Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Langkah diambil untuk perketat rantaian proses projek kitar semula kasut kendalian SportSG, Dow

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Rakan-rakan kongsi program kitar semula kasut terpakai yang dekendalikan Sport Singapore (SportSG) dan syarikat Amerika Syarikat (AS) Dow sudah mengambil langkah-langkah untuk memperketatkan proses rantaian.

Ini selepas siasatan oleh agensi berita Reuters mendapati bahawa sejumlah pasang kasut yang diderma dihantar ke Indonesia di mana ia ditawarkan untuk dijual.

Langkah-langkah untuk memperketatkan proses itu termasuk melantik hanya kontraktor dan subkontraktor yang tidak terlibat dalam sebarang perdagangan tekstil atau kasut.
Menjawab soalan di Parlimen mengenai perkara tersebut, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong berkata pada Isnin (20 Mac) bahawa khidmat subkontraktor, Yok Impex, ditamatkan selepas rakan-rakan kongsi projek menyemak isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan Reuters.

Menurut Reuters, yang memasang alat pada 11 pasang kasut bagi menjejaki keberadaannya, hampir kesemua pasang kasut berakhir di premis Yok Impex. 10 pasang kasut kemudian dihantar ke Indonesia. Hanya sepasang yang kekal berada di Singapura, di mana alat pengesannya masih terlekat pada kasut itu.

"Siasatan mendapati bahawa tong-tong sampah kitar semula kasut di premis Yok Impex tidak diasingkan dengan betul daripada aktiviti pengasingannya yang lain, menyebabkan beberapa pasang kasut yang bertujuan untuk dikitar semula dieksport ke negara-negara lain untuk dijual," jelas Encik Tong pada Isnin.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperketatkan proses rantaian, Encik Tong berkata bahawa hanya kontraktor dan subkontraktor yang tidak terlibat dengan sebarang perdagangan barangan terpakai seperti tekstil dan kasut sudah dilantik.

Semua kasut yang diambil akan dihantar ke premis Alba-WH tanpa dikumpulkan atau diasingkan di mana-mana tempat lain terlebih dahulu.

Pemeriksaan mengejut dan pemeriksaan berkala juga akan dilakukan ke atas kontraktor serta subkontraktor, tambah Encik Tong.

Menurut menteri itu, projek itu "jika tidak, sudah berjalan dengan lancar". Beliau berkata 10,000 kilogram kasut sudah diproses dan digunakan di balapan di Hab Bola Sepak Kallang dan trek berlari-lari anak sepanjang 888 meter yang sedang dibina di Jurong Town.

Baki bahan yang dikitar semula daripada kasut-kasut terpakai lain dirancang untuk digunakan di pusat-pusat sukan di Serangoon, Bukit Canberra dan Punggol.
Ia juga akan digunakan di trek-trek berlari-lari anak, sudut kercegasan dan taman permainan di serata Singapura, kata Encik Tong.

"Saya harap episod ini tidak akan menghalang orang awam daripada menyokong inisiatif-inisiatif seumpama ini kerana ia penting dan memberi kesan dalam melindungi alam sekitar kita," tambahnya.
 
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan