Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lanjutan JSS antara bantuan S$8 bilion untuk terus dorong pekerja, majikan harungi COVID-19

Lanjutan selama tujuh bulan bagi menampung subsidi gaji di bawah Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) dan satu inisiatif baru untuk menggalak pengambilan pekerja tempatan dalam sektor-sektor yang masih berkembang adalah antara langkah-langkah bernilai S$8 bilion yang diumumkan hari ini (17 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Aug 2020 08:21PM Dikemas Kini : 18 Aug 2020 01:18AM

SINGAPURA: Lanjutan selama tujuh bulan bagi menampung subsidi gaji di bawah Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) dan satu inisiatif baru untuk menggalak pengambilan pekerja tempatan dalam sektor-sektor yang masih berkembang adalah antara langkah-langkah bernilai S$8 bilion yang diumumkan hari ini (17 Ogos), sedang Singapura terus menyokong para pekerja dan syarikat-syarikat perusahaan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Mengumumkan langkah-langkah tersebut semasa menyampaikan Kenyataan Menteri, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat sedia maklum tentang kebimbingan para pekerja berhubung keselamatan pekerjaan dan kehilangan mata pencarian meskipun para majikan dan pemimpin kesatuan sudahpun menyentuh tentang usaha mereka untuk mengekalkan dan melatih semula pekerja.

Singapura perlu terus menyesuaikan diri dengan keadaan yang kian berubah-ubah, tekan Encik Heng yang juga Menteri Kewangan.

Dengan sebilangan langkah sokongan dijangka akan berakhir tidak lama lagi, sudah 'tiba pada masanya' untuk terus mengukuhkan strategi dalam tiga bidang, tambahnya.

Ini termasuk usaha untuk terus menyokong pekerjaan dan mewujudkan pekerjaaan baru, sambil menyediakan sokongan lanjut kepada sektor-sektor yang paling teruk terjejas dan juga meletakkan Singapura di dalam kedudukan di mana negara ini dapat memanfaatkan peluang-peluang pertumbuhan pasca COVID-19.

SUBSIDI GAJI DILANJUTKAN

Bagi terus melindungi pekerjaan, JSS yang diperkenalkan dalam Belanjawan pertama Februari lalu, akan dilanjutkan selama sehingga tujuh bulan untuk menampung pembayaran gaji sehingga Mac 2021.

Skim tersebut yang sejauh ini menyaksikan Pemerintah membiayai secara bersama antara 25 peratus hingga 75 peratus daripada S$4,600 pertama bagi gaji kasar yang diberikan kepada setiap pekerja rakyat tempatan atau Penduduk Tetap (PR), dijangka akan berakhir selepas menampung gaji bulan Ogos dengan bayarannya diagihkan pada Oktober.

Encik Heng berkata JSS dilancarkan berdasarkan "matlamat yang jelas" iaitu melindungi pekerjaan. Skim tersebut sejauh ini sudahpun menampung gaji bernilai lebih S$16 bilion dan ia berhasil membantu lebih 2 juta pekerja tempatan yang digajikan oleh lebih 150,000 syarikat.

Meskipun kadar pengangguran di negara ini sudah meningkat, namun ia kekal di paras yang rendah berbanding paras kemuncak yang disaksikan semasa tempoh SARS dan krisis kewangan global.

Perangkaan awal dari Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menunjukkan bahawa secara keseluruhannya kadar pengangguran pada suku kedua meningkat dari 2.4 peratus kepada 2.9 peratus. Sewaktu tempoh SARS, kadar pengangguran secara keseluruhannya adalah 4.8 peratus pada September 2003. Semasa krisis kewangan global pula, ia mencatat 3.3 peratus pada September 2009.

Sungguhpun demikian, Encik Heng menegaskan bahawa JSS tidak boleh terus bertahan pada paras sekarang ini kerana ia "banyak bergantung" kepada rizab negara dan ia berisiko menyebabkan para pekerja terjerat dalam keadaan yang tidak berdaya maju.

Sesetengah sektor juga bangkit dan pulih lebih pantas berbanding sektor-sektor lain. Oleh itu, skim subsidi gaji akan diubah suai mengikut ramalan pemulihan bagi sektor-sektor berbeza, tambahnya.

Di bawah skim JSS yang dilanjutkan, syarikat-syarikat paling terjejas adalah daripada sektor aeroangkasa, penerbangan dan pelancongan yang akan menerima subsidi gaji sebanyak 50 peratus bagi tempoh selama tujuh bulan lagi.

Bagi sektor persekitaran binaan, sokongan gaji akan ditetapkan pada 50 peratus untuk dua bulan lagi sebelum diturunkan kepada 30 peratus dari November tahun ini hingga Mac 2021. Ini seiring dengan penyambungan semula kegiatan binaan secara bertahap-tahap, jelas Encik Heng.

Sektor-sektor seni dan hiburan, khidmat makanan, pengangkutan darat, marin dan luar pesisir akan menerima subsidi gaji 30 peratus bagi tempoh lagi tujuh bulan.

Sebahagian besar daripada sektor-sektor lain pula akan diberi sokongan gaji sebanyak 10 peratus sehingga Mac 2021.

Bagi sektor-sektor yang berupaya menguruskan keadaan dengan baik, seperti sains bioperubatan, khidmat kewangan dan ICT, sokongan gaji 10 peratus akan diberi hanya untuk menampung gaji sehingga Disember tahun ini.

Encik Heng berkata, dengan pelanjutan JSS, kebanyakan perniagaan akan menerima sokongan gaji selama 17 bulan untuk "membantu mengekalkan seberapa ramai pekerja".

"Meskipun dengan sokongan 10 peratus, bayaran yang diberikan dapat menampung lebih separuh daripada sumbangan CPF majikan. Ini bagi memastikan kita dapat terus menambah simpanan CPF para pekerja walaupun semasa krisis."

Encik Heng turut menggesa semua syarikat perusahaan supaya memanfaatkan sepenuhnya sokongan tambahan itu bagi mengekalkan dan melatih para pekerja mereka, selain merubah operasi mereka supaya dapat bangkit lebih pantas apabila ekonomi beransur pulih.

Bagi syarikat-syarikat yang berupaya menguruskan keadaan dengan baik, mereka digalak supaya memulangkan atau mendermakan agihan yang diberikan, tambah Encik Heng sambil mendedahkan bahawa hampir 600 syarikat sudahpun berbuat demikian.

PENGAMBILAN PEKERJA DALAM SEKTOR YANG BERKEMBANG

Encik Heng juga mengumumkan pelancaran Insentif Pertumbuhan Pekerjaan (JGI) yang akan menyokong pengambilan pekerja dalam sektor-sektor yang berkembang seperti sains bioperubatan, khidmat kewangan, ICT, jagaan kesihatan awam dan sektor jagaan jangka panjang.

Program S$1 bilion yang menyokong usaha Pemerintah untuk mewujudkan pekerjaan baru, dengan tumpuan khusus kepada pekerja mapan, akan membantu syarikat-syarikat menambah jumlah pekerja tempatan sepanjang enam bulan mendatang, katanya.

Pemerintah akan berbuat demikian dengan menampung secara bersama sehingga 25 peratus gaji pekerja baru tempatan selama setahun, bergantung kepada had yang ditetapkan.

Bagi pekerja-pekerja yang berusia 40 tahun dan ke atas pula, bayaran bersama kepada syarikat-syarikat adalah sehingga 50 peratus.

MOM akan mengongsi perincian lanjut tentang JGI pada bulan ini, kata Encik Heng.

LEBIH BANYAK SOKONGAN UNTUK PEKERJA

Walaupun pihak berkuasa sedang berusaha sedaya upaya, pemberhentian pekerja mungkin sesuatu yang tidak dapat dielakkan, kata Encik Heng.

Sungguhpun demikian, Pemerintah akan terus menyokong mereka yang paling teruk terjejas, tekan beliau.

"Pemerintah akan terus bekerja rapat dengan perikatan tiga pihak untuk membantu pekerja yang diberhentikan kerja," jamin beliau sambil memaklumkan bahawa Nasihat Perikatan Tiga Pihak mengenai Menguruskan Tenaga Manusia Berlebihan dan Pemberhentian Pekerja Secara Bertanggungjawab sedang dikemas kini untuk merangkumi Rangka Kerja Pemberhentian Pekerja Yang Adil yang diusulkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

Sementara itu, Majlis Keselamatan Pekerjaan NTUC yang ditubuhkan awal tahun ini, berhasil memadankan lebih 20,000 pekerja yang diberhentikan kerja dan mereka yang berisiko diberhentikan kerja dengan peluang-peluang baru.

Encik Heng juga mengumumkan lanjutan kepada Geran Bantuan COVID-19 (CSG) sehingga Disember 2020.

Geran tersebut diperkenalkan pada Mei untuk membantu rakyat Singapura dan Penduduk Tetap yang tidak bekerja atau kehilangan mata pencarian yang sangat ketara. Sejauh ini, lebih S$90 juta sudahpun diagihkan kepada lebih 60,000 individu.

Mulai 1 Oktober, pelanjutan tersebut akan dibuka kepada para penerima CSG sedia ada dan juga pemohon baru. Untuk melayakkan diri, para pemohon yang tidak bekerja mesti menunjukkan bahawa mereka sedang mencari kerja atau usaha menjalani latihan, kata Encik Heng. Perincian lanjut akan dikongsi Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada awal bulan depan.

Lebih ramai pekerja bergaji rendah juga akan mendapat Bayaran Khas Daya Kerja di bawah kriterai yang diperluaskan, kata Encik Heng sambil menarik perhatian bahawa ramai daripada mereka adalah pekerja khidmat penting yang keluar bekerja di tengah-tengah krisis COVID-19.

Sebagai sebahagian daripada Pakej Bantuan Keluarga yang diumumkan dalam Belanjawan 2020, semua pekerja rakyat Singapura dan mereka yang bekerja sendiri yang menerima agihan Tambahan Pendapatan Daya Kerja bagi tahun 2019 menerima Bayaran Khas Daya Kerja sebanyak S$3,000 pada tahun ini.

"Saya akan memperluaskan lagi kelayakan bagi mendapatkan bayaran khas ini untuk meliputi mereka yang tidak termasuk dalam bayaran Daya Kerja tahun lalu tetapi sudahpun atau akan menerima bayaran Daya Kerja tahun ini," kata Encik Heng.

"Pasaran buruh kita dijangka kekal lemah menjangkaui 2020. Kami sedang meneliti bagaimana untuk terus menyokong para pekerja dan mereka yang bekerja sendiri yang juga merupakan antara yang paling terjejas," tambahnya.

MERUBAH EKONOMI

Encik Heng juga menekankan peri pentingnya untuk terus merubah ekonomi, sambil menarik perhatian bahawa dunia pasca COVID-19 "tidak lagi seperti dahulu".

Beliau turut merujuk kepada beberapa faktor termasuk persaingan strategik yang semakin sengit antara Amerika Syarikat dengan China, pembentukan semula rantaian bekalan global dan peralihan ke wadah digital.

Bidang-bidang pertumbuhan baru seperti jagaan kesihatan, kemampanan dan kecerdasan buatan juga sedang berkembang dengan pekerjaan-pekerjaan yang memerlukan kemahiran baru serta cara bekerja yang baru.

Untuk terus merangsang inovasi dan keusahawanan, sehingga S$150 juta akan diketepikan untuk mempertingkatkan program Pemula SG Founder secara bertahap-tahap.

Ini akan meningkatkan geran modal syarikat pemula selain terus memberi tunjuk ajar, kata Encik Heng sambil menarik perhatian bahawa syarikat-syarikat pemula turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Singapura dan usahanya melawan COVID-19.

Perincian lebih lanjut akan dikongsi oleh Kementeriaan Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada lewat minggu ini.

Encik Heng juga memberikan kemas kini mengenai Pasukan Bertindak Bangkit Lebih Kukuh yang ditubuhkan awal tahun ini untuk membimbing pemulihan ekonomi Singapura selepas pandemik COVID-19.

"Pasukan bertindak itu memberikan nasihat secara meluas kepada pelbagai pihak dan sedang dalam usaha melakar prototaip idea-idea baru melalui Perikatan bagi Tindakan yang diterajui oleh industri-industri tempatan," katanya sambil menambah bahawa perdagangan bijak dan pendigitalan rantaian bekalan adalah antara bidang yang sedang dibincangkan.

TIADA RANCANGAN MENGGUNAKAN RIZAB LALU

Bersama dengan pendanaan tambahan bagi industri-industri yang terjejas teruk seperti aeroangkasa, penerbangan dan pelancongan serta kredit pelancongan bagi merangsang sektor pelancongan tempatan, sokongan berterusan yang diumumkan hari ini bernilai S$8 bilion.

Menurut Encik Heng, Pemerintah merancang untuk menampung langkah-langkah tersebut "dengan mengalihkan dana yang sebelum ini diperuntukkan bagi bidang-bidang lain, seperti perbelanjaan pembangunan yang tertangguh disebabkan oleh COVID-19".

"Tiada rancangan untuk menggunakan rizab lalu untuk menampung langkah-langkah tersebut, menjangkaui apa yang sudah diluluskan sebelum ini," tambahnya sambil berkata bahawa beliau sudah memberikan taklimat kepada Presiden Halimah Yacob dan Majlis Penasihat Presiden tentang situasi terkini dan mengapa langkah-langkah berkenaan diperlukan.

Memandangkan pandemik COVID-19 menjejas teruk ekonomi negara, Pemerintah sudahpun memperuntukkan hampir S$100 bilion melalui empat belanjawan untuk menyokong syarikat-syarikat perusahaan dan para pekerja.

Singapura bagaimanapun dijangka akan mengalami kemelesetan ekonomi yang paling teruk sejak kemerdekaan, dengan para penggubal dasar meramalkan penguncupan antara lima hingga tujuh peratus pada tahun ini.

Data yang dikeluarkan minggu ini menunjukkan bahawa ekonomi Singapura menguncup 6.7 peratus pada separuh pertama tahun ini, dengan kemerosotan pada suku kedua mencecah paras rekod di tengah-tengah pelaksanaan pemutus rantaian jangkitan dan permintaan luaran yang lemah.

Encik Heng menegaskan bahawa situasi COVID-19 kini "terkawal" dengan pasukan bertindak berbilang kementerian sedang berusaha untuk menyambung semula lebih banyak kegiatan dengan selamat.

Namun, ekonomi global "masih lemah" katanya dengan pemulihannya bergantung kepada sejauh mana negara-negara berjaya membendung penularan virus tersebut.

"Vaksin berkesan, sekalipun ditemui, akan mengambil masa untuk dihasilkan dan diedarkan," katanya. "Sesetengah negara pula sudahpun membuka negara mereka tetapi kemudian menghadapi gelombang jangkitan yang baru. Ini membantutkan kebangkitan ekonomi mereka."

"Kita perlu terus berjaga-jaga. Langkah-langkah pengurusan keselamatan dan sekatan pada perjalanan antarabangsa akan terus dikuatkuasakan," katanya.

Encik Heng akur bahawa "perjalanannya mencabar" tetapi rakyat Singapura tidak akan menempuhinya seorang diri.

"Kita sedang melalui kehidupan yang mencabar. Marilah kita terus menumpukan perhatian kepada usaha untuk membina ekonomi yang lebih kukuh dan masyarakat yang lebih bersatu padu." 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/SM/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan