Langkah bendung pengaruh luar antara pindaan diusulkan terhadap Akta Mengekalkan Keharmonian Agama
Memenuhi syarat kepimpinan dan mengisytiharkan sumbangan S$10,000 atau lebih daripada penyumbang luar negara mungkin menjadi syarat bagi pertubuhan agama di Singapura sebagai antara langkah baru yang diusulkan di bawah Rang Undang-Undang (Pindaan) Mengekalkan Keharmonian Agama.
SINGAPURA: Memenuhi syarat kepimpinan dan mengisytiharkan sumbangan S$10,000 atau lebih daripada penyumbang luar negara mungkin menjadi syarat bagi pertubuhan agama di Singapura sebagai antara langkah baru yang diusulkan di bawah Rang Undang-Undang (Pindaan) Mengekalkan Keharmonian Agama.
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) membentangkan rang itu untuk bacaan pertama di Parlimen hari ini (2 Sep) dan menyatakan Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MRHA) akan dipinda bagi memperkukuh keupayaan Pemerintah untuk cekap bertindak terhadap ancaman-ancaman yang menggugat keharmonian agama di negara ini.
MRHA dikuatkuasakan pada 1992 berdasarkan dua prinsip utama yang masih relevan hingga ke hari ini - iaitu memastikan para penganut agama yang berlainan mengamalkan ajaran agama secara sederhana, bertolak ansur dan tidak melakukan apa-apa yang menghasut kebencian serta memastikan agama dan politik tidak dicampuradukkan.
Di samping mengusulkan beberapa langkah baru sesuai dengan konteks masa kini, MHA membentangkan saranannya untuk meluaskan skop dan menyemak proses mengeluarkan Perintah Sekatan (RO). Ini selain memindahkan peruntukan-peruntukan berkaitan agama di bawah Kanun Jenayah kepada MRHA.
Saranan-saranan dikemukakan hari ini (2 Sep) selepas MHA mendapatkan pandangan pihak-pihak berkepentingan seperti Majlis Presiden Bagi Keharmonian Agama (PCRH) dan para pemimpin agama sejak awal 2019.
LANGKAH LINDUNGI PERTUBUHAN AGAMA DARI PENGARUH LUAR
Hakikatnya, Singapura tidak terlepas daripada kecaman pengaruh asing yang mencuba memanfaatkan perbezaan pendapat dalam isu agama atau menerapkan nilai-nilai yang berpotensi menjejas keharmonian agama di Singapura.
Lantaran itu, MHA mengusulkan agar pertubuhan agama mematuhi syarat yang mana jawatan-jawatan utama dalam pertubuhan (presiden, setiausaha, bendahari) hanya disandang warga atau Penduduk Tetap Singapura. Sebilangan besar anggota jawatankuasa eksekutif juga haruslah warga Singapura.
MHA hanya akan memberi pengecualian bagi kes-kes tertentu, khususnya bagi pertubuhan agama "rentas sempadan yang ditubuhkan sejak dahulu kala" yang tidak dapat memenuhi syarat-syarat baru atas pelbagai sebab.
Di bawah pindaan yang diusulkan MHA juga, pertubuhan-pertubuhan agama perlu mengisytiharkan "sumbangan dari luar negara" bernilai S$10,000 atau lebih pada satu-satu masa.
Bagaimanapun, pengecualian akan diluluskan sekiranya sumbangan dihulurkan oleh warga asing yang memegang pas jangka panjang. Sumbangan tanpa nama (diletakkan dalam peti derma), derma barangan, zakat dan fitrah juga tidak perlu diisytiharkan.
Pengisytiharan turut perlu dilakukan jika pertubuhan agama mempunyai kaitan dengan individu atau pertubuhan luar negara yang mempunyai kuasa terhadap operasinya.
PROSES RO DISEMAK, SKOP DIPERLUAS
Di bawah MRHA, Pemerintah berhak mengeluarkan Perintah Sekatan (RO) terhadap sesiapa yang membangkitkan kebencian antara kumpulan agama. Pemimpin atau anggota pertubuhan agama yang menjalankan kegiatan berunsur politik, subversif atau mencetuskan rasa tidak puas hati terhadap Presiden atau Pemerintah, atas nama agama, juga boleh dikenakan perintah tersebut. Begitu juga terhadap sesiapa yang menghasut pertubuhan agama, pemimpin atau anggotanya yang melakukan perkara sedemikian.
RO mencegah seseorang daripada memberi ucapan atau menulis kepada pertubuhan-pertubuhan agama. Individu terbabit antara lain juga tidak dibenarkan menyandang jawatan dalam lembaga pengarang penerbitan sebarang kumpulan agama Singapura.
Bagaimanapun, rejim RO dilakarkan jauh sebelum penggunaan media sosial dan Internet menjadi semakin meluas. Kini, terdapat keperluan bagi Pemerintah untuk mengambil tindakan dengan pantas terhadap bahan-bahan online yang berupaya menjejas keharmonian agama, sama seperti ucapan-ucapan di luar talian (offline).
Maka itu, skop RO akan diperluaskan di mana pesalah dikehendaki menurunkan catatan online yang menyinggung kumpulan agama lain.
Masa diperlukan bagi RO untuk berkuat kuasa juga akan disingkatkan bagi memastikan mesej-mesej menyinggung kumpulan agama dapat diturunkan dengan secepatnya.
Di bawah pindaan yang diusulkan MHA, RO akan berkuat kuasa secara serta-merta sebaik sahaja dikeluarkan berbanding notis 14 hari yang perlu dipenuhi sebelumnya.
Bukan itu sahaja, MHA boleh mengeluarkan RO terhadap pertubuhan agama yang memperlekehkan toleransi agama dan menjadi ancaman kepada ketenteraman awam.
Pertubuhan agama yang dikenakan RO akan dilarang daripada menerima sumbangan dari semua atau penderma asing tertentu dan/atau pihaknya perlu memulangkan sebarang sumbangan. RO juga boleh menetapkan seluruh jawatankuasa eksekutif terdiri daripada anggota warga Singapura atau mengenakan larangan terhadap individu-individu terbabit daripada menyandang jawatan penting.
Presiden akan mengesahkan, membatalkan atau mengubah RO dalam tempoh 30 hari selepas menerima saranan dari Majlis Presiden Bagi Keharmonian Agama (PCRH).
Tiada perubahan diusulkan terhadap proses pengesahan RO - pertubuhan agama atau individu yang dikenakan sekatan boleh memberi penerangan kepada PCRH yang kemudian akan membentangkan saranannya kepada Presiden.
GABUNG KESALAHAN JEJAS KEHARMONIAN AGAMA DI BAWAH MRHA
Buat masa ini, terdapat peruntukan di bawah MRHA dan Kanun Jenayah bagi melindungi keharmonian agama di Singapura.
Dalam kenyataannya, MHA menjelaskan kesalahan-kesalahan Kanun Jenayah berkaitan agama akan digabungkan di bawah MHRA bagi memperkukuh dan menumpukan usaha-usahanya dengan fokus lebih baik.
Kesalahan-kesalahan yang dimaksudkan adalah:
(a) Menggalak keganasan atas nama agama, atau terhadap kumpulan agama atau para anggotanya
(b) Menimbulkan kebencian terhadap kumpulan agama lain
(c) Menghina agama atau melukakan perasaan seseorang berkaitan isu keagamaan
Hukuman bagi kesalahan (b) dan (c) bergantung kepada status pesalah - sama ada dia seorang anggota awam atau pemimpin agama. Anggota awam akan dianggap melakukan kesalahan hanya jika dia mencetuskan risiko mengganggu ketenteraman awam di Singapura. Namun, syarat ini tidak ditetapkan bagi pemimpin agama - bermakna, perbuatan menghasut sahaja oleh pemimpin agama akan dianggap sebagai kesalahan.
Semua tindakan yang disebutkan dianggap sebagai satu kesalahan selagi ia disasarkan terhadap kumpulan atau seseorang di Singapura, walaupun ia dilakukan dari luar negara.
INISIATIF PEMULIHAN MASYARAKAT
Satu inisiatif baru diberi nama Community Remedial Initiative (CRI) atau Inisiatif Pemulihan Masyarakat juga akan diperkenalkan di bawah pindaan yang diusulkan MHA.
Di bawah inisiatif itu, MHA memberi peluang kepada seseorang yang menyinggung perasaan kumpulan agama lain, untuk melakukan kegiatan-kegiatan yang akan membantunya memahami kumpulan masyarakat terjejas dengan lebih baik. Misalnya, bagi membina hubungan lebih baik, pelaku boleh mengeluarkan kenyataan maaf secara terbuka atau secara peribadi atau menyertai acara-acara silang agama.
Pelaku boleh memutuskan sendiri sama ada dia ingin mengambil bahagian dalam CRI. Pelibatannya dalam CRI akan dipertimbangkan apabila menentukan sama ada pelaku akan didakwa atas kesalahannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.