Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Langkah-langkah lindungi golongan muda di media sosial bakal diumumkan: Masagos

Anggaran Waktu Membaca:
Langkah-langkah lindungi golongan muda di media sosial bakal diumumkan: Masagos

(Gambar: Facebook/Masagos Zulkifli)

SINGAPURA: Menteri Kedua Kesihatan, Masagos Zulkifli, melalui catatan di Facebook pada Jumaat (21 Jun) berkata langkah-langkah untuk melindungi golongan muda daripada kesan berbahaya di media sosial harus dilaksanakan.

Beliau berkongsi kenyataan daripada Ketua Khidmat Perubatan Amerika Syarikat, Vivek Murthy, yang menggesa supaya label amaran digunakan di platform media sosial.

Menurut Encik Masagos, Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) berkongsi kebimbangan diluahkan Dr Murthy.

Perdana Menteri Lawrence Wong berkata menangani kesihatan mental adalah keutamaan negara, tulis Encik Masagos.

Kesan media sosial terhadap kesihatan mental bukanlah konsep yang sukar untuk dipelajari.

Minda golongan muda terdedah kepada maklumat, interaksi dan tingkah laku yang mereka tidak boleh diterima kerana mereka belum matang.

Media sosial menghalang mereka daripada bermain dan berinteraksi secara fizikal, yang boleh menjejas mereka ketika membesar, tambahnya.

Menurut Encik Masagos, kesan waktu skrin kepada pembangunan kanak-kanak adalah pertanyaan utama penyelidik tempatan, 'Growing Up in Singapore Towards Healthy Outcomes' (GUSTO).

Salah satu kajian mendapati bahawa pendedahan waktu skrin menjejas perkembangan otak kanak-kanak kecil.

Satu lagi kajian yang belum diterbitkan meneroka bagaimana kaitan antara pembangunan otak dan fungsi eksekutif kanak-kanak menjejas kesihatan mental mereka.

Dengan jumlah bukti yang banyak daripada pihak antarabangsa dan tempatan, MOH mengeluarkan nasihat rasmi pada Mac 2023 mengenai penggunaan skrin buat kanak-kanak.

Bagi kanak-kanak di bawah 18 bulan, ibu bapa dinasihatkan untuk tidak menggalakkan sebarang penggunaan skrin melainkan ia adalah untuk bersembang melalui video.

Bagi kanak-kanak berumur antara 18 bulan hingga 36 bulan, ia dinasihatkan untuk mengehadkan jumlah penggunaan skrin kepada kurang daripada satu jam sehari.

Kanak-kanak lebih besar juga perlu elak penggunaan skrin ketika makan dan satu jam sebelum tidur.

Sejak beberapa bulan lalu, MOH dan MSF sudah membincangkan isu tersebut, kata Encik Masagos.

Pihak berkuasa menyelia interaksi utama kanak-kanak berusia sehingga 6 tahun, melalui pusat penjagaan kanak-kanak dan bersalin, dan pra-sekolah.


Beberapa inisiatif untuk melindungi orang ramai ketika menggunakan media sosial akan diumumkan dalam beberapa bulan akan datang, tambah Encik Masagos.

Buat masa ini, ibu bapa dinasihatkan untuk membiasakan diri dengan panduan sedia ada oleh MOH mengenai penggunaan skrin pada kanak-kanak di http://go.gov.sg/screen-use-in-children .

Sumber : BERITA Mediacorp/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan