Skip to main content

Singapura

Laluan Kemahiran baharu tawar latihan, pensijilan & peluang kerja

Singapura sedang meningkatkan usaha untuk membantu para pekerja menjadi mahir dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI).

Anggaran Waktu Membaca:
Laluan Kemahiran baharu tawar latihan, pensijilan & peluang kerja

(Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 29 Aug 2025 07:37PM Dikemas Kini : 30 Aug 2025 02:01PM
SINGAPURA: Singapura sedang meningkatkan usaha untuk membantu para pekerja menjadi mahir dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI).

Program Techskills Accelerator, yang menawarkan latihan dalam kemahiran teknologi akan diperluaskan kepada para pekerja bukan teknologi.

Bercakap di Forum Tech3, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Josephine Teo juga mengumumkan beberapa inisiatif lain untuk mengukuhkan tenaga kerja digital.

Di tengah-tengah pendigitalan yang semakin meningkat, tenaga kerja teknologi Singapura sudah berkembang sebanyak 24 peratus, iaitu daripada 172,000 pada 2019 kepada hampir 214,000 pada 2024.

Menurut satu laporan IMDA yang bakal diterbitkan tidak lama lagi, tiga daripada setiap empat pekerja kerap menggunakan alat AI dalam tugas seharian mereka.

85 peratus daripada mereka juga mengatakan AI menjadikan mereka lebih cekap dan membantu meningkatkan mutu kerja mereka.

"Jika kita ingin menetapkan taraf lebih tinggi kepada diri kita, sangat berkemungkinan pada peringkat ini penggunaan AI yang diterangkan masih lagi diteroka kebanyakan orang yang memberi respons kepada tinjauan itu.

"Penggunaan yang lebih mendalam dan lebih berkesan bukan sahaja berlaku menerusi latihan, tetapi dengan latihan kemahiran yang sewajarnya dan peluang untuk mengamalkannya di tempat kerja," kata Cik Teo.

Untuk membantu lebih ramai pekerja menjadi lebih mahir dalam penggunaan AI, iaitu mereka yang mempunyai kepakaran mendalam dalam bidang-bidang tersendiri serta mahir dalam peralatan AI, pemerintah akan meluaskan TechSkills Accelerator.

Inisiatif SkillsFuture yang melatih orang ramai dalam kemahiran teknologi kini akan dilanjutkan kepada para pekerja bukan teknologi.

Selain itu, satu wadah kerjaya baharu akan melatih sehingga 100 orang dalam AI dan teknologi cloud dalam tempoh dua tahun akan datang.

Ia menggabungkan pembelajaran di dalam kelas dan latihan bekerja sambil belajar, selain menawarkan pensijilan Amazon Web Services.

Bagi para lulusan baharu dan pekerja pertengahan kerjaya yang mahu beralih kepada peranan dalam bidang teknologi cloud, satu laluan kemahiran baharu turut dilancarkan.

"Para majikan berkongsi dengan kami bahawa apa yang benar-benar diperlukan adalah bakat 'cloud' yang mahir.

"Tetapi sebaliknya, seseorang yang ingin memasuki industri 'cloud' menghadapi masalah ini kerana tidak cukup kejelasan tentang jenis pekerjaan peringkat permulaan yang tersedia, serta pensijilan dan kemahiran yang diperlukan untuk mendapatkan pekerjaan ini," kata Pengerusi Laluan Kemahiran SCS, Edward Chen.

Program yang diterajui majikan itu disokong oleh 14 pertubuhan termasuk DBS dan ST Engineering yang akan menawarkan latihan amali serta penempatan pekerjaan.

Ini merupakan Laluan Kemahiran kedua yang ditawarkan Masyarakat Komputer Singapura.

Yang pertama adalah dalam bidang keselamatan siber, yang sudahpun membantu lebih 180 orang mendapatkan pekerjaan ataupun latihan amali sejak ia dilancarkan tahun lalu.
Sumber : CNA/AI/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita