Laluan RTS JB-SG: 45% bahagian sebelah SG sudah dibina, tepati sasaran dilancar pada 2026
(Gambar: LTA)
SINGAPURA: Projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura mencatat satu lagi kemajuan dan menepati sasaran untuk selesai dibina menjelang hujung 2026.
"Bagi pihak Singapura, setakat ini, kami sudah menyiapkan sekitar 45 peratus projek itu," dedah Menteri Pengangkutan S Iswaran pada Jumaat (24 Mac).
Encik Iswaran berkata demikian semasa menyaksikan pemasangan asas cerucuk di sebelah Singapura di Selat Johor.
Diadakan di tapak Terminal Woodlands North, di mana kerja-kerja binaan sudah dimulakan sejak Mac 2021, acara itu menandakan fasa seterusnya bagi kerja-kerja pemasangan struktur jejambat kereta api.
Laluan RTS itu akan menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands di Singapura, membawa sekitar 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap hala perjalanan untuk mengurangkan kesesakan trafik di Koswe.
Perjalanan akan mengambil masa lima minit.
Kemudahan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di kedua-dua negara akan ditempatkan bersama di Stesen Woodlands North dan Bukit Chagar, bermakna penumpang hanya perlu melalui pelepasan imigresen sekali - di tempat keberangkatan mereka, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam kenyataan medianya.
Kemudahan CIQ di Singapura akan dibina bersebelahan Stesen MRT Woodlands North di Laluan Thomson-East Coast (TEL) dan dihubungkan melalui laluan bawah tanah.
Stesen bawah tanah Woodlands North akan mempunyai tiga tingkat, iaitu dua tingkat bawah tanah dan laluan bawah tanah di Tingkat 3 Bawah Tanah menuju ke bangunan CIQ.
Saiz bangunan CIQ dan stesen itu dianggarkan 10 kali ganda saiz stesen MRT biasa, tambah LTA.
Projek Laluan RTS pada awalnya dijadual siap dibina pada 2024, dengan pemerintah Singapura dan kerajaan Malaysia memeterai perjanjian dua hala untuk membangunkan laluan itu pada 2018.
Namun, projek itu beberapa kali tergendala selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih tampuk kepimpinan di Malaysia.
Projek itu secara rasmi disambung semula pada Julai 2020.
Kos projek itu dianggarkan bernilai sekitar RM10 bilion (S$2.9 bilion), dengan Singapura menampung 61 peratus kos tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.