Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Langkah ditetapkan bantu pesakit barah terjejas perubahan dasar tuntutan rawatan: MOH

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Jul 2022 07:19PM Dikemas Kini : 05 Jul 2022 09:08PM
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) akan menetapkan langkah-langkah bagi "segelintir pesakit barah dengan kes luar biasa" yang terjejas oleh perubahan kepada tuntutan bagi ubat barah dan rawatan pesakit luar.

Demikian menurut Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Rahayu Mahzam pada Selasa (5 Jul).

Kementerian Kesihatan mengumumkan tahun lalu, perubahan-perubahan itu tertumpu kepada MediShield Hayat dan Pelan Perlindungan Bersepadu untuk meliputi rawatan menggunakan senarai ubat barah yang terbukti secara klinikal dan menjimatkan kos. Menurut MOH, perubahan itu akan dilaksana pada September ini.

Menjawab pertanyaan daripada Anggota Parlimen (AP) mengenai bantuan untuk pesakit yang memerlukan rawatan bukan standard, Cik Rahayu akur bahawa boleh diadakan pengecualian dalam kes di mana senarai rawatan tersebut tidak berkesan bagi pesakit dan doktor mereka mungkin menggunakan budi bicara klinikal untuk memberikan rawatan lain berdasarkan bukti manfaat.

"Dalam kes-kes sedemikian, doktor harus bersedia untuk menunjukkan bukti keputusan klinikal mereka kepada pesakit dan rakan-rakan sekerja mereka. Doktor juga mesti menasihatkan pesakit tentang risiko, keberkesanan dan kos supaya pesakit boleh membuat pilihan berasaskan maklumat yang sudah diterima," kata Cik Rahayu.

Had tuntutan sekarang yang dikenakan ke atas semua jenis ubat barah hanya memberikan sedikit atau tiada sebab untuk syarikat-syarikat farmaseutikal mengurangkan harga dan kuasa Pemerintah untuk merundingkan semula kos, kata beliau.

"Ini menyebabkan kenaikan harga ubat barah tidak dapat bertahan pada kadar sekarang. Jika tidak dikawal, harga ubat barah tidak akan lagi boleh dimampui kebanyakan pesakit barah," tambah Cik Rahayu.

HARGA UBAT BARAH LEBIH MURAH

Cik Rahayu berkata perubahan itu akan menjadikan rawatan barah lebih dimampui dengan menyediakan insentif bagi syarikat farmaseutikal untuk meletakkan harga lebih munasabah untuk meraih manfaat daripada perlindungan kewangan. Senarai itu meliputi sekitar 90 peratus rawatan yang ditawarkan dalam sektor awam.

"Sejak kami mengumumkan perubahan-perubahan itu pada 2021, kami berupaya mendapatkan pengurangan harga purata 30 peratus," kata beliau. "Bagi sebahagian ubat barah, pengurangan harga yang dicapai adalah lebih 60 peratus."

Harga lebih rendah itu menjadikan lebih banyak ubat barah lebih dimampui, membolehkan lagi 66 ubat barah disenaraikan bagi subsidi, ujar Cik Rahayu.

"Menggalak penggunaan ubat barah ke arah jagaan yang terbukti dan berkesan dari segi harganya akan memastikan kos rawatan bagi kebanyakan pesakit tidak naik terlampau tinggi disebabkan penggunaan berleluasa ubat barah yang baru dan begitu mahal," tambah beliau.

"Perubahan-perubahan ini akan memanfaatkan ribuan pesakit dan menjadikan lebih banyak ubat barah dimampui semua rakyat Singapura."

Cik Rahayu berkata demikian semasa menjawab pertanyaan AP termasuk Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) yang ingin tahu berapa ramai pesakit barah yang akan terjejas oleh dasar baru itu.

Beliau juga bertanya apakah jalan keluar bagi pesakit yang tidak memberikan respons kepada rawatan-rawatan tersebut dan berapa kerap senarai ubat barah itu akan disemak bagi memastikan ia mengikuti perkembangan perubatan terutama sekali bagi penyakit barah baru dan jarang berlaku.

Senarai ubat barah itu meluas, kata Cik Rahayu, sambil menambah kementeriannya mempunyai panel pakar yang termasuk ahli kanan onkologi dan haematologi awam dan privet dalam pelbagai kepakaran yang menyarankan rawatan-rawatan baru untuk dimasukkan ke dalam senarai.

Panel tersebut sudahpun meluluskan rawatan-rawatan yang meliputi berbilang terapi (menjangkaui rawatan pertama), serta rawatan barah yang jarang berlaku ke dalam senarai ubat barah itu.

Ini membolehkan MOH memasukkan sekitar 50 lagi rawatan ke dalam senarai tersebut sejak ia diumumkan pada Ogos tahun lalu, kata Cik Rahayu.

Senarai itu dikemas kini setiap empat bulan agar ia sejajar dengan perkembangan perubatan dan bukti terbaru klinikal.

Sebahagian pesakit mungkin masih dilindungi di bawah rawatan-rawatan yang bukan dalam senarai ubat barah tersebut oleh syarikat insurans privet mereka seperti 'rider' atau pelan perlindungan pesakit kronik, kata Cik Rahayu.

Pesakit privet yang berdepan kesukaran untuk menampung bil mereka boleh memilih untuk dipindahkan ke jagaan bersubsidi di institusi jagaan kesihatan awam.

"Sebaik pesakit berada di bawah jagaan bersubsidi, mereka boleh meraih manfaat daripada ubat barah dan yuran perubatan yang lebih dimampui, serta akses kepada pelbagai bantuan kewangan seperti MediFund. Semua pesakit juga boleh membuat rayuan untuk menambah penggunakan MediSave mereka, kata Cik Rahayu.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan