Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Laluan Rentas Pulau, pembangunan perumahan di Turf City bermula selepas Dis 2023

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kerja-kerja membina stesen baru Laluan Rentas Pulau (CRL) di Turf City dan persiapan bagi pembangunan kediaman baru di tapak berkenaan akan bermula secara beransur-ansur setelah tempoh pajakan penyewa tamat pada 31 Disember 2023. 

Demikian menurut Penguasa Tanah Singapura (SLA) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Jumaat (23 Sep). 

Menteri Pengangkutan S Iswaran pada Selasa (20 Sep) mengumumkan bahawa enam lagi stesen CRL akan dibuka pada 2032. 

Stesen-stesen itu ialah Turf City, King Albert Park, Maju, Clementi, West Coast dan Jurong Lake District, sekali gus membentuk Fasa 2 CRL itu. 

CRL merupakan laluan MRT kelapan Singapura dan juga laluan bawah tanah sepenuhnya yang terpanjang pada lebih 50 kilometer. Ia juga akan dibina dalam tiga fasa. 

Stesen Turf City akan meningkatkan ketersambungan dan kemudahan mengakses pengangkutan awam bagi kawasan berkenaan, menurut SLA dan URA dalam kenyataan bersama pada Jumaat (23 Sep). 

"Pembangunan semula tapak di kawasan bandar atau 'brownfield' seperti Turf City akan membolehkan Pemerintah untuk menggunakan sepenuhnya tanah dan prasarana pengangkutan," tambah kedua-dua agensi itu. 

Tapak-tapak brownfield adalah tanah yang dibangunkan sebelum ini tetapi tidak digunakan dan termasuk padang golf dan kawasan-kawasan perindustrian dengan tempoh pajakan yang hampir tamat. 

Pihak berkuasa menyatakan kajian teknikal yang teliti seperti kajian persekitaran dan warisan sedang dilakukan untuk memastikan sebarang pembangunan di Turf City akan disepadukan dengan persekitarannya. 
"Jika boleh, kami akan mengekalkan dan menyepadukan unsur-unsur warisan dan semula jadi yang sedia ada untuk pelan induk bagi masa depan kawasan tersebut," menurut SLA dan URA lagi. 

Agensi-agensi berkenaan akan bertemu dengan pihak berkepentingan berkaitan untuk mengongsi tentang rancangan mereka bagi tapak itu dan mendapatkan maklum balas apabila sudah sedia, menurut pihak berkuasa. 

PEMBANGUNAN KEDIAMAN

Turf City di Bukit Timah sudah ditetapkan bagi penggunaan kediaman sejak Pelan Induk 1998. 

"Ini untuk menepati permintaan perumahan pada masa akan datang dan menyediakan pelbagai pilihan dari segi lokasi, jumlah rumah dan jenis kediaman untuk memenuhi keperluan perumahan dan aspirasi warga Singapura," kata SLA dan URA. 

Pada September lalu, tempoh pajakan penyewa di Turf City dilanjutkan 18 bulan lagi sehingga akhir 2023. 

Dalam kenyataan media pada Jumaat, SLA dan URA mengingatkan penyewa bahawa tiada lagi pelanjutan akan diberikan kerana tapak itu diperlukan untuk pembangunan kediaman pada masa akan datang. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan