Langkah-langkah baru akan lindungi pengguna Grab daripada kenaikan harga 'keterlaluan'
Sebagai sebahagian daripada langkah-langkah yang dikenakan oleh Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) bagi mewujudkan persaingan adil dalam industri khidmat sewa kereta privet, Grab kini dikehendaki mengekalkan algoritma tambang yang dilaksanakan sebelum gabungan.
SINGAPURA: Sebagai sebahagian daripada langkah-langkah yang dikenakan oleh Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) bagi mewujudkan persaingan adil dalam industri khidmat sewa kereta privet, Grab kini dikehendaki mengekalkan algoritma tambang yang dilaksanakan sebelum gabungan.
Menurut CCCS, langkah itu bertujuan melindungi kepentingan para penumpang dengan memastikan tambang asas kekal sama seperti yang ditetapkan sebelum pemerolehan, dan kenaikan tambang pada waktu sibuk juga dihadkan.
Semasa sidang media yang diadakan pada Isnin (24 Sep), Pengarah (Perniagaan dan Ekonomi) CCCS, Herbert Fung menerangkan bagaimana tambang dihadkan. Namun, Encik Fung menekankan bahawa langkah-langkah itu tidak menjejas kelonggaran untuk Grab mengamalkan penetapan harga dinamik di bawah syarat-syarat permintaan dan bekalan biasa.
"Grab mengamalkan penetapan harga dinamik yang bermakna bahawa tambang boleh meningkat pada waktu-waktu sibuk," kata Encik Fung.
"Grab mempunyai algoritma untuk menghitungnya. Harga boleh berubah pada waktu siang. Kami tidak menghalang pelaksanaan penetapan harga dinamik, namun mereka tidak boleh merubah algoritma itu bagi menguasai pasaran dan menjadikannya lebih mahal."
Meskipun had tambang tidak boleh didedahkan, Encik Fung berkata jumlah itu mencukupi untuk mengurangkan kesan terhadap para penumpang.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, jurucakap Grab berkata bahawa syarikat itu tidak menaikkan tambangnya sejak gabungan tersebut.
"Grab akan terus mematuhi model tambang urus niaga serta dasar-dasar tambang dan komisyen pemandu sebelum gabungan. Kami sudah dan akan terus menyerahkan data tambang mingguan kepada CCCS untuk dipantau," kata jurucakap itu sambil menambah Grab tidak menjangkakan bahawa langkah-langkah berkenaan akan menjejas perniagaannya.
Sementara itu, penyelidik pengangkutan dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) Walter Theseira berkata langkah-langkah itu memberi gambaran bahawa struktur tambang yang ada sekarang akan kekal tidak berubah.
POTONGAN HARGA TIDAK AKAN DIPULIHKAN
Dr Theseira juga menarik perhatian bahawa langkah-langkah tersebut tidak memerlukan Grab untuk mengembalikan semula promosi dan potongan harga yang pernah ditawarkan ketika Uber masih dalam pasaran.
Bercakap di sidang media semalam (24 Sep), Ketua Eksekutif CCCS Toh Han Li berkata langkah-langkah itu tidak bertujuan mengawal potongan harga yang diberikan kepada para pengguna kerana CCCS "mahu menyerahkannya kepada pasaran".
Encik Toh turut menekankan bahawa sebab utama bagi langkah-langkah itu adalah untuk membolehkan sebuah syarikat baru memasuki pasaran dan mengambil alih bahagian pasaran Uber yang keluar pada bulan Mac.
Dr Theseira bagaimanapun percaya bahawa meskipun jika sebuah lagi syarikat besar seperti Go Jek memasuki pasaran Singapura, Grab mungkin tidak akan menawarkan diskaun besar seperti yang dilakukannya sebelum ini.
Sementara itu, Grab menyatakan bahawa ia akan menyemak keputusan muktamad CCCS dengan teliti sebelum memutuskan sama ada untuk mengemukakan rayuan terhadap denda sejumlah S$6.42 juta yang dikenakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.