Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Langkah baru bantu pemohon kali pertama beli flat HDB berkuat kuasa mulai Ogos

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Langkah-langkah untuk membantu keluarga yang ingin membeli flat baru buat kali pertama akan berkuat kuasa mulai pelancaran flat Ikut Bina Tempahan (BTO) pada Ogos, umum Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee pada Isnin (27 Feb).

Langkah-langkah tersebut pertama kali diumumkan semasa Belanjawan 2023 dua minggu lalu.

Pemohon kali pertama yang mempunyai anak dan pasangan muda berusia 40 tahun dan ke bawah, yang ingin membeli flat buat kali pertama akan menerima peluang tambahan bagi permohonan flat BTO mereka.

Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong turut mengumumkan bahawa Geran Perumahan CPF akan dinaikkan daripada S$50,000 kepada S$80,000 bagi keluarga pertama kali yang layak dan membeli flat jualan semula empat bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) atau yang lebih kecil.

Bagi keluarga yang membeli flat jualan semula lima bilik atau lebih besar, jumlah itu akan dinaikkan daripada S$40,000 kepada S$50,000.

LEBIH BANYAK FLAT BTO DI ESTET MATANG

Dalam satu catatan di Facebook pada Isnin, Encik Lee juga berkata HDB akan menawarkan lebih banyak flat BTO di estet-estet matang tahun ini berikutan maklum balas daripada pasangan muda yang ingin tinggal dekat dengan ibu bapa mereka.

"Ramai pasangan muda yang berkongsi dengan saya bahawa mereka ingin tinggal dekat dengan ibu bapa mereka agar dapat menjaga dan menyokong satu sama lain, dan sudah cuba mendapatkan flat BTO di estet-estet matang," ujar Encik Lee.

"Kami faham keperluan dan aspirasi mereka dan akan menawarkan lebih banyak flat BTO di estet-estet matang tahun ini."

Encik Lee menjelaskan, lebih banyak masa diperlukan untuk menyediakan dan menyiapkan projek BTO di tapak-tapak berkenaan kerana estet matang lazimnya sudah mempunyai blok perumahan, kemudahan dan prasarana pengangkutan.

"Lebih banyak perhatian dan perancangan diperlukan untuk memastikan kerja-kerja dilakukan dengan selamat, sejajar dengan syarat-syarat kawal selia tanpa gangguan besar kepada masyarakat yang tinggal berdekatan," katanya, sambil menambah bahawa mereka yang ingin berpindah lebih awal ke rumah baru boleh mempertimbangkan projek-projek di estet belum matang.

Lazimnya, terdapat empat pelancaran BTO setiap tahun.

Pelancaran pada 28 Februari akan menyaksikan tawaran sekitar 4,500 flat BTO di Jurong West, Tengah, Queenstown dan Kallang Whampoa.

Ia adalah sebahagian daripada 23,000 flat BTO yang bakal dilancarkan HDB tahun ini, menurut Encik Lee.

Tambahnya, Pemerintah juga sedang meneroka langkah-langkah bagi mengurangkan kadar pemohon BTO yang tidak membuat pemilihan bagi mengutamakan mereka yang segera memerlukan rumah.

Maklumat lanjut mengenai inisiatif-inisiatif tersebut akan diumumkan semasa perbahasan Jawatankuaa Perbekalan MND.
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan