Skip to main content

Singapura

Langkah pindah Sekolah Sukan Singapura ke Kallang akan perluas ekosistem sukan, kata pelajar dan alumni SSP

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pemindahan Sekolah Sukan Singapura (SSP) dari Woodlands ke Kallang akan memberi manfaat bukan sahaja kepada atlet pelajar tetapi juga ekosistem sukan yang lebih besar, menurut kedua-dua pelajar dan alumni sekolah tersebut.

Semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan 2024 pada Ahad (18 Ogos), Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan pemindahan itu sebagai sebahagian daripada Pelan Induk Kallang Alive.

Beliau berkata langkah tersebut akan membolehkan atlet pelajar belajar dan berlatih bersama-sama dengan atlet senior.

Menggelar Kallang sebagai "rumah" baharu untuk Team Singapore, PM Wong turut mendedahkan rancangan untuk kemudahan sains sukan dan perubatan sukan baharu, serta pusat latihan nasional yang beroperasi di bawah satu bumbung di kawasan tersebut.
MENINGGALKAN TAPAK "IKONIK"

Beberapa bekas pelajar Sekolah Sukan memberitahu Mediacorp bahawa mereka terkejut mendengar langkah tersebut.

"Ramai di antara kami alumni telah mencipta begitu banyak kenangan dan bersekolah di kampus Woodlands," kata atlet negara Tia Rozario.

Selama bertahun-tahun, sekolah itu "sinonim" dengan kawasan Woodlands, tambah perenang Olimpik Chantal Liew.

"Sekolah Sukan sebenarnya dibina di atas (One) Champions Way; jalan raya itu dinamakan sempena Sekolah Sukan. Ia cukup ikonik," katanya.

"Tetapi saya fikir ini adalah satu perkara yang baik dan kami menggabungkan ekosistem sukan kami menjadi satu tempat dan jika ia boleh menjadi sebuah hab untuk semua sukan, saya fikir ia akan memberi lebih banyak manfaat kepada negara."

Ditempatkan di Kallang akan "mengubah seluruh tenaga dan keseluruhan dinamik sekolah", kata Liew.

Satu kelebihan utama untuk atlet pelajar ialah kemudahan lokasi di Kallang, menurut mereka yang ditemui Mediacorp.

Buat masa ini, SSP menawarkan sukan "program akademi" seperti badminton, renang dan balapan dan padang, di mana atlet pelajar dilatih oleh jurulatih sekolah. Tetapi sebahagian daripada mereka juga berlatih di luar sekolah, dengan pasukan belia dan pasukan senior negara.

Untuk laluan "program individu" SSP, atlet pelajar mesti disokong oleh Persatuan Sukan Nasional masing-masing dalam rancangan latihan. Mereka berlatih di luar sekolah.

Kira-kira sepertiga daripada pelajar SSP berlatih di luar sekolah.

Pemain tenis meja negara Ser Lin Qian, yang mengikuti kursus diploma bersama yang ditawarkan oleh Politeknik Ngee Ann dan SSP, lazimnya berlatih dua kali sehari dan perjalanan jauh telah menjadi sebahagian daripada rutinnya.

Dia melakukan perjalanan ke Arena OCBC di Kallang untuk latihan sebelah pagi, pergi ke Sekolah Sukan untuk kelasnya, kemudian kembali ke Kallang untuk sesi latihan sebelah petang. Ini sangat meletihkan, akuinya.

Bekas juara dunia Loh Kean Yew juga akan berulang-alik antara Kallang dan Woodlands semasa dia belajar di Sekolah Sukan.

"Saya perlu berfikir: 'Adakah saya harus tinggal di Woodlands, atau patutkah saya tinggal di Kallang?'" dedah Loh, yang sedang mengikuti diploma yang ditawarkan bersama oleh Politeknik Republik dan SSP.

Dia akhirnya menyewa bilik dengan abangnya di kawasan Geylang, dan berbasikal ke tempat latihan untuk menjimatkan kos.

Perenang Liew berkata: "(Perjalanan) mengambil banyak masa untuk atlet pulih dan berehat dan juga melakukan kerja."

Lokasi yang lebih mudah diakses akan menjimatkan masa - dan ini juga bermakna lebih ramai pelajar boleh memilih untuk tidak menginap di asrama sekolah, tambahnya, tiada apa yang "sangat mencabar" jika seseorang itu perlu menghabiskan hampir semua masa dalam persekitaran yang sama.

"Anda tidak dapat meluangkan banyak masa dengan ahli keluarga; rakan dari luar," jelasnya. "Jika saya mempunyai peluang untuk mengikuti Sekolah Sukan dan pulang ke rumah, saya fikir saya akan menjadi atlet pelajar yang lebih gembira."

Lokasi di Kallang juga boleh menawarkan peluang kepada lebih ramai ibu bapa dan mungkin juga membuka lebih banyak ruang untuk kerjasama dengan institusi pendidikan lain, tambah perenang itu.

Encik Hairul Sahril, yang anak perempuannya akan menyertai SSP tahun depan, berkata pemusatan tempat latihan pelbagai sukan di Kallang juga akan mengurangkan tempoh perjalanan untuk atlet pelajar dalam program individu sekolah.

TEKANAN TAMBAHAN

Pemindahan SSP ke Kallang juga akan membolehkan atlet pelajar mendapat inspirasi dan motivasi daripada atlet Team Singapore yang turut berlatih di kawasan berdekatan.

“Semakin tinggi tahap atlet yang berkumpul di satu tempat, tahap purata mungkin akan meningkat,” kata bekas pelayar negara dan juara dunia dua kali Darren Choy.

Atlet Olimpik dua kali Amita Berthier berkata ia akan menjadi persekitaran yang ideal untuk pelajar SSP.

"Apabila anda dikelilingi oleh para individu yang mempunyai matlamat yang sama atau telah mencapai keputusan yang sangat, sangat baik. Anda akan menyanjungi mereka," kata atlet lawan pedang itu.

"Itu sifat atlet secara umum. Anda cuba mencari motivasi. Dan saya fikir ini pasti akan memberi dorongan tambahan kepada anak-anak, kerana kadang-kadang apabila anda berada di Woodlands, ia agak meletihkan.

"(Dengan langkah itu), ia seperti, menyegarkan ... permulaan yang baharu."

Ser, pemain tenis meja, menekankan betapa pentingnya dapat berlatih dan berinteraksi dengan atlet yang lebih mapan.

“Terutama untuk tenis meja, kami memerlukan pendedahan kepada banyak rakan latihan," katanya. "Walaupun kami tidak dapat berlatih dengan mereka, berada di ruang yang sama, kami melihat mereka sebagai peran contoh."

Walaupun butiran mengenai pemindahan itu masih belum diumumkan, Ser sudahpun berasa teruja.

"Ia menunjukkan komitmen yang padu untuk menyokong atlet seperti saya, lebih-lebih lagi kita masih dalam usia remaja," katanya. "Adalah penting untuk membina asas yang sangat kukuh."
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita