Skip to main content

Singapura

Langkah antipenipuan OCBC kecewakan pengguna; bank jelaskan hanya aplikasi dengan setting kelulusan berisiko terjejas

Anggaran Waktu Membaca:
Langkah antipenipuan OCBC kecewakan pengguna; bank jelaskan hanya aplikasi dengan setting kelulusan berisiko terjejas

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 09 Aug 2023 07:30PM Dikemas Kini : 09 Aug 2023 09:06PM
SINGAPURA: OCBC menyatakan bahawa hanya aplikasi jenis Android yang mempunyai setting kelulusan berisiko yang mungkin meletakkan telefon bimbit penggunanya di bawah ancaman perisian hasad akan terjejas oleh ciri keselamatan baharu bank itu.

Ia menambah bahawa tidak semua aplikasi dari platform tidak rasmi akan terjejas oleh kemas kini keselamatan baharunya.

Encik Beaver Chua, ketua antipenipuan kumpulan pematuhan jenayah kewangan OCBC, menjelaskan pada Selasa (8 Ogos), dua hari selepas bank itu mengumumkan ciri keselamatan baharu yang menghalang pengguna untuk log masuk ke dalam perbankan online dan aplikasi OCBC Digital pada telefon bimbit mereka jika ia mengesan aplikasi yang dimuat turun dari portal tidak rasmi.

Ciri keselamatan itu bagaimanapun menerima maklum balas negatif daripada beberapa pengguna.

"Ciri tersebut hanya akan menghalang aplikasi yang tidak dimuat turun dari kedai aplikasi rasmi, dan yang mempunyai setting kelulusan berisiko yang mungkin boleh menyebabkan telefon bimbit dan aplikasi perbankan digodam," kata Encik Chua.

Beliau menambah bahawa aplikasi lain yang tidak mempunyai setting kelulusan berisiko tidak terjejas.

OCBC menyatakan bahawa langkah keselamatan itu dilaksanakan untuk melindungi para pelanggan daripada perisian hasad yang dapat mendedahkan alat mereka kepada penipuan.

KEPRIHATINAN PENGGUNA

Beberapa pengguna mengadu kepada akaun media sosial bank OCBC selepas kemas kini keselamatan bermula pada Sabtu (5 Ogos)

Mereka mengadu bahawa aplikasi seperti platform berkongsi video popular China Douyin, platform pembayaran online Alipay, dan aplikasi kawalan alat bijak LG merupakan di antara aplikasi yang dihalang ciri keselamatan OCBC.

Bank itu menasihatkan para pengguna untuk memuat turun semula aplikasi tersebut dari kedai aplikasi rasmi untuk menggunakan perkhidmatan perbankan mereka.

Persatuan Bank Singapura (ABS) menyatakan penipuan berkaitan perisian hasad sering dijalankan melalui aplikasi dimuat turun dari pihak ketiga atau laman mencurigakan, dan mengingatkan para pengguna bahawa mereka bertanggungjawab atas kerugian daripada penipuan sedemikian.

Persatuan itu mengulangi pendirian OCBC terhadap privasi, dan menyatakan bahawa ciri keselamatan bank itu tidak memantau kegiatan telefon bimbit pelanggan, mengumpul sebarang data peribadi, atau mengenal pasti pemilik telefon bimbit tersebut.

MELINDUNGI DARIPADA PERISIAN HASAD

OCBC menyatakan sejak ia melancarkan peningkatan keselamatan pada Sabtu, bank tersebut tidak menerima sebarang laporan penipuan berkaitan perisian hasad dari pelanggan yang mengemas kini aplikasi mereka dengan ciri baru itu.

Encik Chua mengakui meskipun aplikasi di kedai aplikasi rasmi tidak bebas daripada risiko, "peluang perisian hasad adalah rendah kerana terdapat proses semakan, berbanding aplikasi dari laman web atau sumber tidak dikenali".

BANK LAIN DIJANGKA MENGIKUTI LANGKAH SAMA

OCBC menyatakan bank-bank lain dijangka memperkenalkan langkah keselamatan yang dikemas kini pada masa hadapan.

ABS menyatakan anggotanya akan melancarkan ciri keselamatan lebih kukuh untuk melindungi pelanggannya daripada perisian hasad dan penipuan.

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menyatakan ia menyokong inisiatif-inisiatif bank tempatan untuk mengukuhkan keselamatan perbankan digital.

MAS menambah ia akan bekerjasama dengan pihak bank untuk mempelajari daripada pengalaman tersebut dan meningkatkan ciri-ciri keselamatan mereka.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita