Lanjutkan waktu senyap sehingga 1.5 jam antara cadangan tangani gangguan bunyi di kejiranan

Bendera Singapura di flat HDB. (Gambar: Facebook/Edwin Tong)
SINGAPURA: Satu panel yang menangani isu bunyi di kawasan kejiranan menyerahkan cadangan-cadangannya untuk menangani gangguan bunyi, termasuk melanjutkan waktu senyap selama satu setengah jam.
Panel Penasihat Masyarakat (CAP) mengenai gangguan bunyi menyerahkan cadanganya kepada Pejabat Perkhidmatan Perbandaran (MSO) serta Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) pada Sabtu (19 Nov) selepas menjalankan pendampingan awam dari Mei hingga September 2022.
Antara cadangan itu, adalah melanjutkan waktu senyap selama satu setengah jam, daripada waktu yang ditetapkan sekarang, iaitu pukul 10.30 malam hingga 7.00 pagi. Waktu baru yang dicadangkan adalah di antara pukul 10.00 malam hingga 8.00 pagi.
CAP juga menggesa para penduduk supaya mematuhi waktu senyap itu.
CADANGAN LAIN
Cadangan lain yang diketengahkan oleh panel itu termasuk gesaan agar penduduk menyelesaikan masalah dengan jiran mereka secara tidak rasmi dan perlunya bersikap bertimbang rasa di luar waktu senyap.
"Norma-norma yang disarankan oleh CAP itu menggesa penduduk supaya menyelesaikan masalah dengan jiran mereka menerusi perbincangan tidak rasmi serta menjalin hubungan antara mereka, dan bukan segera menghubungi pihak berkuasa untuk campur tangan," menurut kenyataan media bersama.
Menyedari bahawa norma-norma masyarakat itu tidak cukup untuk menangani setiap pertikaian berhubung gangguan bunyi, CAP juga mencadangkan kepada pemerintah untuk mengkaji semula proses bagi menguruskan pertikaian gangguan bunyi di kawasan kejiranan serta "menyokongnya dengan kuasa penguatkuasaan yang sesuai".
Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara Sim Ann, yang berucap di acara penutup sesi dialog bagi CAP mengenai gangguan bunyi di kejiranan berkata: "Kita harus
mencapai keseimbangan di antara menggunakan cara tidak rasmi untuk menyelesaikan pertikaian dengan jiran tetangga dan menggunakan cara keras seperti undang-undang dan penguatkuasaan pemerintah."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.