Laluan jalan kaki baru dibuka di Kebun Bunga S'pura, sebahagian sambungan Gallop
Para pengunjung ke Kebun Bunga Singapura kini boleh berjalan meredah taman itu menghala ke tapak tertingginya sekitar 40 meter di atas paras laut.
SINGAPURA: Para pengunjung ke Kebun Bunga Singapura kini boleh berjalan meredah taman itu menghala ke tapak tertingginya sekitar 40 meter di atas paras laut.
Sepanjang perjalanan, terdapat tumbuh-tumbuhan dari habitat yang terdapat di bukit-bukit tropika di Asia Tenggara, termasuk tumbuh-tumbuhan karnivor seperti Raffles' Pitcher Plant.
Laluan jejak baru itu, dipanggil Rambler's Ridge Yayasan Mingxin, dibuka pada Sabtu (19 Okt) sebagai sebahagian daripada sambungan kawasan Gallop seluas lapan hektar di taman bunga itu.
"Gallop Extension, yang terletak di Gallop Road, akan memperkukuh benteng perlindungan Tapak Warisan Dunia UNESCO pertama Singapura itu daripada pembangunan bandar," menurut kenyataan media Lembaga Taman Negara (NParks).
Satu lagi daya tarikan yang dibuka pada Sabtu adalah Arboretum OCBC.
Arboretum adalah kawasan yang ditanami dengan spesies pokok tertentu untuk tujuan pemuliharaan sumber genetik, pendidikan, dan penyelidikan.
Disifatkan sebagai sebuah "kutubkhanah hidup untuk pokok", arboretum itu dijulang sebagai yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara yang menempatkan lebih 2,000 contoh spesimen daripada lebih 200 spesies dipterocarp - iaitu pokok gergasi hutan yang tumbuh sehingga ketinggian 80 meter.
Sebuah sistem Internet Pelbagai Benda (IoT) akan digunakan untuk sentiasa memantau secara jauh pokok-pokok tersebut dan sekitarannya.
Semasa acara pembukaan pada Sabtu, Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong menarik perhatian bahawa ketika Kebun Bunga Singapura ditubuhkan 160 tahun lalu, ia hanya mempunyai ruang seluas 22 hektar.
Dengan penyambungan kawasan Gallop, ia kini berukuran hampir empat kali ganda, iaitu 82 hektar.
Lebih banyak ciri baru akan dibuka di kawasan sambungan Gallop tahun depan, termasuk dua rumah pemuliharaan.
Satu ruang permainan kanak-kanak yang berilhamkan alam semulajadi juga akan dibangunkan, selain sebuah sambungan kanopi yang diumumkan awal tahun ini.
Sebagai sebahagian aktiviti yang dirancang NParks untuk meraikan pembukaan laluan jejak bukit dan arboretum, terdapat persembahan, kunjungan berpandu, tayangan filem, kegiatan kraf kanak-kanak serta ceramah dan demonstrasi oleh artis botani.
Maklumat lanjut boleh didapati di laman NPark.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.