Lapangan Terbang Changi akan asingkan pekerja berdasarkan risiko pendedahan COVID-19
Para pekerja di Lapangan Terbang Changi akan diasingkan berdasarkan risiko pendedahan COVID-19 dan hanya mereka yang sudah divaksin akan bertugas di zon-zon berisiko tinggi, menurut lapangan terbang tersebut pada Isnin (24 Mei).
SINGAPURA: Para pekerja di Lapangan Terbang Changi akan diasingkan berdasarkan risiko pendedahan COVID-19 dan hanya mereka yang sudah divaksin akan bertugas di zon-zon berisiko tinggi, menurut lapangan terbang tersebut pada Isnin (24 Mei).
Lapangan terbang tersebut dikenal pasti sebagai kelompok aktif COVID-19 dengan 108 kes setakat sehingga Ahad lalu. Seorang pekerja yang membantu sebuah keluarga dari Asia Selatan pada bulan lalu mungkin menjadi punca yang menyebabkan 43 kakitangan lain dijangkiti virus itu, menurut Lapangan Terbang Changi dan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada Jumaat lalu.
Di bawah pelan pengasingan yang baru, terminal-terminal di lapangan terbang itu akan dibahagikan kepada tiga zon. Tiada pergaulan antara mereka di Zon 1 - kawasan berisiko paling tinggi - dengan mereka yang bertugas di zon-zon lain semasa melakukan syif masing-masing, menurut Lapangan Terbang Changi dalam kenyataan medianya.
Para pekerja di Zon 1, termasuk mereka yang bekerja di kawasan terminal yang menghubungkan dengan terminal lain, pelepasan imigresen dewan ketibaan dan dewan bagasi, akan dilindungi "dengan PPE tahap paling tinggi". Seramai 4,400 pekerja bertugas di zon ini.
Hanya pekerja yang sudah divaksin akan ditempatkan di Zon 1. Pihak lapangan terbang menyasarkan lebih 90 peratus pekerja di Zon 2 dan 3 akan divaksin "dalam masa beberapa minggu mendatang".
Para penumpang dari negara-negara berisiko tinggi akan diiringi ke Terminal 2, yang sudah ditutup sejak 1 Mei tahun lalu, untuk menjalani pelepasan imigresen. Mereka kemudian akan dibawa menaiki bas terus ke kemudahan kuarantin mereka.
Pihak lapangan terbang telah melaksanakan "banyak saringan protokol keselamatan yang ketat", dengan mengambil nasihat daripada pakar penyakit berjangkit, dan langkah-langkah itu "memanfaatkan kita" sejak 15 bulan yang lalu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Changi Airport Group Lee Seow Hiang.
Namun semua itu berubah dengan kemunculan B1617, varian koronavirus yang pertama kali dikesan di India. "Ia menembusi benteng pertahanan kita dan mencetuskan penularan dalam masyarakat," kata Encik Lee kepada para wartawan pada Isnin.
"Kami kini tahu dengan jelas dari mana asal usul jangkitan ini. Oleh itu, bersama rakan-rakan kerjasama lapangan terbang, kami memikirkan semula, melakar semula proses operasi kami. "
Protokol baru, yang akan berkuat kuasa selewat-lewatnya 13 Jun, akan membolehkan lapangan terbang untuk mengasingkan penumpang yang tiba dari zon-zon berisiko tinggi. "Dengan berbuat demikian, kami akan menjaga keselamatan semua pekerja lapangan terbang kami dan juga warga Singapura secara umumnya," kata Encik Lee.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.