Langgar embargo Belanjawan 2022, pentauliahan Mothership digantung
Pentauliahan Mothership untuk membuat liputan berita digantung serta-merta setelah ia melanggar satu embargo berita berhubung kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), yang diumumkan pada Jumaat (18 Feb) dalam kenyataan Belanjawan 2022.

(Gambar: Lawrence Wong/Facebook)
SINGAPURA: Pentauliahan Mothership untuk membuat liputan berita digantung serta-merta setelah ia melanggar satu embargo berita berhubung kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), yang diumumkan pada Jumaat (18 Feb) dalam kenyataan Belanjawan 2022.
Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) berkata pada Ahad (20 Feb) bahawa Mothership melanggar embargo tersebut dengan menerbitkan satu infografik di laman Facebooknya yang membutirkan kenaikan bertahap-tahap GST.
Butiran tentang kenaikan GST itu "dikongsi kepada media tertentu lebih awal" sebelum pengumuman dibuat oleh Menteri Kewangan Lawrence Wong dalam kenyataan Belanjawan 2022, tambah jurucakap berkenaan.
"Maka itu, Kementerian Perhubungan dan Penerangan menggantung pentauliahan akhbar Mothership dengan serta-merta," kata jurucakap MCI itu.
Mothership diberi masa sehingga 4 Mac untuk membuat rayuan.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, editor urusan Mothership Martino Tan berkata pelanggaran embargo itu satu "kesilapan jujur yang dibuat dengan menerbitkan lebih awal satu infografik di laman Facebook Mothership"
Kesilapan itu dikenal pasti kurang dua minit selepas ia diterbitkan dan catatan tersebut segera dipadamkan, tambah beliau.
"Sementara siasatan lanjut dijalankan, kakitangan terlibat sudahpun digantung kerja selama dua minggu," kata editor urusan itu.
Mothership bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dalam siasatannya terhadap perkara tersebut, kata Encik Tan.
"Kami dengan tulus ikhlas meminta maaf atas kesilapan teruk itu, terutama sekali kepada penjawat awam yang bertungkus-lumus memastikan penyampaian maklumat pemerintah yang tepat pada masanya dan tepat," tambah beliau.
"Kami memandang serius peranan untuk menyediakan berita, yang tepat pada masanya dan tepat di ruang digital. Justeru itu, kami komited dan berazam untuk mengambil teladan daripada insiden ini, memperkukuhkan proses serta membina semula kepercayan dengan pihak berkepentingan kami," ujarnya lanjut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.