Lampu hiasan di Bukit Gombak lebih meriah dengan perayaan berganda - Tahun Baharu Cina & Hari Raya Aidilfitri
SINGAPURA: Sambutan musim perayaan di kawasan kejiranan dijangka lebih meriah lagi tahun ini dengan penyalaan lampu dan acara diadakan bagi menyambut perayaan berganda iaitu Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri.
Di kawasan Bukit Gombak misalnya, hiasan lampu raya di kawasan Bukit Batok Street 31 lebih meriah dan gah tahun ini dengan penyalaannya dirasmikan pada Ahad (25 Jan).
Ia merupakan hasil kerjasama Pertubuhan Akar Umbi Bukit Gombak dan Persatuan Peniaga Bukit Gombak.
Menurut Penasihat Pertubuhan Akar Umbi Bukit Gombak, Low Yen Ling acara ini mencerminkan perpaduan penduduk dalam kepelbagaian serta ikatan berbilang kaum yang kukuh.
"Setiap tahun, para penduduk Bukit Gombak menantikan acara penyalaan lampu perayaan, dan tahun ini amat istimewa kerana ini merupakan sambutan bersama Tahun Baru Cina dan Hari Raya yang pertama, yang menghimpunkan tradisi meriah dua perayaan di Bukit Gombak," kongsi Cik Low yang juga merupakan Menteri Negara Kanan bagi Kementerian Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia.
Salah satu acara utama sambutan ini ialah pelancaran 'Harmony Street' sepanjang 10 meter dengan hiasan berwarna-warni berteraskan budaya Melayu dan Cina seperti ketupat dan tanglung merah.
"Kami mengadakan penyalaan lampu Tahun Baru Cina ini dan juga penyalaan lampu Hari Raya pada masa yang sama untuk mempamerkan keindahan tradisi Cina serta warisan Melayu/Islam dan untuk membolehkan para penduduk menghargai budaya masing-masing," kata Cik Low.
Para penduduk juga disajikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan termasuk kompang, tarian singa dan naga, silat dan wushu.
Mereka yang hadir turut boleh membawa pulang kaligrafi Cina dan Jawi yang dilukis secara langsung sebagai cenderamata.
DISAMBUT BAIK PARA PENDUDUK
Para penduduk juga ghairah dan mengalu-alukan usaha sebegini kerana kali terakhir Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri disambut dengan jarak sekitar sebulan adalah pada tahun 2000.
Seorang penduduk Bukit Gombak yang telah menetap selama lebih 20 tahun, Encik Johar Anuar, meluahkan keterujaannya terhadap gabungan sambutan kedua-dua perayaan tersebut.
"Saya amat gembira kerana dapat hadir untuk menyaksikan perayaan pada hari ini. Sungguhpun ini bukan hari perayaan yang betul, tapi suasana untuk promosikan acara kedatangan Hari Raya Cina dan juga Ramadan dalam satu acara amat unik," kongsi Encik Johar.
MASJID AR-RAUDHAH AGIH BARANGAN UNTUK KELUARGA MEMERLUKAN
Dalam semangat perayaan juga, pek penjagaan yang mengandungi barangan keperluan disampaikan kepada Masjid Ar-Raudhah di acara tersebut.
Pek penjagaan tersebut kemudiannya akan diagihkan oleh pihak masjid kepada sekitar 100 keluarga yang kurang bernasib baik di Bukit Gombak.
Ini juga diharap dapat memupuk semangat solidariti dan keprihatinan dalam masyarakat.
"Melalui perkongsian dan juga perkongsian detik-detik perayaan seperti ini, kita dapat bersama-sama memupuk saling menghormati, perpaduan serta keterangkuman," kata Cik Low
Setiap pek yang berjumlah sekitar S$30 tersebut mengandungi keperluan seperti mi segera, biskut, susu kotak, kurma, minuman segara dan makanan dalam tin.
Sebuah bazar perayaan juga akan berlangsung dari 27 Februari hingga 20 Mac 2026, di mana para penduduk boleh meneroka pelbagai gerai Melayu dan menikmati suasana meriah bersama keluarga dan jiran tetangga.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.