Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Langit cerah sambut 270,000 peminat F1 di Grand Prix SG, suasana meriah di Marina Bay!

Cuaca hujan lebat yang melanda selama dua malam lalu menimbulkan kebimbangan tentang kemungkinan hujan semasa perlumbaan Grand Prix F1 Singapura malam Ahad (22 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Cuaca hujan lebat yang melanda selama dua malam lalu menimbulkan kebimbangan tentang kemungkinan hujan semasa perlumbaan Grand Prix F1 Singapura malam Ahad (22 Sep). 

Namun, menjelang perlumbaan, langit cerah menyambut hampir 270,000 peminat F1 yang membanjiri kawasan bandar. 

PEMINAT GHAIRAH DAPAT SAKSIKAN PERLUMBAAN SECARA LIVE

Kunjungan BERITA Mediacorp ke kawasan litar Marina Bay menyaksikan suasana yang meriah, dengan peminat bersemangat untuk menyaksikan pasukan kegemaran mereka beraksi. 

Ramai yang tiba lebih awal untuk mendapatkan tempat terbaik, sambil menikmati pelbagai acara yang diadakan, termasuk konsert oleh artis-artis antarabangsa seperti Kylie Minogue dan Lenny Kravitz. 

Antara yang ditemui adalah pengunjung kali pertama yang hadir dengan penuh semangat dengan mengenakan jersi pasukan kegemaran mereka.

"Saya teruja sebab ada pasukan kegemaran saya, Williams dan saya juga harap untuk pasukan Oscar Piastri dari McLaren untuk menang tahun ini," kata Sharifah, seorang peminat muda yang hadir bersama adiknya.

Selain peminat tempatan, ramai peminat dari luar negara juga sanggup ke sini, semata-mata untuk menyaksikan perlumbaan ini di depan mata.

Antaranya ialah Naz, seorang penyokong setia Lando Norris dari pasukan McLaren. 

Berasal dari Pulau Krismas, Australia, beliau telah berada di Singapura sejak Rabu lalu untuk menyaksikan perlumbaan dan menikmati suasana perlumbaan yang mendebarkan.

"Sebenarnya, saya tidak menjangkakan cuaca akan panas sebegini, tetapi ini adalah pengalaman yang boleh saya ceritakan kepada anak-anak saya suatu hari nanti. Ia sangat menyeronokkan! Saya mengalaminya bersama rakan-rakan," jelas Naz.

USAHA KEMAMPANAN RANCAK DIJALANKAN

Grand Prix Singapura juga membawa negara selangkah lebih dekat kepada sasaran pengurangan pengeluaran tenaga sebanyak 50 peratus menjelang 2028.

Sejak tahun lalu, litar ini telah memasang lampu LED dan 1,400 panel solar di bangunan pit F1. 

Setiap tahun, sekitar 50,000 seragam kakitangan, bendera, dan permaidani merah dikitar semula, menunjukkan komitmen terhadap kelestarian alam.

Inisiatif digital seperti tiket elektronik dan aplikasi mudah alih untuk maklumat perlumbaan juga telah diperkenalkan, memudahkan pengalaman pengunjung.

Selain itu, lebih banyak stesen mengisi air minuman telah disediakan, kerana penjualan minuman dalam botol plastik tidak lagi dibenarkan di kawasan perlumbaan ini.

Meskipun usaha kemampanan sedemikian disambut baik, sebilangan pengunjung masih berasa berbelah bagi.

"Apabila beralih kepada e-tiket dan tiada tiket fizikal, peminat kehilangan peluang untuk membawa pulang cenderahati yang berharga dari acara tersebut," ujar Sharifah kepada wartawan Syawal Yusoff.

Bagi Encik Hasto yang berasal dari Indonesia, beliau berpendapat: "Tidak (menyusahkan). Lebih mendukung kemampanan terhadap sekitaran. Jadi e-tiket, isi-ulang air minum itu sebahagian daripada usaha kemampanan. Bagus!"

Selepas Singapura, perlumbaan F1 akan membuat perhentian seterusnya di Amerika Syarikat pada 18 hingga 20 Oktober.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan