Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Laman, syarikat percutian terima lebih banyak pertanyaan bagi perjalanan ke Jepun

Salah satu syarikat percutian menyaksikan kenaikan 90% bagi pencarian online ke Jepun manakala seorang pengurup wang melihat kenaikan sebanyak 50% pelanggan yang mahu membeli yen Jepun.

Anggaran Waktu Membaca:
Laman, syarikat percutian terima lebih banyak pertanyaan bagi perjalanan ke Jepun

Orang ramai di Osaka, Jepun pada 7 Apr 2021 memakai pelitup di tengah COVID-19 (Gambar: Kyodo/via REUTERS)

Diterbitkan : 24 Sep 2022 11:38AM Dikemas Kini : 24 Sep 2022 11:40AM

SINGAPURA: Beberapa jam selepas Jepun mengumumkan lebih banyak kelonggaran untuk membuka semula sempadannya, laman-laman dan syarikat-syarikat percutian melaporkan kenaikan mendadak dari segi pertanyaan, dengan salah satunya menyaksikan kenaikan 90 peratus bagi pencarian online.

Seorang pengurup wang juga menyaksikan kenaikan jumlah pelanggan sebanyak 50 peratus yang mahu membeli yen Jepun manakala sebilangan pelawat mula membuat rancangan perjalanan baru ke Jepun.

Sementara itu, syarikat tambang murah Scoot menyatakan bahawa ia akan menambah jumlah penerbangan ke Jepun, melihat kepada lebih banyak permintaan.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, jurucakap Scoot berkata ia kini menawarkan empat penerbangan seminggu ke Osaka serta ke Tokyo melalui Taipei.

"Untuk memenuhi kenaikan yang dijangkakan bagi permintaan perjalanan ke Jepun semasa tempoh hujung tahun, khidmat kami ke Tokyo melalui Taipei akan ditambah kepada penerbangan harian menjelang hujung Oktober 2022, kata jurucakap itu.

Laman tempahan perjalanan Expedia Group juga mendedahkan pencarian penerbangan ke Jepun di wadahnya "naik hampir seganda" pada hari pengumuman itu".

"Permintaan pencarian bagi hotel di Jepun (juga) menyaksikan kenaikan 85 peratus pada hari pengumuman, berbanding purata 14 hari terakhir," kata ketua perhubungan awam Asia syarikat itu, Lavinia Rajaram.

Agensi perjalanan EU Holidays juga menyaksikan pertanyaan bagi perjalanan ke Jepun meningkat sebanyak "20 hingga 30 peratus" sejak Khamis, menurut pengurus pemasarannya Mandy Chen.

Semua ini berlaku selepas Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida mengumumkan sekatan ditarik balik pada Khamis (22 Sep), sekali gus membolehkan perjalanan bebas visa dan pelancongan persendirian di Jepun sekali lagi bagi pelancong yang sudah lengkap divaksin, bermula 11 Oktober.

Jepun juga akan menarik balik had ketibaan harian.

Sebelum ini, Jepun mempunyai langkah-langkah sempadan yang paling ketat, dengan hanya membukanya kepada pelancong pada bulan Jun, bagi jelajah berpandu.

Encik Abdul Malek Mustapa, 33, seorang pekerja e-dagang, berkata beliau teruja untuk meneroka Tokyo, Osaka dan Kyoto buat pertama kalinya, tanpa sekatan, semasa perjalanannya pada hujung bulan Oktober.

"Ada sebuah taman rusa yang saya mahu kunjungi. Saya rasa ia sebahagian daripada kuil di mana anda boleh ke sana dan memberi makan kepada rusa-rusa tempatan," kata beliau.

Selain agensi-agensi perjalanan, sebilangan pengurup wang juga menyaksikan perniagaan mereka meningkat bagi yen Jepun pada Jumaat.

Encik Rahim, 45 tahun, yang memiliki kedai pengurup wang di The Arcade berkata beliau menyaksikan sekitar 50 peratus lebih banyak pelanggan menukar kepada yen Jepun.

Sumber : Today/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan