya di tangga keenam dari segi trafik antarabangsa.

"Perniagaan lapangan terbang bermakna apabila kita tumbuh, lapangan terbang serantau juga tumbuh, kerana penerbangan mesti bermula dari salah satu lapangan terbang serantau.

"Oleh itu, sedang Lapangan Terbang Changi berkembang, kita akan melihat lapangan terbang Kuala Lumpur, Bangkok, Jakarta dan Manila juga berkembang pada rentak serupa. Secara keseluruhannya ia baik untuk rantau ini dan juga baik untuk Lapangan Terbang Changi," jelas beliau.

Pada masa akan datang, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa meramalkan bahawa jumlah penumpang di rantau Asia Pasifik akan tumbuh dari 2.5 bilion kepada 8.5 bilion dalam tempoh 10 tahun mendatang.

Menjelang 2036, China, India dan Indonesia dijangka menjadi antara lima pasaran penerbangan utama di dunia.

Untuk memenuhi pertumbuhan ini, CAG akan berusaha membangunkan projek Changi East, yang menempatkan Terminal 5. Ia dijangka dapat meningkatkan keupayaan Lapangan Terbang Changi untuk menampung lagi 50 juta penumpang setahun pada fasa permulaan.

Kerja-kerja bagi sistem tiga landasan sudahpun dimulakan dan ia akan dibuka menjelang tahun 2020, tambah CAG.

Lapangan Terbang Changi juga mengatasi keupayaannya mengendalikan lebih dua juta tan kargo buat pertama kalinya, kepada 2.13 juta tan tahun lalu, tumbuh 7.9 peratus.

Ia sudah membangunkan keupayaan menguruskan kargo dengan fokus pada kemampuannya untuk mengendalikan produk-produk farmaseutikal dan makanan mudah rosak serta barangan e-niaga memandangkan ia adalah pasaran yang kian berkembang di Singapura dan di rantau ini dalam masa terdekat, menurut CAG.

LEBIH BANYAK PILIHAN BAGI DARAT, LAUT DAN UDARA

Untuk menarik lebih ramai penumpang melalui Lapangan Terbang Changi, ia juga akan memperkukuh ketersambungan darat dan laut.

Sejak tahun lalu, para penumpang boleh menyambung perjalanan antara lapangan terbang dengan Terminal Feri Tanah Merah menggunakan bas ulang-ulik yang tambangnya murah. Ini sekaligus melicinkan perjalanan ke Bintan dan Batam, menurut CAG.

Terdapat rancangan untuk terus membangunkan industri penerbangan-pesiaran menerusi kerjasama dengan pelbagai syarikat pesiaran. Ini dijangka menarik lebih 600,000 pengunjung sepanjang empat tahun akan datang, menurut Lapangan Terbang Changi.

CAG menyatakan lebih banyak destinasi Eropah juga akan diadakan. Tahun lalu, Norwegian Airlines mula mengendalikan penerbangan tambang murah ke Lapangan Terbang Gatwick London, manakala syarikat penerbangan tambang murah Scoot memulakan penerbangan langsung ke Athens.

Penerbangan ke Munich, Berlin dan Warsaw juga sudah diumumkan bagi tahun ini, memngukuhkan lagi ketersambungan Singapura dengan negara-negara Eropah Timur. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan