Skip to main content

Singapura

Laluan berbasikal di luar Pasar Geylang Serai dan gerbang gah di Joo Chiat Complex antara ciri-ciri baru kawasan itu

Orang ramai akan terus didampingi secara berperingkat untuk mendapatkan maklum balas bagi projek-projek akan datang bagi Jalur Budaya Geylang Serai.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Orang ramai akan terus didampingi secara berperingkat untuk mendapatkan maklum balas bagi projek-projek akan datang bagi Jalur Budaya Geylang Serai.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa yang menerajui projek Jalur Budaya Geylang Serai, Dr Mohamad Maliki Osman, pihak berkepentingan dan para arkitek dari BDP Architects (Southeast Asia) Pte Ltd akan terus mendampingi masyarakat bagi mendapatkan maklum balas bagi tiga kawasan yang akan menjalani kerja-kerja peningkatan.

Tiga kawasan itu adalah ruang di luar Joo Chiat Complex, luar Pasar Geylang Serai dan persimpangan ikonik di kawasan berkenaan.

Laluan berbasikal di Pasar Geylang. 

Buat masa ini, Dr Maliki menjelaskan bahawa garis masa kerja-kerja pembinaan itu belum dapat dikongsikan dan ia akan hanya bermula sejajar dengan pembukaan semula ekonomi negara.

BDP Architects (Southeast Asia) Pte Ltd diumumkan hari ini (16 Jul) sebagai pemenang setelah tiga bulan memikirkan cara untuk menyuntik kesegaran bagi tiga mercu tanda utama tersebut.

Gerbang Joo Chiat Complex.
Bertemakan "Laman Kampung Rumah Saya", syarikat berkenaan mengusulkan untuk mengadakan laluan berbasikal di luar pasar, gerbang yang gah di pintu masuk Joo Chiat Complex dan satu lagi gerbang di persimpangan trafik itu.

Selain itu, firma itu juga menyarankan untuk membina sebuah taman tiga generasi di kawasan lapang di belakang Joo Chiat Complex yang mana sebuah taman permainan serta tempat duduk boleh dibangunkan. Ini merujuk kepada tempat menahan dan menunggu teksi di Joo Chiat Complex sekarang.

"Saya harap ini akan memberi semangat kepada masyarakat kita bahawa dalam kita melihat akan warisan dan budaya, kita akan dapat memandang ke hadapan juga, melihat ikon-ikon yang akan dibina dan bagaimana ini akan menunjukkan masa depan kita sebagai satu masyarakat," tambah Dr Maliki.

NASIB TANJONG KATONG COMPLEX BELUM DIKETAHUI

Bagi projek-projek selanjutnya yang meliputi kawasan Tanjong Katong Complex (TKC), tempat letak kereta bersebelahan pusat beli-belah itu dan Kelab Masyarakat Kampong Ubi, maklumat mengenainya akan dikongsi secara bertahap-tahap.

Apabila ditanya tentang kemungkinan nasib TKC yang sinonim dengan masyarakat Melayu/Islam, Dr Maliki yang ditemui BERITAmediacorp di luar majlis pecah tanah Anjung@WGS pada Jumaat (16 Jul) berkata beliau berharap agar masyarakat dapat bersabar.

Namun dalam masa yang sama, beliau mengingatkan bahawa masyarakat juga boleh berasa ghairah kerana akan ada peluang-peluang baru untuk orang ramai mengemukakan saranan mereka.

Menurut laporan tempatan sebelum ini, kontrak sewa bagi para penyewa di TKC akan tamat pada akhir Disember 2022 dan agensi pemerintah seperti Penguasa Tanah Singapura (SLA) masih mengkaji rancangan jangka panjang bagi tapak berkenaan.

"Kita akan mengumumkan secara berfasa, apakah rancangan kami dan kami juga akan terus mendekati masyarakat untuk mendapatkan maklum balas mereka. Apakah visi mereka untuk mungkin kawasan tempat letak kereta bersamaan dengan Tanjong Katong Complex dan juga tapak di Kelab Masyarakat Kampong Ubi. Kita akan secara berfasa mendapatkan maklum balas," kongsi Dr Maliki.

Langkah itu, menurut Dr Maliki, sama seperti yang diambil sebelum ini untuk membangunkan Anjung@WGS dan kerja-kerja peningkatan tiga kawasan di Geylang Serai.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita