Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Langkah kawal keselamatan, kesesakan diperlukan bagi tangani pengunjung taman atas bumbung tidak bertimbang rasa

Anggaran Waktu Membaca:
Langkah kawal keselamatan, kesesakan diperlukan bagi tangani pengunjung taman atas bumbung tidak bertimbang rasa

SkyVille@Dawson. (Gambar: HDB)

Diterbitkan : 08 Nov 2022 11:16PM Dikemas Kini : 08 Nov 2022 11:23PM
SINGAPURA: Pengunjung taman atas bumbung di blok-blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang tidak bertimbang rasa telah mengganggu ketenteraman para penduduk.

Anggota Parlimen (AP) Joan Pereira menggesa lebih banyak langkah dilaksanakan bagi menjaga keselamatan dan mengawal kesesakan.

Menurut Cik Pereira (PAP-Tanjong Pagar), banyak agensi pemerintah serta polis sudahpun terlibat dalam usaha bagi mengurangkan ketidakselesaan yang dialami oleh para penduduk. Usaha yang dijalankan sejauh ini bagaimanapun belum lagi membuahkan hasil.

Semasa membangkitkan usul bagi penangguhan mesyuarat, Cik Pereira turut menyarankan masyarakat yang bersatu padu melalui penggunaan ruang bersama secara berhemah dan bertanggungjawab.

Cik Pereira berkata bahawa ruang-ruang sedemikian dibuka kepada orang ramai untuk meluangkan masa dengan orang-orang tersayang.

Sekalipun tidak menyatakan secara khusus dalam ucapannya mengenai estet mana yang dimaksudkan, Cik Pereira memberitahu Mediacorp bahawa beliau merujuk kepada SkyVille@Dawson, yang terletak berdekatan dengan stesen MRT Queenstown.

Tambah Cik Pereira, kesulitan yang dihadapi para penduduk "sangat ketara" terutama pada hujung minggu, cuti umum dan malam musim perayaan.

Meskipun para penduduk sedia maklum bahawa taman atas bumbung dibuka kepada orang ramai, mereka "sangat kurang senang" terhadap gangguan, bunyi bising dan sampah yang ditinggalkan di taman tersebut.

RELAWAN 'KEPENATAN'

AP itu turut mendedahkan bahawa sepanjang dua tahun lalu, para relawan melakukan rondaan di taman atas bumbung selepas jam 10.00 malam untuk mengingatkan para pengunjung untuk beredar dari tempat tersebut supaya para penduduk dapat berehat.

"Mengharapkan mereka untuk melakukan rondaan di taman-taman itu setiap hari bukan saja memakan masa tetapi juga tidak dapat terus ditampung dalam jangka panjang," ujar beliau.

Cik Pereira mendedahkan bahawa beliau dan pasukannya sudah mengusahakan beberapa langkah untuk membendung masalah itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan bantuan HDB, Majlis Bandaran, Jawatankuasa Penduduk, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan pihak penguasa yang lain.

Menurut Cik Pereira, keadaannya berbeza di Pinnacle@Duxton, yang mempunyai sebuah taman atas bumbung yang popular dan suasananya "jauh lebih teratur".

HDB AKAN KAJI REKA BENTUK BARU TAMAN ATAS BUMBUNG

Dalam responsnya, Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara, Sim Ann berkata bahawa HDB akan terus berusaha dengannya dan agensi-agensi pemerintah yang lain untuk memantau keadaan dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Tambah Cik Sim Ann lagi, HDB juga akan mengkaji cara-cara baru untuk menghasilkan reka bentuk yang lebih baik pada masa akan datang agar dapat menangani mana-mana masalah-masalah sedemikian sambil terus "memastikan ia kekal terbuka dan inklusif".

Ini kerana HDB tidak boleh menganggap taman atas bumbung sebagai ruang tertutup yang eksklusif.

Sebaliknya, Pinnacle@Duxton adalah satu pengecualian disebabkan oleh pelbagai faktor seperti lokasinya di tengah bandar, statusnya sebagai blok HDB yang tertinggi di Singapura dan pemandangan panoramiknya yang unik.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan