Skip to main content

Singapura

Langkah SMT beli Tech in Asia sokong transformasinya, sejajar dengan tujuan biaya pemerintah

Anggaran Waktu Membaca:
Langkah SMT beli Tech in Asia sokong transformasinya, sejajar dengan tujuan biaya pemerintah

(Gambar: Facebook/Tech in Asia, CNA/Raydza Rahman)

SINGAPURA: Meskipun kos memperolehi syarikat media teknologi, Tech In Asia (TIA) kekal menjadi rahsia atas sebab komersil, pemerintah menyatakan pembelian oleh Singapore Media Trust (SMT) itu menyokong misi entiti itu, yang termasuk proses transformasi.

Ia sejajar dengan tujuan pembiayaan pemerintah, kata Menteri Perhubungan dan Penerangan Josephine Teo pada Rabu (22 Nov).

Beliau menjawab soalan parlimen oleh Louis Chua (WO-Sengkang) mengenai sama ada pemerintah menetapkan syarat penggunaan bagi dana sebanyak S$180 juta setahun kepada SMT.

Awal tahun ini, SMT memaklumkan kepada Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) tentang rancangannya untuk membeli TIA dan membiayainya menerusi sumber sedia ada, kata Cik Teo pada Rabu.

"Sebagai sebuah entiti komersil, SMT harus mengambil keputusan sendiri secara bebas untuk menjalankan misinya, termasuk cara terbaik melaksanakan transformasinya," tambah Cik Teo.

"Meskipun pemerintah tidak terlibat dalam keputusan sedemikian, kami maklum bahawa pembelian tersebut menyokong transformasi SMT dan ia sejajar dengan tujuan pembiayaan pemerintah."
Dalam jawapan bertulis kepada Encik Chua, yang juga bertanya jika pemerintah tahu jumlah yang dibayar SMT bagi TIA, Cik Teo berkata kedua-dua entiti tidak akan mendedahkan terma transaksi itu atas sebab isu pasaran yang sensitif.

Pembiayaan bagi SMT terbahagi kepada tiga bidang, iaitu pembangunan teknologi, pembangunan bakat serta pemeliharaan media vernakular, tambahnya.

"Untuk memastikan penggunaan dana awam yang berhemat, MCI memantau rapi prestasi SMT serta cara dana digunakan untuk menyokong perkara tersebut," kata Cik Teo.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita