Laman web East Asia Forum dikenakan POFMA berhubung artikel mengenai tadbir urus SG
Laman akademik yang berpangkalan di Australia, East Asia Forum dikenakan arahan pembetulan oleh Pejabat Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) pada Rabu (22 Jan).
Ini selepas artikel yang diterbitkan pada 14 Jan mengandungi "kenyataan palsu berhubung tadbir urus Singapura".
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Indranee Rajah, mengarahkan Pejabat POFMA mengeluarkan arahan pembetulan terhadap artikel bertajuk "Singapore’s new prime minister entangled in old politics".
East Asia Forum akan dikehendaki memuat naik notis pembetulan pada artikel tersebut dan platform media sosial seperti X, Facebook dan LinkedIn.
Notis pembetulan akan "menyatakan bahawa artikel itu mengandungi kenyataan fakta palsu, dan untuk memberikan pautan kepada penjelasan pemerintah".
"Ini akan membolehkan para pembaca membaca kedua-dua versi dan membuat kesimpulan mereka sendiri," kata Pejabat POFMA.
Sehingga pukul 11.00 pagi, tiada notis pembetulan dimuat naik pada artikel East Asia Forum di laman web atau laman media sosialnya.
Sebelum ini, sekatan ke atas laman East Asia Forum sudah ditarik balik selepas ia dikenakan arahan pembetulan pada September 2023.
Pembekal perkhidmatan Internet di Singapura telah diarahkan untuk menyekat akses ke laman web tersebut selepas ia gagal mematuhi perintah itu, yang memerlukannya menerbitkan notis pembetulan di bahagian atas artikel dan halaman utama laman webnya.
Ia sebaliknya telah memuat naik pautan pada kenyataan pemerintah di penghujung bahagian komen artikel itu, di bahagian bawah laman webnya.
PENJELASAN PEMERINTAH
Menurut laman web semakan fakta pemerintah, Factually, artikel pada 14 Jan yang diterbitkan di East Asia Forum "menyebarkan dakwaan yang palsu dan mengelirukan".
Artikel East Asia Forum, menurut Factually, secara palsu mendakwa bahawa pemerintah Singapura "menyalahgunakan sumber dan masa Kabinet, parlimen, polis ... untuk mengetengahkan agenda peribadi Menteri Kanan Lee Hsien Loong terhadap adik-beradiknya dan menjadikan rumah keluarganya sebagai tugu peringatan kepada bapanya, Encik Lee Kuan Yew, dan dirinya sendiri".
Siasatan polis yang melibatkan adik- beradik Encik Lee Hsien Loong adalah kerana tribunal disiplin mendapati Encik Lee Hsien Yang dan isterinya, Cik Lee Suet Fern berbohong semasa memberikan keterangan. Selain itu, tiada keputusan dibuat bagi 38 Oxley Road, menurut Factually.
Artikel itu juga secara palsu mendakwa Ketua Pembangkang Pritam Singh telah didakwa tanpa asas, "dengan motif selain daripada penguatkuasaan undang-undang yang sewajarnya", kata Factually.
Menurut Factually, tingkah laku Encik Pritam di hadapan Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen telah dirujuk kepada Pendakwa Raya di bawah Akta Parlimen dan pihak pendakwa "memutuskan untuk mengenakan dua tuduhan terhadap Encik Pritam".
Artikel itu juga secara palsu mendakwa bahawa pihak pendakwa enggan mendakwa enam eksekutif kanan Keppel Offshore & Marine dan mendakwa bahawa "terdapat ketiadaan undang-undang atau konvensyen yang memerlukan pemegang jawatan politik mengisytiharkan kepentingan kewangan, aset atau konflik kepentingan".
Penulis artikel - Michael Barr, seorang profesor madya hubungan antarabangsa di Flinders University - turut membayangkan seolah-olah terdapat beberapa perkara yang tidak kena dalam dakwaan terhadap S Iswaran, menurut Factually.
Factually menambah bahawa walaupun "Barr bebas untuk menyatakan pendapatnya dari jauh, dia tidak seharusnya sewenang-wenangnya membuat dakwaan palsu".
Laman semakan fakta itu turut menegaskan bahawa pemerintah tidak bertolak ansur terhadap rasuah.
"Sistem tadbir urus Singapura dibina atas asas integriti dan perkhidmatan awam, ditubuhkan dengan teliti sejak turun-temurun dan dijunjung oleh para pemimpin yang silih berganti.
"Pemerintah Singapura kekal teguh dalam komitmennya untuk mendapatkan dan memelihara kepercayaan rakyat, termasuk menentang mereka yang cuba menghakisnya dengan menyebarkan kepalsuan," tegas Factually.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.