Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Langkah pengurusan selamat dipertingkat di Pusat Borong Pasir Panjang susuli pembukaan semula

Pusat Borong Pasir Panjang dibuka semula pada pukul 3.00 petang hari ini (30 Sep), dengan langkah-langkah pengurusan selamat yang baru, setelah ia ditutup selama tiga hari menyusuli pengesanan kes COVID-19 di sana.

Anggaran Waktu Membaca:
Langkah pengurusan selamat dipertingkat di Pusat Borong Pasir Panjang susuli pembukaan semula
Diterbitkan : 30 Sep 2021 04:24PM Dikemas Kini : 30 Sep 2021 04:26PM

SINGAPURA: Pusat Borong Pasir Panjang dibuka semula pada pukul 3.00 petang hari ini (30 Sep), dengan langkah-langkah pengurusan selamat yang baru, setelah ia ditutup selama tiga hari menyusuli pengesanan kes COVID-19 di sana.

Para pekerja di pusat borong itu kini perlu menjalani ujian rutin berjadual pada setiap tujuh hari berbanding 14 hari, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam satu kenyataan media.

Ujian sebaik ketibaan bagi pelawat perdagangan yang dilaksanakan sejak Ogos, akan diteruskan.

Kesemua penyewa dan pekerja yang memasuki pusat borong itu mesti memakai gelang tangan berwarna mengikut sektor di mana mereka bekerja. Mereka juga tidak dibenarkan untuk "memasuki sektor lain sewenang-wenangnya", menurut SFA.

Jumlah pekerja bagi setiap penyewa yang boleh mengakses sektor bilik sejuk kini dikawal.

Jumlah itu berdasarkan pelbagai faktor seperti saiz bilik sejuk yang disewa dan keperluan operasi yang lain, menut SFA.

Para pekerja yang mengakses bilik sejuk itu perlu menjalani ujian COVID-19 dua kali seminggu dan meraih keputusan negatif sebelum mereka dibenarkan masuk.

Selain itu, keupayaan maksimum seramai 250 pelawat perdagangan akan dilaksanakan di Blok 13A sektor sayur-sayuran semasa waktu perdagangan pada sebelah malam, menurut agensi itu.

Sebelum ia dibuka semula, premis-premis tersebut sudah kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman sudah dijalankan secara menyeluruh, menurut SFA.

Para penyewa dan pekerja juga perlu menjalani ujian tindak balas rantaian polimerase,dan hanya mereka yang diuji negatif dibenarkan untuk menyambung semula operasi.

LANGKAH-LANGKAH AWAL

Sekitar 30 peratus buah-buahan import dan 50 peratus sayur-sayuran import ke Singapura dikendalikan di Pusat Borong Pasir Panjang.

Dalam mengumumkan penutupan sementara premis itu pada Ahad (26 Sep), SFA menyatakan akan berlaku "sedikit" gangguan terhadap bekalan buah-buahan dan sayur-sayuran Singapura, namun ini hanya bagi "tempoh yang sangat singkat".

Setakat Rabu (29 Sep), terdapat 127 kes COVID-19 berhubung kait dengan pusat borong tersebut. Daripada jumlah itu, 115 merupakan pekerja di pasar tersebut, empat merupakan pelawat perdagangan dan lapan adalah anggota keluarga kepada kes jangkitan.

Menggariskan langkah-langkah awal yang sudahpun dilaksanakan di Pusat Borong Pasir Panjang, SFA hari ini menyatakan bahawa kemasukan ke pusat itu dihadkan kepada individu yang diluluskan - khususnya para penyewa, pekerja dan pedagang - sejak Mac tahun lalu.

Kesemua pelawat perlu menunjukkan pas kemasukan yang diluluskan sebelum memasuki premis dan perlu mengimbas TraceTogether SafeEntry.

Duta jarak selamat dan pegawai penguatkuasaan sudahpun menjalankan pemeriksaan secara kerap di premis itu bagi memastikan langkah-langkah keselamatan dipatuhi, menurut SFA.

"Para pegawai penguatkuasaan akan memastikan bahawa pekerja penghantaran asing melakukan penghantaran tanpa bertemu dengan penerima dan tidak keluar kenderaan masing-masing pada setiap masa," ia menambah.

Para pekerja penghantaran asing mempunyai kemudahan tandas khusus di pusat borong itu, yang diasingkan daripada tandas yang digunakan oleh para penyewa dan pekerja.

Selain itu sejak Ogos, punggahan barang-barangan daripada lori-lori luar negara hanya dilakukan oleh pekerja para penyewa, bagi mengelakkan pergaulan dengan petugas asing semasa proses pemunggahan, menurut agensi itu.

Pengarah Kanan Divisyen Pengurusan dan Pembangunan Infrastruktur Makanan SFA, Melvin Chow mengucapkan terima kasih kepada industri itu kerana bekerjasama dengan agensi berkenaan dalam melaksanakan langkah-langkah keselamatan sejak permulaan pandemik dan mengenal pasti aspek-aspek yang boleh diperketat.

"Kami akan terus memantau operasi di Pusat Borong Pasir Panjang dan bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk menyelesaikan sebarang isu kecil dan terus memperhalusi langkah-langkah dipertingkat, jika perlu, sesuai dengan keadaan unik di Pusat Borong Pasir Panjang," katanya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan