Skip to main content

Singapura

Laluan kerjaya baharu diperkenal bagi warga SG berminat ceburi bidang keselamatan

Satu laluan kerjaya baharu dalam bidang keselamatan dilancarkan bagi membantu rakyat Singapura, termasuk mereka yang baharu menceburi bidang tersebut, mendapatkan pekerjaan dalam sektor yang pesat berubah.
Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Nov 2025 09:28PM Dikemas Kini : 26 Nov 2025 03:32PM
SINGAPURA: Satu laluan kerjaya baharu dalam bidang keselamatan dilancarkan bagi membantu rakyat Singapura, termasuk mereka yang baharu menceburi bidang tersebut, mendapatkan pekerjaan dalam sektor yang pesat berubah.

Laluan Pakar Teknologi Keselamatan akan melatih para peserta cara menggunakan dan menyenggara alat keselamatan moden seperti kamera berkuasa kecerdasan buatan (AI), robot serta sistem pemantauan digital.

Program itu merupakan kerjasama antara Pasukan Polis Singapura (SPF), SkillsFuture dengan Persatuan Huraian Keselamatan Singapura.

"Pengenalan laluan ini tepat pada masanya. Tinjauan MHA menunjukkan bahawa lebih 80 peratus agensi keselamatan berminat untuk menggunakan teknologi keselamatan yang lebih canggih.

"Namun, ramai menghadapi cabaran dalam memilih dan mengerahkan teknologi tersebut.

"Pakar teknologi keselamatan boleh mengisi jurang ini dengan menyediakan kepakaran yang diperlukan untuk membolehkan agensi keselamatan menggunakan teknologi maju dengan yakin dan memanfaatkan sepenuhnya faedahnya," kata Menteri Negara Kanan Ehwal Dalam Negeri Sim Ann.

Program tersebut dilancarkan secara rasmi di satu persidangan bagi industri keselamatan, di mana Politeknik Temasek (TP) turut memperkenalkan pertandingan kemahiran keselamatan yang diadakan di Asia buat julung-julung kalinya.

Politeknik itu turut memeterai perjanjian untuk memperluas pengalaman pelatih keselamatan menerusi satu modul baharu.

"Ketika kita mengharungi landskap keselamatan yang semakin kompleks, keperluan untuk profesional mahir yang dilengkapi dengan pengetahuan canggih dan kepakaran praktikal, tidak pernah sehebat ini.

"Untuk terus membina keupayaan dalam sektor ini, TP akan melancarkan Diploma Pakar dalam Pengurusan Teknologi Keselamatan pada April tahun depan," kata Ketua Institut Industri Keselamatan, Faizal Zainal.
Sumber : CNA/NY/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita