Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Langkah yang sudah diambil jamin bekalan elektrik, stabilkan harga elektrik borong: MTI

Anggaran Waktu Membaca:
Langkah yang sudah diambil jamin bekalan elektrik, stabilkan harga elektrik borong: MTI

(Gambar: Marcus Mark Ramos/CNA)

SINGAPURA: Langkah-langkah yang diambil oleh pihak berkuasa setakat ini telah membantu memastikan tiada gangguan pada bekalan tenaga dan menstabilkan harga elektrik borong di Singapura, kata Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan Dr Tan See Leng di Parlimen pada Selasa (2 Ogos). 

Ini bererti tidak perlu untuk meletakkan pasaran elektrik di bawah kawalan negara dalam jangka pendek hingga sederhana, tambahnya semasa menjawab soalan parlimen. 

Langkah-langkah tersebut termasuk menubuhkan kemudahan bahan api tambahan di mana syarikat menjana elektrik (gencos) boleh menghasilkan elektrik apabila bekalan gas asli terganggu. 

Gencos turut diarah mengekalkan stok minyak yang mencukupi. 

Dr Tan menarik perhatian bahawa dunia berdepan dengan kekangan tenaga sejak lewat September, dengan harga minyak sejagat melambung tinggi. 

Pasaran tenaga sejagat diramal kekal "berubah-ubah dan berharga tinggi", disebabkan konflik berlarutan di Ukraine dan peningkatan musiman permintaan tenaga di negara-negara yang bakal mengalami musim sejuk. 

Oleh kerana Singapura bergantung pada gas asli yang diimport untuk menjana sekitar 95 peratus tenaga elektriknya, harga tenaga tempatan tidak terlepas daripada kesan pasaran sejagat yang berubah-ubah, kata Dr Tan. 

"Harga minyak global yang lebih tinggi akan turut menyebabkan harga elektrik tempatan yang lebih tinggi," tambahnya. 

"Meskipun harga elektrik di Singapura akan mencerminkan kos penjanaan elektrik yang lebih tinggi, adalah penting bahawa ketidak tentuan sejagat tidak menjejas bekalan elektrik kita dan memberi kesan kepada fungsi pasaran tenaga tempatan." 

Dr Tan berkata Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) akan terus memantau dengan teliti situasi semasa dan "tidak akan teragak-agak untuk memperkenalkan langkah-langkah baru jika perlu". 

AP Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) ingin tahu sama ada terdapat pertimbangan untuk mempelbagaikan sumber elektrik Singapura. Menjawab, Dr Tan menegaskan sekali lagi bahawa Pemerintah sedang berusaha mencari jalan untuk memperluaskan dan mengekalkan keselamatan tenaga negara ini. 

Selain Projek Penyepaduan Tenaga Lao PDR-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP), EMA juga menerima cadangan untuk mengimport sehingga empat gigawatt elektrik menjelang 2035. 

"EMA sudah menerima pelbagai saranan daripada negara-negara dari dalam dan luar rantau ini, memaparkan potensi hebat tenaga yang boleh diperbaharui di rantau ini," kata Dr Tan. 

"Kami mengalu-alukan saranan tersebut, dan akan memperluaskan sumber bekalan kami untuk menjamin bekalan yang stabil dan mampan bagi Singapura." 

Selain import elektrik, Singapura juga akan terus mengekalkan beberapa pembekal tenaganya, sambil mencari sumber-sumber tenaga lain seperti tenaga suria dan alternatif yang melepaskan jumlah karbon yang rendah seperti hidrogen. 

Pihak berkuasa juga sudah memperkenalkan langkah-langkah sokongan bagi perniagaan dan keluarga, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong dalam jawapan bertulis pada Isnin (1 Ogos). 

Misalnya, Skim Sokongan Kontrak Elektrik Sementara (TRECS) membantu pengguna tenaga elektrik yang tinggi mendapat kontrak elektrik. Ia baru-baru ini dilanjutkan sehingga hujung Mac 2023. 

Encik Gan menarik perhatian bahawa permintaan TRECS "meningkat dengan mantap", menunjukkan bahawa perniagaan-perniagaan kini berjaya mendapatkan kontrak runcit jangka panjang. 

Geran Penjimatan Tenaga yang baru turut diumumkan bulan lalu sebagai sebahagian pakej sokongan S$1.5 bilion untuk mengatasi kadar inflasi yang semakin naik. Geran itu bertujuan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (SME) yang menggunakan jumlah elektrik yang tinggi, seperti khidmat makanan, pengilangan makanan dan industri runcit. 

Pemerintah juga akan membantu pengguna menampung harga elektrik yang lebih tinggi, khususnya golongan yang lebih memerlukan. 

Sebagai contoh, jumlah U-Save Baucar GST (GSTV) bagi keluarga-keluarga yang layak naik seganda pada tahun ini berbanding tahun lalu sebagai sebahagian langkah sokongan yang diumumkan pada Belanjawan 2022. 

Jumlah rebat yang diagihkan setiap suku itu bersamaan bil api air sehingga lapan hingga 10 bulan bagi purata keluarga yang menetap di flat HDB satu dan dua bilik, dan sehingga empat hingga enam bulan bagi mereka di flat HDB tiga hingga empat bilik. 

Dalam pada itu, semua keluarga Singapura akan menerima tambahan kredit perbekalan S$100 menjelang September sebagai sebahagian pakej sokongan S$1.5 bilion yang diumumkan bulan lalu. 

Pemerintah akan "melakukan segala yang mampu" untuk memastikan bekalan elektrik Singapura berdaya tahan, kata Encik Gan, sambil menggesa pengguna untuk memainkan peranan dengan menjimatkan tenaga jika boleh. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan