Laluan RTS JB-SG: 65% siap di kedua-dua bahagian; sedia beroperasi jelang 2026
Gambar: CNA/Jeremy Long
"Rentang penghubung jejambat" antara Singapura dan Malaysia bagi projek RTS itu sudah siap iaitu struktur konkrit sepanjang 17.1 meter yang menghubungkan Jeti 47 di Malaysia dan Jeti 48 di Singapura - jeti yang paling hampir antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan rakan sejawatannya di Malaysia Anwar Ibrahim bertemu pada Khamis (11 Jan) untuk menandakan selesainya penghubung jejambat projek tersebut.
Kedua-dua Perdana Menteri menandatangani plak peringatan yang melambangkan komitmen bersama terhadap projek yang meningkatkan hubungan antara Singapura dan Johor Bahru itu.
RTS Link dijangka memulakan khidmatnya pada penghujung 2026. Ia bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Koswe – salah satu lintasan sempadan paling sibuk di dunia – dengan membawa sehingga 10,000 penumpang sejam setiap hala dalam perjalanan yang mengambil masa kira-kira lima minit.
Ia dianggarkan menelan belanja RM10 bilion (S$2.87 bilion), dengan Singapura menanggung 61 peratus kos.
Semua tukup cerucuk di Selat Johor di sebelah Singapura juga telah siap, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Khamis.
Ia bertindak sebagai struktur asas yang akan menahan tiang-tiang sokongan yang bakal didirikan sebelum jejambat dapat dipasang.
Selepas kerja-kerja infrastruktur awam selesai, kerja-kerja pemasangan sistem rel akan dijalankan oleh Operasi RTS. Syarikat itu adalah usaha sama antara Prasarana Malaysia dan SMRT Singapura untuk mengendalikan perkhidmatan RTS Link.
RTS Link akan menghubungkan stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dan stesen Woodlands North di Singapura.
Stesen Woodlands North yang dibina bawah tanah pada kedalaman maksimum 28 meter, akan mempunyai tiga tingkat, termasuk dua tingkat besmen dan laluan penghubung bawah tanah ke bangunan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), dan akan dihubungkan ke stesen Laluan Thomson-East Coast (TEL) melalui dataran bawah tanah.
Terowong laluan rel itu akan dihubungkan kepada jejambat setinggi 25 meter merentangi Selat Johor.
Kemudahan CIQ bagi kedua-dua Singapura dan Malaysia akan terletak di tempat yang sama di setiap stesen, yang bermakna penumpang perlu melalui imigresen sekali saja di tempat berlepas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.