Skip to main content

Singapura

Langkah COVID-19 'berkesan', tidak dijangka diperketat lanjut: Lawrence Wong

Tiada keperluan untuk "memperketat pendekatan" melebihi langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19 sekarang, umum Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Jumaat (28 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Langkah COVID-19 'berkesan', tidak dijangka diperketat lanjut: Lawrence Wong

Pengunjung tidak dibenarkan duduk dan makan di pusat penjaja di Chinatown susuli peraturan lebih ketat.

Diterbitkan : 28 May 2021 04:07PM Dikemas Kini : 28 May 2021 04:08PM

SINGAPURA: Tiada keperluan untuk "memperketat pendekatan" melebihi langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19 sekarang, umum Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Jumaat (28 Mei).

Encik Wong, yang merupakan pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian (MTF) COVID-19, berkata demikian semasa mengumumkan lebih banyak langkah sokongan untuk perniagaan yang terjejas oleh sekatan sekarang sewaktu tempoh Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat), yang akan dikuatkuasakan hingga 13 Jun.

"Sudah hampir dua minggu sejak kami terakhir mengumumkan langkah-langkah sedia ada untuk menangani penularan kes di Singapura.

"Penilaian kami adalah bahawa langkah-langkah tersebut berhasil, dan berkesan dalam mengekang penularan virus," katanya. "Kami terus memantau situasi dengan sangat teliti."

Beliau menambah bahawa Pemerintah akan memberikan kemas kini terperinci pada Isnin pada sidang media MTF seterusnya.

"Buat masa ini, kami yakin bahawa langkah-langkah tersebut berhasil dan berkesan dalam membantu kami mengekang penularan virus; dan oleh itu, kami tidak fikir ada keperluan untuk memperketat lebih lanjut keseluruhan pendekatan kami," kata beliau semasa menjawab soalan wartawan.

Jelas beliau, tanpa sekatan-sekatan tersebut, jumlah kes COVID-19 mungkin meningkat "secara mendadak", tetapi itu belum terjadi sejauh ini.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada penduduk Singapura yang bekerjasama dengan sekatan-sekatan itu, tetapi memberi amaran agar tidak bersikap sambil lewa.

"COVID-19 kemungkinan akan terus wujud untuk masa yang agak lama dan kita semua mempunyai peranan untuk membangunkan strategi yang lebih teguh bagi menyesuaikan diri dalam sekitaran baru ini," pesan Encik Wong.

"Jadi dengan kerjasama, saya yakin bahawa kita dapat mengatasi cabaran sekarang ini dan bangkit lebih teguh, lebih berdaya tahan dan lebih bersatu padu daripada sebelum ini."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita