Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Langkah pengurusan selamat diperketat di Kampong Gelam dalam bulan Ramadan

Beberapa agensi akan bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan setempat untuk memperketat Langkah-Langkah Pengurusan Selamat (SMM) di kawasan Kampong Gelam sepanjang bulan Ramadan ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Beberapa agensi akan bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan setempat untuk memperketat Langkah-Langkah Pengurusan Selamat (SMM) di kawasan Kampong Gelam sepanjang bulan Ramadan ini.

Ini termasuk lebih ramai Duta Jarak Selamat (SDA) dan Pegawai Penguatkuasaan (EO) dikerahkan di kawasan itu.

Demikian menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), One Kampong Gelam (OKG) dan Masjid Sultan dalam satu kenyataan bersama hari ini (9 Apr).

Seperti lazimnya, setiap kali bulan Ramadan, kawasan Kampong Gelam, yang menjadi tumpuan bagi pelbagai kegiatan, menerima kunjungan lebih ramai orang berbanding bulan-bulan lain.

Maka, dengan lebih banyak interaksi bermakna lebih tinggi risiko penularan jangkitan dalam kalangan masyarakat.

"COVID-19 kekal satu ancaman serius meskipun program vaksinasi sedang dijalankan. Dengan langkah-langkah sekatan terus dilonggarkan, risiko penularan dalam kalangan masyarakat juga terus menjadi keprihatinan. Kita harus terus berwaspada; jika tidak, pengorbanan kita baik secara individu mahupun secara bersama sepanjang tahun lalu akan sia-sia belaka," menurut agensi-agensi tersebut dalam kenyataan itu.

Orang ramai diingatkan supaya terus menjalankan tanggungjawab sosial dengan mengambil langkah-langkah pengurusan selamat dengan serius. Ini termasuk:

  • Memakai pelitup setiap masa kecuali semasa makan dan minum.
  • Semua perhimpunan sosial dan riadah harus dihadkan kepada jumlah tidak melebihi lapan orang. Kumpulan berasingan tidak dibenarkan saling berinteraksi.
  • Setiap kumpulan dan individu perlu mengekalkan jarak satu meter antara satu sama lain.

Para duta dan pegawai yang dikerahkan ke kawasan itu akan mengingatkan orang ramai supaya terus menjaga langkah pengurusan selamat dan memastikan kesejahteraan masyarakat.

"Kami menggesa para pengunjung dan perniagaan supaya memberikan kerjasama kepada mereka. Tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil ke atas para pengendali perniagaan dan individu-individu yang melanggar langkah-langkah pengurusan selamat," menurut kenyataan itu lagi.

Bagi para pengunjung yang ingin menunaikan solat di Masjid Sultan semasa berada di kawasan itu, mereka perlu membuat tempahan ruang menerusi sistem tempahan online aplikasi Muslim.SG.

Ini kerana ruang solat yang terhad di Masjid Sultan.
Mereka juga harus membawa sendiri kelengkapan peribadi seperti sejadah dan telekung.

Jemaah juga perlu mengimbas kod QR SafeEntry, TraceTogether dan mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat di masjid.

Seperti masjid-masjid lain di Singapura, mereka diigingatkan bahawa tiada kegiatan berbuka puasa beramai-ramai di masjid dalam tempoh pandemik ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa