Laluan muatan udara antarabangsa Sanya-SG dibuka
SANYA: Penerbangan HT3818 dengan muatan 10 tan kargo yang berlepas dari Singapura pada Rabu (11 Jan) selamat mendarat di Sanya, sekali gus menandakan penyambungan semula operasi rasmi Lapangan Terbang Phoenix, wilayah Hainan di China.
Menurut maklumat daripada pihak lapangan terbang itu, ia merupakan penerbangan kargo antarabangsa pertama selepas China menyelaraskan dasar pembendungan COVID-19.
Memetik laporan tempatan, sebelum laluan kargo Sanya-Singapura dibuka, barangan import perusahaan bebas cukai di Sanya terpaksa dipindahkan melalui Guangzhou, Beijing dan tempat-tempat lain sebelum diangkut ke Sanya.
Turut difahamkan, keseluruhan proses pengangkutan itu bukan sahaja menelan kos yang tinggi tetapi juga mengambil masa dan berisiko.
Dengan pembukaan laluan itu masa import barangan bebas cukai boleh dipendekkan kepada tiga jam.
Sejajar dengan permintaan pasaran, pelan susulan laluan tersebut adalah untuk mengendalikan dua hingga tiga penerbangan seminggu, terutamanya untuk mengangkut barangan e-dagang rentas sempadan dan barangan bebas cukai.
Laluan itu akan mengoptimumkan rantaian logistik import barangan bebas cukai dan mendorong pembinaan pusat penggunaan pelancongan antarabangsa di Sanya.
Untuk rekod, Lapangan Terbang Phoenix Sanya merancang untuk mempromosikan pembukaan lebih banyak laluan kargo antarabangsa pada masa akan datang.
Laluan-laluan itu dirancang mula beroperasi secara beransur-ansur pada tahun ini supaya dapat meningkatkan keupayaan Sanya sebagai hab penerbangan dan mendorong pembinaan Pelabuhan Perdagangan Bebas Hainan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.