Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Langkah redakan pasaran hartanah kurangkan risiko berlaku kenaikan harga ikut 'kitaran pengukuhan sendiri', jelas Desmond Lee

Anggaran Waktu Membaca:
Langkah redakan pasaran hartanah kurangkan risiko berlaku kenaikan harga ikut 'kitaran pengukuhan sendiri', jelas Desmond Lee

Flat-flat HDB di Singapura. (Gambar: Calvin Oh/CNA)

Diterbitkan : 16 Dec 2021 02:15PM Dikemas Kini : 16 Dec 2021 02:15PM

SINGAPURA: Langkah-langkah untuk meredakan pasaran hartanah Singapura dilaksanakan sekarang untuk mengurangkan risiko berlaku kenaikan harga yang mengikut "kitaran pengukuhan sendiri".

Demikian menurut Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee hari ini (16 Dis).

Beliau berkata Pemerintah "mempertimbangkan dengan teliti" masa dan skop bagi melaksanakan langkah-langkah baru itu.

"Walaupun masih ada keadaan tidak menentu yang berlarutan yang diwujudkan oleh COVID-19, kami sudah memutuskan untuk bertindak sekarang untuk mengurangkan risiko berlaku kenaikan harga mengikut kitaran pengukuhan sendiri dalam pasaran perumahan privet dan flat jualan semula HDB, yang akan menjejas kemampuan untuk membeli rumah," kata Encik Lee di satu sidang media.

Langkah-langkah meredakan pasaran hartanah, yang bermula pada hari ini, termasuk Cukai Setem Tambahan Pembeli (ABSD) lebih tinggi, Nisbah Antara Pinjaman dan Nilai Hartanah (LTV) lebih ketat serta Nisbah Pembayaran Hutang Keseluruhan (TDSR) lebih rendah.

PASARAN TERUS RANCAK

Meskipun ekonomi bergelut dengan kesan COVID-19, harga bagi pasaran perumahan privet dan flat jualan semula meningkat dengan ketara sejak suku pertama 2, bto020, ujar Encik Lee.

Oleh yang demikian, nisbah antara harga rumah dan pendapatan (HPI) dalam kedua-dua pasaran perumahan privet dan flat jualan semula HDB terus meningkat, meskipun angkanya masih di bawah purata sejarah buat masa ini, jelas beliau.

HPI mengukur kemampuan untuk membeli rumah.

“Khususnya, HPI bagi flat jualan semula HDB mencecah 4.4 kali pada tiga suku pertama 2021, iaitu jauh di bawah paras yang dicatatkan sedekad lalu. Bagaimanapun, ia kini menunjukkan trend kenaikan yang jelas."

Jumlah urus niaga dan permintaan bagi flat Bina Ikut Tempahan (BTO) juga tinggi disebabkan faktor-faktor seperti saiz keluarga yang lebih kecil, persekitaran kadar faedah yang "amat rendah" dan gangguan pada kerja-kerja binaan baru-baru ini.

Semua faktor itu mewujudkan "momentum jelas pada peningkatan harga pasaran dan jumlah urus niaga" walaupun terdapat keadaan tidak menentu jangka pendek disebabkan pandemik. Ini termasuk kemungkinan varian Omicron menular di sini, kata Encik Lee.

"Jika dibiarkan tanpa dikawal, harga mungkin melepasi asas ekonomi dan meningkatkan risiko langkah pembetulan yang tidak stabil pada kemudian hari. Peminjam juga akan terdedah kepada kemungkinan kenaikan kadar faedah pada tahun-tahun mendatang."

Peminjam juga akan terdedah kepada kemungkinan berlakunya kenaikan pada kadar faedah pada tahun depan dan seterusnya kerana bank-bank pusat utama berusaha untuk memperketatkan dasar kewangan masing-masing, tambah beliau.

“Gabungan kenaikan harga dan kadar faedah lebih tinggi akan membawa risiko kenaikan ketara dalam kos pembayaran hutan bagi para bakal pembeli."

Lantaran itu, langkah-langkah meredakan pasaran tersebut akan membantu menyokong sebuah "pasaran hartanah yang stabil dan mampan dalam jangka sederhana" serta memastikan perumahan kekal boleh dimampui rakyat Singapura, ujar Encik Lee.

Beliau juga menekankan langkah-langkah itu mengutamakan pembelian bagi "pemilik yang benar-benar ingin membeli rumah untuk dijadikan tempat tinggal",' terutama sekali dalam kalangan pembeli pertama kali.

APAKAH KESAN DARIPADA LANGKAH BARU ITU?

Kenaikan pada kadar ABSD akan meredakan permintaan daripada mereka yang membeli hartanah bagi tujuan pelaburan, kata Encik Lee.

Langkah memperketat ambang TDSR dari 60 peratus kepada 55 peratus juga akan meredakan keadaan, "namun tidak terlalu menyekat aspirasi rakyat Singapura untuk memiliki rumah", ujarnya lagi.

“Ia juga bertujuan untuk menggalak sikap lebih berhemat dari segi kewangan dalam kalangan pembeli rumah, menyediakan penampan tambahan terhadap pengurangan pendapatan yang mungkin berlaku ataupun kenaikan kadar faedah."

Beliau menambah penyesuaian ambang TDSR dijangka tidak menjejas kebanyakan peminjam yang membeli flat HDB kerana sekitar 97 peratus daripada peminjam ini mempunyai TDSR kurang 55 peratus.

Walaupun segelintir bakal peminjam untuk perumahan privet perlu menimbangkan untuk menyesuaikan pembelian serta pinjaman yang diharapkan mengikut kemampuan, ambang baru itu akan meletakkan mereka "pada satu kedudukan lebih baik untuk membayar kewajipan gadai janji mereka sekarang ini dalam jangka sederhana," jelas Encik Lee.

Had LTV lebih ketat juga "menggalak sikap lebih berhemat dari segi kewangan" dalam kalangan pembeli pasaran perumahan awam.

Beliau menambah langkah itu dijangka tidak akan menjejas teruk pembeli kali pertama, terutama bagi keluarga berpendapatan rendah hingga pertengahan, kerana keluarga-keluarga sedemikian yang membeli flat jualan semula boleh mendapatkan "banyak geran" dan menggunakan simpanan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka untuk membayar flat mereka.

TAMBAH BEKALAN

Encik Lee menambah bekalan bagi kedua-dua pasaran perumahan privet dan awam akan dipertingkat untuk memenuhi permintaan perumahan.

Ini memandangkan kadar pembelian BTO terus meningkat semasa pandemik meskipun terdapat penambahan bekalan sepanjang beberapa tahun lalu, kata beliau.

Bekalan BTO akan ditambah, dengan HDB melancarkan sehingga 23,000 flat setiap tahun pada 2022 dan 2023 - iaitu kenaikan 35 peratus dari 17,000 flat yang dilancarkan pada 2021.

"Pada masa hadapan, kami juga bersedia untuk melancarkan sehingga 100,000 flat secara keseluruhannya dari 2021 hingga 2025, sekiranya perlu. Namun, kami akan melakukannya secara tersusun berdasarkan permintaan semasa."

Menteri itu menambah HDB akan memantau kemajuan projek-projek sedia ada untuk memastikan ia mengikut jadual yang ditetapkan.

Bekalan perumahan privet juga akan ditambah melalui Program Penjualan Tanah Pemerintah.

Bagi separuh pertama 2022, akan ada sekitar 2,800 unit di bawah Senarai Disahkan dengan 3,700 lagi unit dalam Senarai Rizab.

GALAK PASARAN PERUMAHAN STABIL

Encik Lee berkata langkah-langkah pembekalan dan permintaan bertujuan untuk menstabilkan pasaran dan akhirnya, memastikan kemampuan untuk membeli rumah.

Beliau menambah pihak berkuasa "menyedari kebimbangan" rakyat Singapura, khususnya pembeli kali pertama, yang mungkin prihatin tentang persaingan sengit bagi flat BTO dan kenaikan pada harga flat jualan semula HDB. Maka itu, penambahan pada jumlah bekalan akan menangani isu tersebut.

Encik Lee juga menekankan bahawa pembeli kali pertama yang merupakan rakyat Singapura terus dikecualikan daripada ABSD dan kenaikan pada kadar itu akan "membantu meredakan permintaan dan berpihak kepada pembeli rumah".

Beliau turut menggesa agar semua pembei mengamalkan sikap berhemat dalam pembelian mereka.

Sumber : CNA/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa