Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Laman guna komen palsu DPM Tharman untuk pancing pelaburan bitcoin

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) memberi amaran terhadap satu laman palsu menggunakan komen-komen yang kononnya dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri Tharman Shanmugaratnam untuk memperdaya orang ramai supaya membuat pelaburan bitcoin.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Sep 2018 08:06AM Dikemas Kini : 19 Sep 2018 09:11PM

SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) memberi amaran terhadap satu laman palsu menggunakan komen-komen yang kononnya dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri Tharman Shanmugaratnam untuk memperdaya orang ramai supaya membuat pelaburan bitcoin.

Satu petikan gambar dari laman itu, seperti yang dilampirkan dalam kenyataan media yang dikeluarkan MAS lewat semalam (18 Jul), menunjukkan artikel dengan tajuk "Tharman Shanmugaratnam Invest $1 Billion for All Singapore Resident. USE HIS Method To Become Rich in Just 7 Days!" (Tharman Shanmugaratnam Labur $1 Bilion bagi Semua Penduduk Singapura. GUNAKAN Kaedahnya Untuk Jadi Kaya dalam tempoh 7 Hari!).

Artikel itu, yang turut menyertakan gambar Encik Tharman, menyifatkan pengerusi MAS itu sebagai "pemodal teroka" yang mengumumkan kemasukan Singapura dalam pasaran mata wang kripto bitcoin.

Laman itu kemudian mengarahkan para pembaca untuk mendaftarkan diri bagi akaun bitcoin lalu meminta butiran akaun bank dan kad kredit.

"Artikel tentang Bitcoin pada laman itu sangat mengelirukan dan ia satu penipuan," menurut MAS. "Kenyataan yang kononnya dikeluarkan DPM Tharman sama sekali tidak benar, melainkan pemerhatiannya mengenai jumlah perdagangan dalam mata wang kripto yang kurang memberangsangkan di Singapura."

MAS menasihati orang ramai supaya "sangat berwaspada" dan mengelak daripada memberi sebarang maklumat kewangan atau peribadi dengan mengisi borang-borang yang dikaitkan dengan laman tersebut.

"Melaburkan wang dalam mata wang kripto seperti Bitcoin berisiko tinggi," tegas MAS. "MAS sebelum ini mengeluarkan satu makluman pada 19 Disember 2017 untuk memberi amaran kepada orang ramai tentang risiko pelaburan mata wang kripto.

"Sebenarnya, DPM Tharman pernah menjawab pertanyaan parlimen pada 5 Februari 2018 yang menyatakan bahawa rakyat Singapura 'boleh mengalami kerugian besar jika mereka melabur dalam mata wang kripto'."

MAS menambah, orang ramai yang mengesyaki sebarang bentuk pelaburan yang disalahgunakan untuk tujuan jenayah atau penipuan harus melaporkan kes-kes seumpama itu kepada Polis. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan