Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Laluan Rentas Pulau: Pemerintah putuskan laluan dibina langsung bawah hutan simpanan

Laluan Rentas Pulau (CRL) akan dibina secara langsung di bawah Hutan Simpanan Kawasan Tadahan Air Tengah.

Anggaran Waktu Membaca:
Laluan Rentas Pulau: Pemerintah putuskan laluan dibina langsung bawah hutan simpanan

(Gambar: LTA)

Diterbitkan : 04 Dec 2019 09:48PM Dikemas Kini : 04 Dec 2019 09:51PM

SINGAPURA: Laluan Rentas Pulau (CRL) akan dibina secara langsung di bawah Hutan Simpanan Kawasan Tadahan Air Tengah. Berikutan sesi maklum balas selama enam tahun dengan pelbagai pihak termasuk kumpulan-kumpulan alam sekitar, pihak berkuasa memutuskan langkah itu adalah lebih bermanfaat bagi warga Singapura berbanding pilihan mengelilingi kawasan itu.

Kajian kejuruteraan lanjut bagi pilihan penjajaran langsung itu akan bermula tahun depan, sebelum Kementerian Pengangkutan (MOT) mengambil langkah seterusnya. Kajian sedemikian secara lazimnya mengambil masa sehingga dua tahun.

Mengumumkan keputusan Pemerintah pada Rabu (4 Dis), MOT menyatakan pihaknya sudah mempertimbangkan pelbagai faktor termasuk "keprihatinan yang disuarakan kesemua pihak berkepentingan" dan dapatan penilaian mengenai kesan sekitaran akibat kerja-kerja binaan.

Pilihan laluan langsung itu akan membolehkan rakyat Singapura menjimatkan masa perjalanan kira-kira enam minit berbanding pilihan mengelilingi kawasan itu, menurut kementerian itu lagi.

Orang ramai juga akan membayar tambang lebih rendah kerana jarak perjalanan yang lebih pendek dan kos binaan yang ditanggung pembayar cukai dikurangkan sekitar S$2 bilion.

"Dalam jangka masa panjang, pilihan penjajaran langsung ini adalah lebih mesra alam kerana ia menggunakan jumlah tenaga lebih rendah," menurut MOT.

PERTIMBANGAN ANTARA JALAN LANGSUNG ATAU KELILING

Pilihan pembinaan terowong secara langsung itu bererti bahawa 4 kilometer daripada jalan tersebut akan melalui bawah padang golf Singapore Island Country Club, Hutan Simpanan Kawasan Tadahan Air Tengah dan Ekspreswe Rentas Pulau (PIE). Daripada jarak ini, 2 kilometer laluan dibina di bawah hutan simpanan.

Sebagai sebahagian daripada langkah untuk mengurangkan kesan kepada alam sekitar, terowong itu akan dibina kira-kira 70 meter di bawah purata paras tanah, atau seperti ketinggian flat 25 tingkat.

Semasa sesi rundingan awam, beberapa pihak mengetengahkan keprihatinan berhubung kesan kerja-kerja binaan terhadap kehidupan liar dan kehilangan tumbuh-tumbuhan dan habitat jika langkah-langkah pencegahan tidak diambil.

Laporan yang menilai kesan ke atas alam sekitar yang diterbitkan pada September mendapati bahawa sebelum langkah-langkah pencegahan diambil, kesan terhadap spesies di kedua-dua tapak kerja adalah besar akibat kehilangan tumbuh-tumbuhan dan habitat. Ini kerana tanah hutan seluas 1.5 hektar perlu ditebang, dengan 1.2 hektar daripadanya ditanam semula selepas kerja-kerja binaan.

Sebaliknya, membina terowong mengelilingi kawasan simpanan itu akan mewujudkan laluan sepanjang 9 kilometer, dan anggaran pemerintah pada 2016 menunjukkan bahawa ia akan menelan belanja tambahan sekitar S$2 bilion.

Para pakar telah memberi amaran bahawa risiko insiden - misalnya kerja-kerja membina terowong mungkin menyebabkan kerosakan dan keretakan pada bangunan - adalah lebih tinggi untuk pilihan langsung ini kerana kepadatan prasarana dan bangunan yang ada sekarang.

Laluan Rentas Pulau, yang akan mempunyai sekitar 30 perhentian, akan dibina secara berperingkat. Apabila siap sepenuhnya sekitar 2030, ia akan menjadi laluan kereta api bawah tanah paling panjang di Singapura dengan jarak antara 50 hingga 60 kilometer.

Ia dijangka mengangkut lebih 600,000 penumpang setiap hari pada tahun-tahun awalnya, dengan jumlahnya akhirnya mencecah lebih sejuta penumpang.

Sumber : CNA/TQ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan