Skip to main content

Singapura

Laluan pejalan kaki di Bishan ditutup sejam setelah sekawan burung gagak serang orang lalu-lalang

Anggaran Waktu Membaca:
Laluan pejalan kaki di Bishan ditutup sejam setelah sekawan burung gagak serang orang lalu-lalang

(Gambar: Try Sutrisno Foo/CNA)

SINGAPURA: Sebuah laluan pejalan kaki di Bishan ditutup selama kira-kira sejam pada Rabu (15 Feb) setelah beberapa orang awam di kawasan tersebut dipercayai diserang burung gagak.

Menurut laporan akhbar Shin Min Daily News pada Selasa (14 Feb), sekitar 10 orang diserang di laluan pejalan kaki di Bishan Road itu dalam masa 20 minit pada Isnin (13 Feb).

Apabila Mediacorp mengunjungi kawasan berdekatan dengan Blok 110 Bishan Street 12 pada kira-kira pukul 4.30 petang pada Rabu, sebahagian laluan tersebut ditutup sementara oleh para kakitangan Majlis Bandaran Bishan-Toa Payoh.

Sepanjang 90 minit di tempat kejadian itu, Mediacorp melihat dua ekor burung gagak menyerang empat orang awam.

Burung gagak ketiga yang cedera, turut dilihat di laluan tersebut. Ia kelihatan tempang dan sukar untuk terbang.

Beberapa pegawai Lembaga Taman Negara (NParks) juga dilihat di kawasan itu dengan perangkap, dengan seorang pegawai akhirnya berhasil memerangkap burung gagak yang cedera itu.

Salah seorang pegawai berkata, burung itu akan dipindahkan ke tempat lain.

Tiada serangan lain disaksikan setelah burung itu diperangkap, meskipun dua lagi burung gagak masih berlegar-legar di sekitar laluan tersebut dan menggauk ke arah pejalan kaki.

Orang ramai dilihat menggunakan laluan itu seperti biasa pada kira-kira pukul 5.50 petang.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita