Laluan Thomson-East Coast: 3 stesen dibuka tahun ini; stesen baru di Founders' Memorial
Pembinaan Laluan Thomson-East Coast (TEL) menepati jadual dengan tahap pertama laluan MRT itu dijangka dibuka pada lewat tahun ini, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan media hari ini (7 Jan).
SINGAPURA: Pembinaan Laluan Thomson-East Coast (TEL) menepati jadual dengan tahap pertama laluan MRT itu dijangka dibuka pada lewat tahun ini, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan media hari ini (7 Jan).
"Pembinaan TEL sedang berjalan lancar dan para penumpang boleh menjangkakan untuk menikmati perjalanan di TEL secara bertahap-tahap mulai 2019," menurut LTA.
Peringkat pertama TEL - yang merangkumi stesen-stesen Woodlands North dan Woodlands South - sudah siap sekitar 90 peratus, dengan kerja-kerja struktur dan landasan dalam terowong sudah selesai dijalankan, tambah LTA.
LTA turut mengumumkan pada Isnin bahawa ia akan menambah sebuah stesen baru di TEL dekat Founders' Memorial di kawasan Marina Bay. Stesen itu sebahagian daripada peringkat keempat TEL dan akan terletak antara stesen Tanjong Rhu dengan stesen Gardens by the Bay. LTA menyatakan ia akan mempertingkat akses bagi para pengunjung ke Bay East Garden, di mana tapak peringatan itu akan ditempatkan.
Stesen itu akan dibuka bersempena pembukaan Peringatan Pengasas selain menyediakan khidmat bagi projek pembangunan kediaman dan riadah di kawasan itu, tambah LTA. Kerja-kerja pembinaan stesen akan bermula pada tahun ini.

Laluan TEL merangkumi 31 stesen dan sepanjang 43 kilometer itu akan menghubungkan para penumpang yang tinggal di kawasan timur Singapura seperti Siglap dan Marine Parade ke pusat bandar, serta ke kawasan-kawasan di Thomson dan Woodlands. Ia dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2024.
Fasa kedua TEL, yang merangkumi stesen-stesen Springleaf, Lentor, Mayflower, Bright Hill, Upper Thomson dan Caldecott, sudah siap sekitar 80 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada 2020.
Fasa ketiga, merangkumi stesen-stesen Mount Pleasant, Stevens, Napier, Orchard Boulevard, Orchard, Great World, Havelock, Outram Park, Maxwell, Shenton Way, Marina Bay, Marina South dan Gardens by the Bay, sekitar 70 peratus selesai, menurut LTA. Tahap ini dijadual dibuka kepada orang ramai mulai 2021.
Stesen-stesen bagi fasa keempat TEL termasuk Founders’ Memorial, Tanjong Rhu, Katong Park, Tanjong Katong, Marine Parade, Marine Terrace, Siglap dan Bayshore. Fasa ini sudah sekitar 40 peratus selesai dan dijadual dibuka pada 2023.
Fasa kelima dan terakhir, yang merangkumi stesen-stesen Bedok South dan Sungei Bedok, sudah 25 peratus siap, dan dijadual dibuka pada 2024.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.