Laluan MRT Seletar 'lebih pantas' ke Johor Bahru untuk penduduk Sengkang & Serangoon: Penganalisis
Laluan MRT Seletar yang disarankan boleh menjangkau sejauh Woodlands North, dan menawarkan penduduk di kawasan-kawasan seperti Sengkang dan Serangoon laluan lebih pantas ke Malaysia melalui RTS Johor Bahru–Singapura, kata seorang penganalisis pengangkutan.

MRT tiba di Stesen MRT Buona Vista pada 1 Oktober 2024. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
Pada masa yang sama, Laluan Tengah mungkin menyediakan laluan alternatif bagi mereka yang menetap di bahagian barat, dan mengurangkan tekanan ke atas Laluan Timur-Barat yang semakin tua.
Laluan yang disarankan itu diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat di Parlimen pada Rabu (5 Mac). Encik Chee berkata bahawa laluan itu, sementara menunggu kajian daya maju, boleh memberi perkhidmatan kepada lebih 400,000 isi rumah dan beroperasi pada tahun 2040-an.
Laluan Seletar boleh memberi perkhidmatan kepada para penduduk di kawasan-kawasan seperti Woodlands, Sembawang, Sengkang West, Serangoon North, Whampoa, Kallang dan Greater Southern Waterfront (Kawasan Pesisiran Selatan).

Laluan MRT ini boleh bertemu di Kawasan Pesisiran Selatan dan kajian daya maju akan meninjau kemungkinan untuk menghubungkan kedua-dua laluan itu menjadi laluan tunggal.
Profesor Madya Raymond Ong berkata berdasarkan saranan penjajaran Laluan Seletar, ia boleh berfungsi sebagai "titik penghubung utama dari Singapura ke Johor Bahru".
"Jika kita melihat pada Laluan Seletar, kita melihat bahawa di bahagian utara, kita melihat Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, dan kita mempunyai RTS di sana," kata timbalan ketua penyelidikan dan perusahaan di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Sekitaran Universiti Nasional Singapura (NUS).
Menurut beliau, dua laluan yang melalui kawasan Woodlands berhampiran Johor Bahru ialah Laluan Utara-Selatan (NSL) dan Laluan Thomson-East Coast (TEL), dengan Woodlands North di TEL dihubungkan dengan Laluan RTS.
"NSL semakin tua, dan (sama ada TEL mempunyai) cukup (kapasiti), kami tidak terlalu pasti," katanya.
Beliau menambah bahawa TEL juga melalui "jenis profil estet yang berbeza" berbanding Laluan Seletar yang disarankan, yang boleh menghubungkan Sengkang dan Serangoon ke Johor Bahru.
Para pnduduk di beberapa kawasan Yishun, Admiralty dan Sembawang yang kini jauh dari NSL berkemungkinan mendapat manfaat daripada Laluan Seletar, kata Profesor Madya Ekonomi dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) Walter Theseira.
"Kemungkinan juga terdapat perkembangan lanjut di kawasan itu yang akan dihubungkan dengan laluan tersebut," kata Prof Madya Theseira.
Begitu juga perkembangan semasa dan pada masa akan datang seperti di kawasan barat Sengkang dan Punggol, serta timur Woodlands, Toa Payoh dan Ang Mo Kio, yang kurang mendapat perkhidmatan MRT, boleh mendapat manfaatnya, kata Prof Madya Ong.
"Akan ada satu titik di mana (perkembangan ini) bertemu, dan di situlah Laluan Seletar," katanya.
“Trend (perkembangan baharu) di Sengkang, Punggol ke barat, dan Woodlands, Ang Mo Kio, Toa Payoh ke timur, trend itu akan berterusan.”
Tetapi apa yang boleh didahulukan, perkembangan baharu atau laluan MRT baharu?
Prof Madya Theseira berkata bahawa ini adalah "soalan terbuka".
"Ia menjadi perkara biasa sekarang untuk kita membina laluan lebih awal daripada kerja-kerja pembangunan, dan menyesuaikan stesen hanya apabila pembangunan itu direalisasikan, (seperti dengan) Stesen Bukit Brown dan Mount Pleasant," katanya.
"Jadi tidak perlu menunggu yang lain siap."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.