Skip to main content

Singapura

Langkah keselamatan di sekolah diperkemas secara 'bersasar': Chan Chun Sing

Kementerian Pendidikan (MOE) akan terus memperkemas langkah-langkah keselamatan di sekolah secara "bersasar", tanpa menjejas "semangat kekitaan" dalam persekitaran sekolah, kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing di Parlimen hari ini (27 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 27 Jul 2021 02:37PM Dikemas Kini : 28 Jul 2021 02:21PM

SINGAPURA: Kementerian Pendidikan (MOE) akan terus memperkemas langkah-langkah keselamatan di sekolah secara "bersasar", tanpa menjejas "semangat kekitaan" dalam persekitaran sekolah, kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing di Parlimen hari ini (27 Jul).

Sedang usaha-usaha dijalankan untuk meningkatkan tahap keselamatan di sekolah-sekolah, mutu pengalaman di sekolah bagi para pelajar dan kakitangan tidak seharusnya terjejas, katanya dalam satu kenyataan menteri.

"MOE akan terus memperbaharui langkah-langkah keselamatan kami dengan cara yang bersasar dan menerapkannya secara sensitif untuk menyeimbangkan keperluan keselamatan tanpa kehilangan rasa selamat, kepercayaan dan semangat kekitaan dalam persekitaran sekolah," kata Encik Chan.

Menteri itu bagaimanapun tidak memberi perincian tentang langkah-langkah yang mungkin akan dilaksanakan.

Kenyataan Encik Chan itu dibuat menyusuli insiden di Sekolah Tinggi River Valley minggu lalu, di mana seorang pelajar Menengah 4 ditangkap dan didakwa atas kematian seorang budak lelaki Menengah 1.

Mangsa, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun itu ditemui terbujur di lantai tandas sekolah dengan beberapa kesan luka. Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Siasatan awal menunjukkan kedua-dua pelajar itu tidak saling mengenali antara satu sama lain sebelum kejadian itu dan kapak yang ditemui dibeli secara online.

Hari ini, Encik Chan berkata ibu bapa "boleh difahami berasa bimbang" berikutan kejadian tersebut.

Keselamatan dan kesejahteraan pelajar serta kakitangan sangat penting dan sekolah mesti kekal sebagai tempat yang selamat bagi pelajar untuk belajar, membesar dan bermain, kata Encik Chan.

Namun, tambahnya, "kunci sebenar untuk kekal selamat" tidak terletak pada langkah-langkah keselamatan yang lebih bersifat mengganggu. Sebaliknya menerusi langkah-langkah pencegahan dan kewaspadaan dipertingkat dalam masyarakat.

"Kita semua mempunyai peranan bersama untuk memantau kelakuan yang mungkin menyimpang atau membimbangkan dan melaporkan ancaman yang mungkin wujud dalam kalangan kita."

Encik Chan berkata MOE tidak mahu sekolah-sekolah dijadikan ibarat "kubu", menimbulkan kegelisahan dan tekanan dalam kalangan kakitangan serta pelajar.

"Kami juga tidak mahu secara tidak sengaja menimbulkan pemikiran terlalu curiga dalam kalangan pelajar dan kakitangan, menyebabkan mereka mengambil langkah-langkah melampau untuk melindungi diri mereka sendiri, dengan mengorbankan rasa selamat bersama," katanya.

Encik Chan berkata pihak berkuasa juga tidak mahu menjejas mutu pengalaman di sekolah bagi para pelajar dan kakitangan, sambil berkata bahawa sekolah ibarat "rumah kedua".

"Saya bertanya kepada diri saya sendiri soalan yang sukar ini - bagaimana rasanya jika saya mesti mengosongkan kocek saya, diperiksa dan diperiksa pula beg saya sebelum memasuki pintu rumah atau gerbang sekolah saya?" tambah beliau.

"Juga, bagaimana perasaan anggota keluarga dan pelajar? Bagaimana kita berhubungan antara satu sama lain dalam sekitaran seperti itu? Adakah ia masih akan terasa seperti 'rumah'? Atau akan mewujudkan mentaliti terlalu curiga dalam diri saya? Tiada antara kita yang ingin pulang ke rumah dengan disambut pengimbas logam dan pemeriksaan beg."

LANGKAH-LANGKAH KESELAMATAN SEDIA ADA

Encik Chan berkata MOE sudahpun menerapkan pelbagai langkah keselamatan di sekolah, termasuk hadangan fizikal seperti pagar, penutup jendela gulung, kamera-kamera litar tertutup dan sistem-sistem amaran.

Para pegawai keselamatan juga melakukan pemeriksaan-pemeriksaan rambang dan mendaftarkan para pengunjung sebelum mereka memasuki sekolah, sementara guru dilatih untuk bertindak balas terhadap senario kecemasan yang berbeza-beza, jelasnya.

Sekolah sudah menetapkan protokol untuk menangani keadaan darurat, untuk bertindak balas, dan memulihkan keadaan kepada normal, kata Encik Chan.

Struktur Kecemasan Sekolah merangkumi bidang-bidang seperti pertolongan cemas, pencarian, pengurusan trauma, pemindahan, mengendali mangsa dan menguruskan pusat operasi kecemasan.

"Para pemimpin sekolah, kakitangan dan pelajar mengambil bahagian dalam latihan-latihan kecemasan secara berkala untuk berlatih bagaimana untuk menangani situasi kecemasan di sekolah, termasuk insiden keselamatan," katanya, sambil menambah bahawa pihak polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) terlibat dalam latihan seperti itu.

Encik Chan berkata beliau sudah membincangkan isu keselamatan sekolah dengan para pemimpin sekolah, sambil menambah mereka "sebulat suara" dalam respons mereka.

“Sekolah ibarat rumah kedua bagi anak-anak kita dan kita semua. Ia adalah tempat yang selamat di mana nilai dipupuk; hubungan seumur hidup dijalin dan identiti bersama dibentuk,” katanya.

"Persekitaran yang mesra dan saling menyokong membolehkan pelajar dengan keperluan dan aspirasi pembelajaran yang berbeza-beza untuk mendalami minat mereka dan membangunkan kekuatan masing-masing. Dan yang paling penting, ia adalah ruang yang dipercayai."

Di mana untuk dapatkan bantuan:

Hotline Samaritans of Singapore: 1800 221 4444

Talian bantuan Institut Kesihatan Mental: 6389 2222

Talian bantuan Persatuan Kesihatan Mental Singapura: 1800 283 7019

Anda juga boleh perolehi senarai talian bantuan antarabangsa di sini. Jika anda mengenali seseorang yang berdepan risiko segera, hubungi khidmat bantuan kesihatan 24-jam.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita