Laman web palsu Channel NewsAsia dipadam setelah diberi notis
Sebuah laman web yang kelihatan seolah-olah seperti laman Channel NewsAsia sudah dipadamkan setelah satu notis untuk menurunkan laman itu difailkan terhadap hosnya, All Deals Hub.

Gambar petikan skrin laman palsu yang kelihatan seolah-seolah seperti laman Channel NewsAsia.
SINGAPURA: Sebuah laman web yang kelihatan seolah-olah seperti laman Channel NewsAsia sudah dipadamkan setelah satu notis untuk menurunkan laman itu difailkan terhadap hosnya, All Deals Hub.
Laman berkenaan menunjukkan seorang penyampai berita, Cheryl Fox, menyokong sejenis produk pelangsing badan dalam satu wawancara palsu.
Reka letak laman web itu juga didapati meniru rencana online sebenar Channel NewsAsia, dan turut menggunakan logo stesen penyiaran tersebut serta kebanyakan elemen reka bentuk lamannya.
Ini menyebabkan sebilangan pembaca menghubungi Channel NewsAsia untuk bertanya sama ada rencana itu adalah benar.
Cheryl Fox pernah menghoskan pelbagai rancangan berita, termasuk News 5 dan Singapore Tonight serta siri rancangan ehwal semasa seperti Get Real dan On the Red Dot.
Nama dan gambar Cheryl Fox juga digunakan oleh All Deals Hub dalam catatan Facebooknya, yang secara palsu mendakwa bahawa beliau "berehat selama 14 tahun". Ia turut menyediakan pautan kepada wawancara palsu tersebut.
Catatan berkenaan diturunkan selepas Channel NewsAsia memaklumkan Facebook bahawa All Deals Hub meniru lamannya.
Rencana itu juga diturunkan selepas Mediacorp memfailkan satu notis terhadap All Deals Hub bagi menurunkan laman tersebut.
"Laman dan rencana itu adalah palsu dan ia juga membuat dakwaan palsu. Cik Fox tidak pernah menggunakan atau menyokong produk tersebut.
"Kami tidak menerima sama sekali sebarang penyalahgunaan terhadap jenama Channel NewsAsia dan nama Cik Fox. Kami juga sedang mengambil tindakan-tindakan yang sewajarnya," menurut Mediacorp dalam satu kenyataan.
Berikut adalah tip-tip untuk mengenal pasti rencana atau laman palsu:
- Periksa alamat laman web dan pastikan bahawa nama domain dieja dengan betul dan adalah sepadan dengan pertubuhan/jenama yang diwakilkan menerusi laman tersebut.
- Periksa sama ada laman itu selamat dengan memastikan agar terdapat ikon kunci pada bar laman alamat web. Alamat web itu juga mesti dilengkapi dengan 'https' di hadapannya. Laman-laman bereputasi biasanya adalah selamat.
- Tumpukan perhatian kepada logo dan nama jenama yang dipaparkan dalam laman web itu dan periksa sama ada ia diubah suai atau disalah eja.
- Jika maklumat dalam rencana atau laman itu mencurigakan, periska dakwaan tersebut menerusi Google atau hubungi syarikat yang terbabit bagi mengesahkan sama ada maklumat tersebut adalah benar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.