Skip to main content

Singapura

Langkah COVID-19 diperketat: Had kumpulan 2 orang, makan di kedai tidak dibenarkan

Had lima orang bagi perhimpunan sosial sekarang akan dikurangkan lagi kepada hanya dua orang, menyusuli kenaikan jumlah kes masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 May 2021 02:42PM Dikemas Kini : 15 May 2021 01:14AM

SINGAPURA: Had lima orang bagi perhimpunan sosial sekarang akan dikurangkan lagi kepada hanya dua orang, menyusuli kenaikan jumlah kes masyarakat.

Demikian menurut Menteri Pendidikan Lawrence Wong pada Jumaat (14 Mei).

Had terbaru itu dan langkah-langkah lain yang disifatkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) sebagai "Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat)" akan berkuat kuasa dari 16 Mei hingga 13 Jun.

Bercakap semasa sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian pada Jumaat, Encik Wong berkata: "Ini terpakai ke atas semua orang, jadi jika anda mahu keluar untuk lakukan apa sahaja, beli barangan dapur, bersenam, hanya maksimum dua orang selepas ini.

"Malah, kami sangat menggalakkan semua orang supaya duduk di rumah sebanyak mungkin dan keluar hanya atas sebab-sebab penting."

"Kami akan mengkaji semula peraturan ini di peringkat pertengahan, bermakna dua minggu selepas langkah-langkah ini dilaksanakan dan pada waktu itu kami akan meneliti keadaan kesihatan awam dan melihat sama ada terdapat keperluan untuk menyesuaikan lagi langkah-langkah itu," tambah beliau.

"Kita sekarang di peringkat waspada dipertingkat. Saya menggesa semua orang supaya berjaga-jaga dan mengurangkan interaksi sosial yang tidak perlu, kata Menteri Kesihatan Gan Kim Yong.

"Kita perlu bertindak dengan tegas untuk membendung penularan virus itu. Oleh itu, kami akan memperketat lagi langkah-langkah pengurusan selamat dalam masyarakat."

TIDAK BOLEH MAKAN DI KEDAI, KERJA DARI RUMAH

Makan di premis-premis makanan dan minuman (F&B) juga tidak dibenarkan, kata Encik Wong. Ini termasuk di pusat-pusat penjaja dan pusat makanan, baik di tempat tertutup mahupun di tempat terbuka.

"Kami akan memperketat langkah-langkah di tempat-tempat yang berisiko lebih tinggi dan tempat-tempat sedemikian adalah yang mana orang ramai berhimpun di tempat-tempat tertutup tanpa memakai pelitup," kata Encik Wong.

"Semua kegiatan makan di luar perlu dihentikan. Semua premis F&B hanya boleh menawarkan pilihan makanan yang dibungkus dan dibawa pulang sahaja. Sejajar dengan itu, majlis-majlis jamuan perkahwinan juga perlu dihentikan kerana ia melibatkan kegiatan makan."

Bekerja dari rumah juga akan menjadi aturan automatik (default), tambah Encik Wong.

"Semua pekerja yang boleh bekerja dari rumah perlu melakukan demikian. Bekerja dari rumah adalah aturan automatik."

Had lima orang tetamu bagi setiap rumah juga dikurangkan kepada dua tetamu serumah dalam sehari, kata Encik Wong.

"Individu-individu perlu terus menghadkan jumlah keseluruhan perhimpunan sosial kepada tidak lebih daripada dua sehari, sama ada ke sebuah rumah lain atau pertemuan dengan rakan-rakan atau anggota keluarga di tempat-tempat awam," menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan media.

Cucu-cucu yang dijaga datuk dan nenek setiap hari tidak termasuk dalam had dua tetamu sehari bagi setiap rumah, menurut MOH lagi.

"Bagaimanapun, datuk dan nenek sangat digalakkan untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19 untuk melindungi diri mereka dan juga cucu mereka daripada jangkitan COVID-19. Untuk mengurangkan risiko penularan, datuk dan nenek juga perlu mengurangkan interaksi antara cucu-cucu dari rumah yang berbeza," menurut MOH.

Kegiatan-kegiatan lain yang tidak dibenarkan dalam tempoh ini termasuk kelas-kelas senaman berat atau sukan berat bagi individu atau kumpulan di tempat tertutup srta kegiatan senaman, menurut MOH dalam kenyataannya.

Khidmat-khidmat peribadi yang memerlukan pelitup ditanggalkan seperti sauna dan perawatan kecantikan wajah, nyanyian dan permainan peralatan yang "memerlukan penghembusan angin" seperti peralatan bras, juga tidak dibenarkan. Bagaimanapun, khidmat-khidmat perubatan dan pergigian masih boleh diteruskan, menurut kenyataan media itu lagi.

SAIZ ACARA DAN UJIAN SEBELUM ACARA

Saiz-saiz acara dan had saiz acara akan dikurangkan lagi, menurut Encik Wong.

Buat masa ini, acara-acara boleh dijalankan dengan 100 hadirin tanpa ujian sebelum acara dan 250 hadirin dengan ujian sebelum acara.

Ini akan dikurangkan masing-masing kepada 50 dan 100 hadirin, tambah beliau.

Ini juga dilaksanakan bagi perhimpunan dan khidmat-khidmat ibadat dan kegiatan MICE, kata Encik Wong.

"Begitu juga, kami akan mengurangkan had di semua pusat beli-belah, bilik-bilik pameran dan daya tarikan serta kapal pesiaran, muzium, perpustakaan awam dan had bagi semua ini akan dikurangkan," tambah beliau.

Bagi perhimpunan dan khidmat ibadat lain, para petugas keagamaan dan semua peserta lain mesti memakai pelitup pada setiap masa "untuk mengurangkan lagi risiko penularan menerusi titisan di ruang udara", menurut MOH lagi.

Program nyanyian dan permainan alat muzik angin juga digantung dalam tempoh ini.

Had operasi bagi daya tarikan yang sudah menerima kebenaran lebih awal daripada Kementerian Perdagangan dan Perusahaan akan dikurangkan kepada 25 peratus daripada 50 peratus sekarang ini.

Muzium dan perpustakaan awam juga dibenarkan beroperasi dengan jumlah pengunjung yang dikurangkan kepada 20 peratus. Pertunjukan di tempat tertutup dan terbuka boleh diteruskan dengan sehingga 100 penonton tetapi memerlukan ujian swab sebelum acara dan sehingga 50 orang tanpa memerlukan ujian swab, menurut MOH.

Ini juga terpakai bagi pawagam-pawagam tetapi saiz kumpulan dua orang perlu dipatuhi.

Makanan dan minuman pula tidak boleh dijual atau diambil di pawagam.

Had orang yang menghadiri upacara kematian juga dikurangkan dari 30 kepada 20 sahaja, menurut MOH.

Majlis pernikahan akan dibenarkan, dengan had 50 hadirin tanpa ujian atau sehingga 100 tetamu dengan ujian sebelum acara.

"Kami tahu ada satu kumpulan orang yang khususnya terjejas juga, iaitu pasangan pengantin. Sebahagiannya mungkin sudah membuat perancangan perkahwinan bagi Ahad ini dan ia mungkin sukar untuk membuat perubahan saat-saat akhir," kata Encik Wong.

Bagi mereka yang terjejas, pemerintah "bersedia menimbangkan untuk membenarkan mereka mengikuti peraturan sedia ada" bagi yang sudah membuat perancangan majlis pada Ahad ini (16 Mei), tambah beliau.

"Mereka boleh meneruskan majlis tetapi kami memerlukan mereka membuat aturan bagi ujian sebelum acara bagi semua tetamu mereka. Tatapi aturan khas ini hanya untuk Ahad ini kerana ia acara sekali seumur hidup bagi pasangan pengantin." 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita