Skip to main content

Singapura

Langkah baru kekalkan pemegang permit kerja dalam sektor binaan, limbungan & pemprosesan

Langkah-langkah baru dilaksanakan untuk membantu mengurangkan cabaran tenaga kerja dalam sektor binaan, limbungan marin dan pemprosesan, umum Kementerian Tenaga Manusia (MOM) hari ini (30 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 Oct 2021 12:26PM Dikemas Kini : 31 Oct 2021 12:17AM

SINGAPURA: Langkah-langkah baru dilaksanakan untuk membantu mengurangkan cabaran tenaga kerja dalam sektor binaan, limbungan marin dan pemprosesan, umum Kementerian Tenaga Manusia (MOM) hari ini (30 Okt).

Buat masa ini, para majikan boleh menggajikan pemegang permit kerja tanpa persetujuan majikan asal antara 21 dengan 40 hari sebelum permit pekerja itu luput.

Pada masa hadapan, para pekerja hijrahan akan kekal bekerja dengan majikan asal sehingga permit kerja mereka luput, menurut kementerian itu.

Selepas itu, mereka boleh melanjutkan permit kerja selama lagi 30 hari, bergantung kepada persetujuan bersama antara pekerja itu dan majikannya.

Pemegang pas kerja itu boleh menggunakan tempoh tersebut untuk mencari majikan baru tanpa perlu persetujuan daripada majikan asal.

Pada masa yang sama, majikan itu juga boleh mengambil pekerja tersebut untuk bekerja sehingga 30 hari, tambah kementerian itu.

"Sekiranya tiada persetujuan daripada pekerja atau majikan untuk melanjutkan permit kerja menjelang 30 hari, pekerja itu akan diletakkan di bawah skim pengekalan pekerja dan persatuan-persatuan industri akan membantu memadankan kerja dengan majikan baru dalam tempoh 30 hari," menurut MOM.

Ia pertama kali akan dilaksanakan bagi sektor binaan mulai 8 November, disusuli pula dengan sektor limbungan marin sebelum sektor pemprosesan pada tarikh yang lain. Persatuan-persatuan itu akan mengeluarkan lebih banyak perincian apabila sudah bersedia, tambah MOM.

Kementerian itu juga menyatakan bahawa sebuah skim pengekalan pekerja bagi sektor binaan akan dilanjutkan ke sektor limbungan dan pemprosesan.

Bulan lalu, pemerintah dan Persatuan Kontraktor Singapura Ltd (SCAL) memulakan satu skim pengekalan pekerja bagi para pemegang permit kerja binaan yang berpengalaman, yang kontraknya sebelum itu dibatalkan.

Bagi pekerja-pekerja sedemikian yang mahu terus bekerja di Singapura, SCAL akan memudahkan pemadanan kerja antara mereka dengan para majikan yang memerlukan tambahan tenaga kerja serta menjadi perantara untuk memastikan proses pemindahan yang telus dan memanfaatkan kedua-dua pihak.

Setakat ini, 52 syarikat sudahpun meraih manfaat daripada skim itu, menurut MOM sambil menambah bahawa ini membantu mengimbangi jumlah pekerja sektor binaan yang berhenti di tengah-tengah sekatan kemasukan pekerja disebabkan kawalan sempadan akibat COVID-19.

Skim itu akan berkuat kuasa hingga 28 Februari tahun depan, tertakluk kepada semakan lanjut.

Melangkah ke hadapan, MOM bekerjasama dengan Persatuan Industri-industri Marin Singapura dan Persatuan Industri Pemprosesan untuk melanjutkan skim pengekalan pekerja di sektor limbungan dan pemprosesan. Perincian lanjut akan didedahkan kelak. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita