Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Laluan trafik dijangka sesak di pusat pemeriksaan darat sempena hujung minggu panjang cuti Hari Kebangsaan SG

Anggaran Waktu Membaca:
Laluan trafik dijangka sesak di pusat pemeriksaan darat sempena hujung minggu panjang cuti Hari Kebangsaan SG

(Gambar fail: CNA/Ahmad Zamzahuri Abas))

Diterbitkan : 02 Aug 2024 02:47PM Dikemas Kini : 02 Aug 2024 02:53PM
SINGAPURA: Para pemandu dan pelawat boleh menjangkakan laluan trafik yang sangat padat dan sesak di pusat-pusat pemeriksaan darat Singapura semasa hujung minggu panjang sempena cuti Hari Kebangsaan, menurut Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Jumaat (2 Ogos).

Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas dijangka akan menyaksikan trafik sesak yang berterusan menjelang dan sepanjang tempoh dari 8 Ogos hingga 13 Ogos.

Para pemandu dan pelawat harus mengambil kira masa menunggu lebih lama, kata ICA dalam nasihat perjalanannya.

"Kami juga memohon persefahaman mereka untuk bekerjasama dengan pegawai ICA, mematuhi peraturan lalu lintas dan menjaga disiplin lorong," tambah ICA.

Lintasan sempadan darat antara Singapura dan Malaysia adalah antara yang paling sibuk di dunia.

Purata harian hampir 480,000 pelawat melintasi kedua-dua pusat pemeriksaan semasa cuti sekolah Jun dari 23 Mei hingga 25 Jun, menurut penguasa tersebut, dengan 14 Jun mencatatkan rekod lebih 530,000 pelawat.

"Dalam tempoh puncak sebegitu, para pemandu dan pelawat yang berlepas dengan kereta terpaksa menunggu sehingga tiga jam sebelum mereka dibenarkan melalui imigresen, disebabkan oleh trafik dari Malaysia," menurut ICA.

Pemandu perlu memeriksa dan memantau keadaan lalu lintas di pusat-pusat pemeriksaan sebelum memulakan perjalanan. Mereka boleh berbuat demikian melalui laman web One Motoring LTA.

PERKARA YANG PERLU DIBERI PERHATIAN

ICA mengingatkan para pemandu dan pelawat supaya memastikan pasport mereka mempunyai baki sah tempoh sekurang-kurangnya selama enam bulan. Penduduk Tetap (PR) Singapura yang telah memperbaharui pasport mereka harus memastikan permit masuk semula mereka telah dipindahkan ke pasport baharu.

Pemegang pas jangka panjang harus memberitahu ICA atau Kementerian Tenaga Manusia (MOM) tentang sebarang perubahan pada butiran pasport mereka sebelum memasuki semula Singapura.

Pelawat yang menaiki kereta digalakkan menggunakan kod QR dan bukan pasport untuk pelepasan imigresen yang lebih pantas, saran ICA.

Pemandu kenderaan asing harus memastikan Permit Masuk Kenderaan (VEP) sah kerana mereka yang tidak mempunyai kad Autopass yang sah, emel kelulusan VEP daripada LTA atau insurans yang sah akan diarahkan untuk berpatah balik.

ICA menambah bahawa pemandu kenderaan asing dengan denda tertunggak dengan agensi-agensi pemerintah harus melunaskan bayarannya kerana mereka yang mempunyai denda tertunggak mungkin tidak dibenarkan memasuki Singapura.

Pemandu harus mengelak memotong barisan kerana ia boleh menyebabkan kesesakan teruk dan menjejas keselamatan pemandu lain.

"Pemandu yang melanggar barisan beratur akan diarahkan supaya berpatah balik dan beratur semula," tegas ICA.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan