Lampu Hari Raya, usaha baharu Bazar Geylang Serai 2024 dapat sambutan: Dr Faishal
Hiasan lampu Hari Raya Geylang Serai serta usaha-usaha baharu yang diperkenalkan untuk merancakkan lagi bazar tahun ini, disambut baik oleh pengunjung dan para pegerai.
SINGAPURA: Hiasan lampu Hari Raya Geylang Serai serta usaha-usaha baharu yang diperkenalkan untuk merancakkan lagi bazar tahun ini, disambut baik oleh pengunjung dan para pegerai.
Penasihat Utama, Wisma Geylang Serai (WGS), Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkongsi demikian di Majlis Makan Malam Hari Raya WGS bersama 200 tetamu termasuk pemimpin masyarakat dan rakan-rakan kerjasama.
Majlis tersebut juga sekali gus menutup kempen #SemangatRaya tahun ini.
(Gambar: Wisma Geylang Serai)
Membuka ucapannya, Dr Faishal berkata antara tarikan tahun ini yang mendapat sambutan baik para pengunjung tempatan dan pelancong ialah hiasan lampu Hari Raya.
Hiasan lampu di sepanjang kawasan Geylang Road dan Sims Avenue itu juga yang paling lama dinyalakan dalam sejarah.
"Di bawah bimbingan Datuk Bandar Fahmi Aliman, yang diketuai oleh Jawatankuasa Perundingan Geylang Serai dan anjuran bersama Kembangan-Chai Chee dan Marine Parade, kami telah menerima maklum balas positif mengenai reka bentuk tahun ini dan kami berharap anda telah menikmati lampu jalan Hari Raya," kata Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Pembangunan Negara.
Sepanjang Ramadan, Dr Faishal berkongsi beliau kerap turun padang ke bazar di perkarangan WGS itu untuk mendapatkan maklum balas daripada para pengunjung dan peniaga.
Beliau berkata sebilangan peniaga berasa optimis dalam perniagaan untuk tahun ini dan menghargai langkah untuk mengehadkan sewa kepada S$15,000 tahun ini.
Menurut Dr Faishal, kebanyakan penjual yang ditemuinya berjaya meraih semula kos sewa dan mula mengaup untung dalam masa dua minggu pertama beroperasi.
"Saya bercakap dengan salah seorang penjual. Dia memberitahu saya dan itu mungkin hampir minggu kedua. Katanya perniagaannya enam, tujuh kali ganda (meningkat) berbanding tahun lepas dan pada tahun lepas, dia berkata dia sudah berada dalam keadaan baik. Bagi saya itu memberi saya rasa awal yang baik bahawa kami telah melakukan yang betul untuk tahun ini," ujarnya yang juga Menteri Negara Ehwal dalam Negeri.
Selain itu, inisiatif di mana setiap gerai perlu menjual sekurang-kurangnya dua makanan dengan harga S$3 juga kata Dr Faishal mendapat sambutan.
"Strategi penetapan harga ini bukan sahaja menarik lebih ramai pengunjung ke gerai tetapi juga memupuk rasa inklusif, membolehkan individu daripada pelbagai latar belakang ekonomi menikmati pelbagai tawaran masakan yang terdapat di bazar," katanya.
(Gambar: Wisma Geylang Serai)
Malah, daripada 150 gerai yang menjual makanan dan keperluan Hari Raya, gerai-gerai yang menawarkan hidangan tradisional Melayu menarik ramai pelanggan.
"Melihat ke hadapan tahun depan, kami berharap lebih banyak gerai menjual makanan tradisional akan menyertai bazar untuk memperkayakan lagi pengalaman bazar."
Ini selain menyediakan kemudahan seperti tanjakan bagi memberi kemudahan untuk mereka yang menggunakan alat mobiliti peribadi (PMD), kerusi roda dan juga keluarga dengan anak kecil yang menggunakan kereta sorong.
Aspek keselesaan seperti kipas angin, kerusi meja untuk makan dan laluan jalan juga memberi pengalaman yang cukup selesa buat pengunjung.
KEDAI-KEDAI, PROGRAM-PROGRAM BAHARU BOLEH DIJANGKAKAN
Dr Faishal turut menghargai kerjasama semua pihak termasuk pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam, Pasukan Polis Singapura (SPF), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) yang telah berganding bahu menjayakan acara tahun ini.
"Kami juga menghargai kerjasama daripada semua badan-badan Melayu/Islam dan badan-badan berkepentingan yang sudah dan akan menganjurkan pelbagai acara-acara yang boleh disertai oleh keluarga dan rakan-rakan sepanjang tahun 2024.
"Setiap maklum balas yang diterima telah ditelaah oleh pasukan kami. Ada maklum balas yang boleh diterapkan tertakluk kepada keadaan. Kami akan berusaha untuk melakukan yang lebih baik untuk masa depan," ujar Dr Faishal.
(Gambar: Wisma Geylang Serai)
Dr Faishal juga berkongsi tentang beberapa pembaharuan yang boleh dijangkakan.
Antaranya, kedai-kedai baharu yang akan dibuka di WGS.
Menjawab pertanyaan BERITA Mediacorp, WGS menyatakan bahawa terdapat tiga tender yang sedang dibuka untuk menarik kedai-kedai baharu untuk menyuntik kesegaran kepada WGS.
Kedai-kedai baharu itu dijangka akan dibuka dalam separuh kedua tahun ini.
Selain itu, lebih banyak program kebudayaan juga seperti 'Dendang Warisan', 'Joget Gumbira' dan 'Gegaran Paluan' bakal disajikan untuk meraikan serta memulihara warisan budaya Melayu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.