Langkah digital AI oleh MENDAKI jelajah ke kawasan kejiranan
Ini antara ilmu baharu yang dapat ditimba hampir 100 warga emas dan anggota masyarakat lain dalam Siri Langkah Digital AI Pop-Up yang diadakan di Pasar dan Pusat Penjaja Geylang Serai pada Sabtu (23 Mei).
Inisiatif itu bertujuan membawa pembelajaran kecerdasan buatan (AI) lebih dekat kepada masyarakat menerusi ruang masyarakat yang biasa dikunjungi orang ramai khususnya warga emas.
Ini termasuk Cik Rokiah Abu Bakar, 70 tahun, yang singgah ketika memborong persiapan Aidiladha bersama cucunya.
Bagi beliau, teknologi bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang remeh, lebih-lebih lagi selepas beliau sendiri pernah hampir menjadi mangsa penipuan dalam talian.
Berkongsi dengan BERITA Mediacorp, Cik Rokiah, yang dahulunya bertugas sebagai Penolong Pentadbir, berkata: “Saya pernah kena penipuan yang mengatakan duit saya di bank DBS diambil orang."
Pengalaman itu menjadikan beliau lebih berhati-hati di alam maya dan percaya bahawa warga emas juga tidak boleh ketinggalan dalam arus kemajuan teknologi, termasuk AI.
"Kita harus ambil tahu walaupun kita sudah berusia, sudah bergelar warga emas. Kita perlu ambil tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Hari ini, kita perlu meningkatkan diri," ujar Cik Rokiah.
Pendekatan yang diambil Langkah Digital AI ini juga disenangi Cik Rokiah.
Menerusi sesi berbentuk interaktif dan praktikal, peserta diperkenalkan kepada penggunaan AI dalam kehidupan harian seperti menggunakan fungsi suara pada ChatGPT untuk menjana idea, menghasilkan imej menggunakan AI, memahami aplikasi telefon bimbit serta mempelajari penggunaan peranti pintar.
Ia dianjurkan MENDAKI dengan kerjasama Pejabat Digital Singapura (SDO) Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), serta Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC.
Turut turun padang ialah Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Rahayu Mahzam, bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki, Encik Feroz Akber, yang bertemu peserta dan mendengar sendiri pengalaman serta keprihatinan mereka tentang AI.
Menurut beliau, perkembangan AI yang berlaku dengan pantas menjadikan usaha mendekati masyarakat secara langsung lebih penting supaya golongan seperti warga emas tidak rasa ketinggalan dalam arus perubahan teknologi.
“Kita sedia maklum bahawa kedatangan AI itu dengan pantas sekali dan dengan meluas sekali akan mengubah cara kita bekerja, cara kita berinteraksi. Dan ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan," kata Cik Rahayu.
Dalam memastikan masyarakat tidak ketinggalan, "perlunya adakan usaha menjangkau masyarakat dengan cara yang lebih khusus bagi membantu mereka memahami dan menghuraikan isu berkaitan AI dengan lebih mudah dan menjangkau pelbagai lapisan masyarakat".
Justeru, pendekatan seperti Langkah Digital, menurutnya, penting bagi membantu masyarakat memahami AI secara lebih mudah dan membina keyakinan mereka untuk menggunakannya dengan lebih berkesan.
“Penting untuk kita memberikan masyarakat landasan dan pemahaman tentang apakah itu AI dan penggunaannya,” tambah Cik Rahayu.
Usaha tersebut juga sejajar dengan usulan oleh Jawatankuasa Semakan Strategi Ekonomi (ESR).
Ini di samping melengkapi usaha Jawatankuasa Daya Tahan Ekonomi bagi memastikan masyarakat Melayu/Islam terus diperkasa dengan kemahiran baru dalam menghadapi perubahan ekonomi dan pekerjaan yang dipacu AI.
PEMBELAJARAN AI TERUS DIPERLUAS MENERUSI KURSUS LANJUTAN
Ini merupakan minggu kedua inisiatif itu diadakan di Pasar dan Pusat Penjaja Geylang Serai.
Untuk belajar dengan lebih mendalam lagi, para peserta turut diberikan maklumat lanjut mengenai bengkel dan kursus lanjutan yang boleh mereka sertai.
Antara yang mengambil peluang mendaftar bagi kursus lanjutan itu ialah Encik Suhaimi Buang, 62 tahun.
Bekas pekerja teknikal di Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*STAR) selama 34 tahun itu berkata beliau mendaftar bagi kursus AI untuk memudahkan urusan kerja dan kehidupan pada masa hadapan.
"Kita sedikit sebanyak kita harus tahu tentang bagaimana nak menggunakan teknologi seperti AI ni banyak kebaikannya," jelas Encik Suhaimi yang datang bersama isterinya.
Para peniaga di pusat penjaja dan pasar itu turut digalak meneroka penggunaan AI dalam mempertingkat perniagaan mereka, antaranya ialah peniaga sayur, Encik Anwar Sulaiman, 69 tahun.
Siri pertama, yang diadakan pada 16 Mei, menarik lebih 100 peserta, dengan sekitar 50 daripada mereka menyatakan minat untuk mengikuti kursus AI dan digital lanjutan.
Melangkah ke hadapan, Siri Langkah Digital AI Pop-Up akan diperluaskan ke kawasan kejiranan lain termasuk Woodlands, Marsiling dan Tampines dalam usaha memastikan lebih ramai warga, khususnya golongan berusia, lebih yakin menggunakan teknologi AI dalam kehidupan harian mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.