Laluan MRT Tengah dan Seletar dikaji, mungkin beroperasi mulai 2040-an
Dua laluan baharu kereta api yang memberi khidmat kepada lebih 400,000 isi rumah mungkin beroperasi pada 2040-an, sementara menanti kajian sama ada ia boleh dilaksanakan oleh Penguasa Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Laluan Seletar, salah satu laluan yang dicadangkan, akan menyediakan khidmat bagi kawasan seperti Woodlands, Sembawang, Sengkang Barat, Serangoon Utara, Whampoa, Kallang dan Greater Southern Waterfront.
Satu lagi laluan, yang buat sementara waktu dipanggil sebagai Laluan Tengah, boleh melengkapkan rangkaian pengangkutan di daerah barat dan barat laut, merangkumi lokasi seperti Tengah, Bukit Batok, Queensway dan Bukit Merah.
Cadangan bagi laluan baharu tersebut diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat di parlimen pada Rabu (5 Mac) sebagai sebahagian daripada perancangan perbelanjaan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi Belanjawan 2025.
Berdasarkan penilaian awal LTA, kedua-dua laluan tersebut mungkin boleh bertemu di Greater Southern Waterfront, kata Encik Chee.
"Oleh itu, kajian kebolehlaksanaan kami akan meneliti kemungkinan menghubungkan kedua-dua laluan menjadi satu laluan tunggal, bagi memastikan ketersambungan lebih lancar dan kecekapan yang lebih baik untuk pengguna," katanya.
LTA menyatakan menerusi satu kenyataan bahawa butiran lanjut akan selaras dengan perkembangan kajian yang dijalankan.
KEMAS KINI PROJEK KERETA API YANG SEDANG DIJALANKAN
Encik Chee turut memberikan kemas kini mengenai Sambungan West Coast yang dikaji LTA, yang akan menghubungkan Laluan Daerah Jurong (JRL) yang akan datang dengan Laluan Circle (CCL).
Projek tersebut akan dilaksanakan dalam dua fasa: Fasa 1, menjelang akhir 2030-an, akan melanjutkan JRL dari stesen Pandan Reservoir untuk menghubungkannya dengan Laluan Rentas Pulau (CRL) di stesen West Coast. Fasa 2, menjelang awal 2040-an, akan melanjutkan JRL dari stesen West Coast ke stesen Kent Ridge, menghubungkannya dengan CCL.
Sebaik sahaja selesai, sambungan itu boleh mengurangkan masa perjalanan sehingga 20 minit bagi pengguna di barat yang menuju ke pusat bandar, kata Encik Chee.
“Sambungan West Coast juga akan meningkatkan daya tahan keseluruhan rangkaian kereta api kita, dengan menyediakan laluan alternatif melalui CRL, dan ke pusat bandar melalui CCL,” tambah beliau.
Butiran tambahan, termasuk lokasi stesen, akan diumumkan di peringkat seterusnya.
Stesen atau laluan baharu akan ditambah setiap tahun sehingga akhir dekad ini, kata Encik Chee.
Stesen Hume di Laluan Downtown (DTL) dibuka bulan lalu.
Fasa 2 CRL – yang merangkumi stesen Turf City, King Albert Park, Maju, Clementi, West Coast dan Daerah Tasik Jurong – akan mula dibina pada separuh pertama tahun ini, menurut LTA dalam kenyataannya.
CCL peringkat 6, yang akan melengkapkan lingkaran antara stesen Marina Bay dengan Harbourfront melalui tiga stesen baharu - Keppel, Cantonment dan Prince Edward Road - dijangka siap dalam separuh pertama 2026.
Tiga stesen baharu sebagai sebahagian daripada peringkat kelima Laluan Thomson-East Coast dan sambungan DTL 3 - Bedok South, Xilin dan Sungei Bedok - dijadualkan dibuka pada separuh kedua 2026.
JRL peringkat pertama dijangka dibuka pada 2027, diikuti dua peringkat seterusnya pada 2028 dan 2029.
Mulai 2030, CRL akan dibuka secara berperingkat, menghubungkan daerah timur, barat, dan timur laut.
“Projek kereta api adalah pelaburan besar… Ia memerlukan perancangan yang teliti, sambil mengambil kira keperluan penggunaan tanah semasa dan masa depan, kebolehlaksanaan kejuruteraan serta potensi kesan terhadap alam sekitar,” kata Encik Chee.
“Ia juga memerlukan kestabilan politik, serta pemerintah yang kukuh yang boleh merancang untuk jangka panjang, serta mempunyai keupayaan dan sumber untuk merealisasikan rancangan tersebut, kerana pelaksanaannya akan merentasi beberapa penggal pemerintahan.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.